Kalau sebut tentang perang, sudah tentu kebiasaannya ia dikaitkan antara manusia. Mungkin ramai tidak tahu pernah berlaku perang aneh antara manusia dan dengan haiwan.

Dikenali sebagai ‘The Great Emu War 1932’, sejarah Australia pernah merekodkan perang aneh yang tercetus antara sekumpulan askar Australia menentang kelompok besar haiwan digelar Emu (sejenis spesies burung besar seakan-akan burung unta). Perang ini berlaku sekitar tahun 1932.

Ia antara perang paling unik tercatat dalam lipatan sejarah. Lebih menarik, perang ini direkodkan sebagai peperangan pertama yang menyaksikan kumpulan haiwan berjaya menumpaskan sekumpulan tentera yang lengkap bersenjata moden.

Kisahnya begini, pada tahun 1932, kedatangan kelompok besar Emu ke Campion, sebuah wilayah di barat Australia telah menimbulkan huru hara di kawasan tersebut. Jumlah haiwan itu terlalu banyak, malah dikatakan melebihi bilangan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut.

Mengikut catatan sejarah, penghijrahan Emu ke kawasan tersebut berlaku setiap tahun. Ia menjadi lokasi tarikan haiwan itu untuk membiak. Sesetengah teori mengaitkan aktiviti pertanian di situ menarik perhatian spesies burung besar berkenaan untuk mendapatkan sumber makanan. Percaya atau tidak, bilangan Emu berkumpul di wilayah itu boleh mencecah sehingga 20,000 ekor.

Situasi itu membuatkan para petani di situ tidak berpuas hati. Kebanyakan mereka menanam gandum dan kehadiran haiwan itu telah memusnahkan banyak hasil tanaman menyebabkan para petani mengalami kerugian besar. Bertambah malang apabila pihak kerajaan tidak menyediakan sebarang subsidi seperti dijanjikan ditambah dengan kejatuhan harga gandum.

Haiwan tersebut pula terus bermaharajalela dengan memusnahkan tanaman penduduk di situ. Tidak sanggup menanggung kerugian, sekumpulan petani yang juga bekas tentera kerajaan telah mengadakan satu perjumpaan bersama Menteri Pertahanan ketika itu, Sir George Peare.

Mereka meminta campur tangan pihak tentera kerajaan bagi membantu mengusir haiwan tersebut. Bila menteri setuju, sekumpulan tentera yang lengkap bersenjata mesingan dihantar ke kawasan itu.

Pada 2 November 1932, bermula fasa pertama operasi mengusir Emu di wilayah tersebut. Ketika operasi berlangsung, sebanyak 50 ekor haiwan berkenaan bakal ditembak dengan mesingan. Para penduduk turut membantu dengan membuat kepungan bagi memudahkan pihak tentera melepaskan tembakan ke arah haiwan itu.

Malangnya, usaha tersebut tidak berhasil apabila haiwan berkenaan berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil. Ia menyukarkan para penembak menetapkan sasaran. Siri tembakan pertama itu gagal mengenai sasaran. Bagaimanapun, siri tembakan kedua berhasil namun hanya beberapa ekor Emu sahaja berjaya ditembak mati.

Operasi disambung lagi pada 4 November 1932. Kumpulan tentera kali ini telah bersedia untuk melakukan serangan hendap ke atas 1,000 ekor Emu. Namun, serang hendap tersebut masih gagal. Sebaik sahaja tembakan mesingan dilepaskan, hanya 12 ekor sahaja berjaya dibunuh dan baki selebihnya berjaya meloloskan diri.

Usaha mengusir haiwan bersayap itu diteruskan sehingga 8 November 1932. Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 2,500 kali tembakan dihalakan ke arah kumpulan Emu di wilayah berkenaan. Ada yang mengatakan pihak tentera hanya berjaya menembak sebanyak 50 ekor hingga 200 ekor sahaja. Tidak sampai satu persen pun daripada jumlah Emu tersebut.

Operasi memerangi Emu ini akhirnya diberhentikan pada 8 November 1932.

Kisah peperangan antara tentera kerajaan menentang Emu di Campion mendapat perhatian media tempatan. Malah, operasi itu mendapat banyak kecaman.

Disebabkan tanggapan negatif orang awam, pihak kerajaan akhirnya menghentikan operasi berkenaan. Bermakna dalam bahasa mudahnya, Emu menang perang dengan manusia!