Watak-watak seperti Santa Claus (lelaki berperut buncit dengan janggut dan misai berwarna putih, serta berbaju dan bertopi merah putih), pokok cemara yang dihiasi dengan lampu berwarna-warni, kawanan rusa dan pemberian hadiah di dalam stoking sememangnya tidak dapat dipisahkan setiap kali perayaan Krismas atau hari Natal disambut.

Sepertinya ia sudah sebati dan menjadi ikon utama dalam memeriahkan perayaan tersebut, sedangkan watak-watak ini dicipta pada era kemudian dan bukanlah asli dari awal agama Kristian dianuti. Apatah lagi perayaan Krismas ini disambut sebagai memperingati hari kelahiran Jesus bukannya Santa Claus.

Dek kerana watak-watak ini telah memainkan peranan penting ketika sambutan perayaan Krismas, maka ramailah yang mengenakan kostum seperti Santa Claus. Ini termasuklah juga beberapa orang selebriti beragama Islam dengan alasan hanya sekadar suka-suka atau untuk menghormati agama lain, dan bukan menyambutnya.

Hujah mereka, tindakan tersebut tidak salah kerana mereka bukannya masuk agama Kristian. Apa yang penting adalah hati mereka tetap beriman kepada Allah s.w.t. Ia samalah seperti memakai cheongsam, kurta atau pakaian dari bangsa lain.

Walaubagaimanapun tindakan mereka ini telah mengundang kecaman terutama dari wargamaya kerana dilihat tidak menjadi contoh yang baik bagi seorang yang beragama Islam.  

Sebelum kita menilai tindakan mereka samada betul atau salah, elok kiranya kita fahami dahulu fakta ringkas yang ada.

Figura Santa Claus merupakan seorang tokoh agama Kristian yang bernama Saint Nicholas yang hidup sekitar abad ke-4 masihi. Dia juga merupakan seorang paderi Kristian di Myra (Lycia Turki kini) di bawah kerajaan Rom.

Dikenali sebagai seorang yang pemurah dan baik hati sehingga kebaikannya itu tersebar di seluruh dunia Kristian. Di Belanda, namanya disebut sebagai Sinterklass. Namun di Amerika Syarikat dia disebut sebagai Santa Claus yang hingga saat ini dikenal seluruh dunia. Kerana ketokohannya itulah setiap kali bulan Disember, masyarakat Kristian akan menyambut hari memperingati kematiannya. 

Memandangkan terdapat dua perayaan yang disambut dalam bulan tersebut dengan selang waktu yang tidak begitu jauh iaitu perayaan Krismas dan Hari memperingati Saint Nicholas, maka masyarakat Kristian telah menyatukan perayaan tersebut yang disambut pada setiap 25 Disember, sekalipun terdapat perdebatan dari kalangan Kristian Ortodoks dan Katolik.

Bagi menggambarkan kebaikan Saint Nicholas, imej memberi hadiah ke dalam stokin telah dicipta oleh Alexander Anderson pada Hari Saint Nicholas Day tahun 1810 yang melukis watak St. Nicholas meletakkan hadiah ke dalam stoking kaki kanak-kanak. Hasilnya lukisan tersebut tersebar luas dan digunakan dalam filem mahupun drama.

Imej menaiki kereta salji dan rusa terbang pula dicipta oleh seorang penulis bernama Clement Moore pada tahun 1822 yang menulis sebuah buku cerita bertajuk The Night Before Chrismast, di mana dalam penceritaannya dia telah menambah beberapa elemen kisah dongeng dari Jerman dan Norway. Dia menggambarkan Santa Claus adalah seorang dewa yang menaiki kereta salji dengan ditarik oleh lapan ekor rusa terbang membawa hadiah pada malam krismas yang dimasukkan ke dalam stoking kaki kanak-kanak.

Manakala imej berbaju merah dan putih pula disebabkan faktor komersial produk oleh dua syarikat besar iaitu jenama gula-gula Sugar Plums di Amerika Syarikat pada tahun 1868 yang menunjukkan Santa Claus memakai baju merah serta jenama minuman Coca Cola yang membuat promosi besar-besaran pada tahun 1931 dengan menggambarkan Santa Claus berpakaian merah putih.

Selain itu, pokok cemara yang menjadi simbolik dengan perayaan krismas pula mempunyai sejarah yang panjang. Bagi penduduk Rom mereka menggunakan pokok ini dalam perayaan Saturnlia. Manakala Penduduk Mesir Purba menggunakannya untuk menyembah Tuhan Ra. Martin Luther iaitu seorang reformis Protestan dalam agama Kristian pada abad ke 16 masihi telah menggunakan pendekatan baru dengan menghias pokok ini menggunakan lilin yang di pasang pada setiap dahan bagi menciptakan gemerlap bintang seperti di langit.

Lalu persoalannya, adakah dengan memakai pakaian Santa Claus atau mencipta watak-watak tersebut seperti memberi hadiah atau menghiasi pohon cemara ketika perayaan Krismas oleh umat Islam menjadi satu kesalahan dalam agama Islam, sekalipun hanya sekadar suka-suka?

Hujah Dangkal

Dalam hal ini Islam telah meletakkan asas yang mudah melalui hadis Baginda s.a.w. sabdanya, “sesiapa yang menyerupai satu kaum maka dia termasuk dalam kalangan mereka” (HR Abu Daud)

Dalam riwayat lain, “Bukan dari kalangan kami orang yang menyerupai selain dari kami. Jangan kalian menyerupai Yahudi dan Nasrani” (HR at-Tirmizi)

Bahkan dalam al-Quran juga Allah s.w.t. telah berfirman “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku” Surah al-Kafirun: 6

Ironinya memang watak-watak yang sinonim dengan perayaan Krismas ini tidak langsung disebutkan dalam kitab Bible yang menjadi pegangan bagi agama Kristian. Ia hanyalah watak yang dicipta bagi memeriahkan lagi sambutan Krismas terutama kepada masyarakat Kristian menjelang abad ke 19 dan 20 masihi.

Namun watak-watak ini telah menjadi imej yang sangat sinonim bagi orang Kristian ketika sambutan perayaan krismas. Jika ada yang mengaitkannya dengan pakaian bangsa lain seperti sari, cheongsam atau lainnya, hujah tersebut dilihat sangat dangkal. Itu kerana hanya ketika perayaan krismas sahaja pakaian Santa Claus dipakai yang sudah pasti terkait dengan agama dan kepercayaan mereka. Ia bukanlah dipakai setiap masa seperti sari, cheongsam atau kurta.

Apatah lagi dengan perbuatan tersebut seakan-akan menunjukkan pengiktirafan terhadap perayaan itu dan boleh menjurus kepada bahaya fitnah. Muzakarah Fatwa telah memutuskan pemakaian topi atau baju santa claus atau apa juga perbuatan yang meraikan perayaan krismas tidak dibenarkan kerana ia merupakan lambang atau simbol yang sinonim dengan perayaan Krismas.