TAHUN 2020 menyaksikan ramai artis wanita popular tanah air mula berhijrah memakai tudung atau hijab.

Penghijrahan itu sememangnya ke arah yang lebih baik, dengan mengambil jalan untuk menutup aurat dan lebih menjaga adab sopan seperti telah diamanahkan oleh Allah s.w.t

Jom ikuti 12 artis Malaysia bertudung pada tahun 2020.

ZILA BAKARIN

Foto: Instagram @zilabakarinofficial

Pelakon, Zila Bakarin mendedahkan dia telah berhijrah dan berhijab sejak Februari lalu.

Zila berkata pada mulanya timbul rasa bimbang sekiranya keputusan untuk bertudung akan memberi kesan kepada karier lakonannya.

Namun, setelah membuka matanya, dia mula reda dan percaya pada rezeki Allah SWT.

IEDA MOIN

Foto: Instagram @iedamoin79

Ieda atau nama sebenar Siti Haida Abdul Moin yang mula bertudung sejak bulan Mac lalu mengakui lega kerana penghijrahannya mendapat sokongan pelbagai pihak.

Berkat doa ibu dan teman baiknya, Noorkhiriah merupakan pendorong utama dirinya tampil mengenakan hijab dan perlahan-lahan mahu kekal istiqamah.

Dia sebenarnya sudah lama menyimpan keinginan untuk bertudung, namun ditangguh akibat kekangan kerja yang masih berbaki.

ERNIE ZAKRI

Foto: Instagram @erniezakri

Penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri membuat keputusan untuk bertudung pada bulan Mac semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurut Ernie, dia mengakui sudah lama terdetik untuk bertudung dan kekuatan untuk berhijrah timbul selepas dunia diuji dengan musibah penularan wabak Covid-19.

Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakrie berkata, dia pernah berjanji dalam diri, tahun 2020 menjadi titik penghijrahan buatnya.

Dia bersyukur niatnya dipermudahkan. Pada saat dia berehat daripada kerja seni akibat situasi penularan wabak COVID-19, Allah SWT memakbulkan doa yang tersimpan dalam hatinya untuk berhijrah.

SHARIFAH SHAHIRA

Foto: Instagram @shieraijoy

Pelakon, pengacara dan penyampai radio popular, Sharifah Shahirah berkongsi dia sudah mengenakan tudung sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sharifah Shahirah yang lebih mesra disapa Shiera itu berkata, niat bertudung timbul apabila menyedari wabak Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia adalah dugaan Allah SWT.

Menurut Shiera, pada mulanya dia bernazar, jika wabak Covid-19 ada penawar dia akan memakai tudung.

Tapi, dia fikir semula kalau tak ada penawar, takkan dia tak akan pakai tudung sampai bila-bila.  Jadi, Shiera tekad untuk bertudung dengan betul.

Akui masih belum sempurna, Shiera memberitahu dia masih dalam proses belajar dan memperbaiki diri.

EZLYNN

Foto: Instagram @ezlynnariffin

Selepas tiga tahun memakai tudung setiap Ramadan, tahun ini penyanyi dan pelakon, Ezlynn Ariffin tekad untuk terus berhijab.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye itu, dia membiasakan diri bertudung secara perlahan-lahan dan bersyukur akhirnya kekuatan dan ketetapan hati untuk berhijab datang pada bulan Ramadan tahun ini.

Ezlynn berkata penghijrahan itu dilakukan kerana Allah dan tuntutan agama. Dia meminta khalayak agar mendoakan dia terus istiqomah.

FATHIA

Pelakon Fathia Latiff membuat keputusan untuk kembali berhijab selepas mencetuskan kontroversi membuka tudung sebelum ini.

Fathia berkata menerusi perbincangan hati ke hati dengan ibunya serta ahli keluarga telah membuatkannya tekad untuk bertudung semula selepas lebih setahun menanggalkannya.

Fathia kembali bertudung sejak bulan Jun 2020 dan berharap akan terus istiqomah terhadap perubahan yang dilakukan.

KILAFAIRY

Foto: Instagram @kilafairy

Pelakon dan penyanyi Kilafairy mendedahkan dirinya sudah berhijab menerusi sebuah video reaksi pada bulan Syawal lalu.

Menurut Kilafairy, penghijrahannya itu seiring dengan impiannya yang mahu berubah menjadi lebih baik di samping memperbaiki dirinya.

Tambahnya, keputusan untuk berhijab itu dibuat tanpa paksaan atau tekanan. Hatinya terbuka mahu mengenakan hijab dan niat yang baik itu dipermudahkan.

Kilafairy berharap semoga penghijrahannya itu akan mendapat keberkatan dan dia kekal istiqomah.

CIK MANGGIS

Foto: Instagram @cikmanggis

Penyanyi dari kumpulan De Fam, Cik Manggis, mula berhijab semenjak bulan Jun yang lalu.

Cik Manggis, atau nama sebenarnya Nurshazwani Shamsuddin berkata dia memilih tampil bertudung di atas kerelaan diri sendiri dan bukan untuk tarik perhatian umum.

Tambahnya, apa yang menyebabkan dirinya bertudung biarlah ia menjadi rahsia. Tidak perlulah dikongsikan kepada umum.

MAWAR RASHID

Foto: Instagram @mawarashid

Pelakon Mawar Rashid atau nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid memutuskan untuk bertudung pada 17 Ogos yang lalu selepas hasrat itu terbantut sekian lama.

Menerusi satu entri di Instagram, Mawar berkata keputusan yang dibuat pada tahun baharu kalendar Islam itu, cukup simbolik dan bermakna.

Menurut Mawar, setiap bulan dia akan pulang ke Kelantan untuk menimba ilmu agama daripada salah seorang guru di sana.

Sekembalinya ke Kuala Lumpur pada 17 Ogos lalu, tanpa berfikir panjang, dia mencapai tudung dan memakainya.

HANNAH DELISHA

Foto: Instagram @hannahdelisha

Sekian lama menyimpan keinginan berhijrah akhirnya pelakon kelahiran Singapura, Hannah Delisha tekad berhijab sekitar awal September lalu.

Pelakon yang mencipta fenomena menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer itu berkata dia bersyukur akhinya apa yang dihajatinya akhirnya menjadi kenyataan.

Menurut Hannah, perbezaan paling ketara yang dirasainya semenjak berhijrah adalah jiwanya terasa begitu tenang.

ZARA ZYA

Foto: Instagram @zarazya

Sudah lama menyimpan niat untuk bertudung, pelakon Zara Zya akhirnya tekad bertudung sejak pertengahan September lalu.

Dia masih dalam proses untuk membiasakan diri dengan imej berkenaan dan mengharapkan peminat mendoakan yang terbaik.

IKA NABELLA

Foto: Instagram @ikanabella

Pelakon Ika Nabella menjadi tumpuan ramai apabila memuat naik foto dirinya bertudung pada 6 September 2020 di akaun Instagram beliau.

Ika memberitahu niatnya untuk berhijrah sudah lama tetapi hatinya berbolak-balik. Anak dan suami yang menjadi pendorong untuk dia berhijab.

Dalam pada itu Ika memberitahu dia sedang menyesuaikan diri dengan imej bertudung dan dalam masa yang sama untuk menjadi ibu dan isteri yang baik. Dia turut meminta orang ramai untuk mendoakan dia agar terus istiqamah dalam penghijrahannya.

Itulah senarai 12 artis Malaysia yang bertudung pada tahun 2020. Mudah-mudahan penghijrahan mereka akan dirahmati Allah s.w.t serta turut membuka pintu hati orang lain untuk mengikut jejak langkah yang sama.