Abdullah Salehoddin (Pak Lah) usahawan tepung serbaguna

USAHA gigih tanpa mengenal erti penat membuahkan hasil buat usahawan tempatan, Abdullah Bin Salehoddin atau mesra disapa Pak Lah. Berniaga kecil-kecilan sejak tahun 1998 di pasar malam menjual ayam goreng dengan menggunakan tepung serbaguna buatan sendiri.

Namun, siapa sangka anak jati Muar, Johor ini kini bergelar usahawan tepung serbaguna yang berjaya dan memiliki kilang sendiri.

Asalnya hanya berniaga secara kecil-kecilan. Namun demi minat yang menebal dalam perniagaan,  Pak Lah tidak pernah patah semangat. Jatuh bangunnya selama ini telah menjadikan dia seorang yang lebih matang berfikir dalam mencorakkan hala tuju perniagaannya.

Pada usia 41 tahun, Pak Lah boleh dikatakan usahawan berjaya dengan tertubuhnya syarikat  Pak Lah Food Industry (M) Sdn. Bhd. dengan mengeluarkan produk Tepung Goreng Serbaguna jenamanya sendiri.

Menurut Pak Lah, produk tepungnya ini asalnya, dihasilkan untuk kegunaan sendiri semasa beliau menjual ayam goreng di pasar malam 18 tahun yang lalu. Memandangkan, tepung yang dihasilkan menepati cita rasa, maka permintaannya sangat tinggi.

Bercerita tentang tercetus idea untuk menjadikan ia satu perniagaan, bermula dengan kepercayaan sahabat terhadap produk yang dihasilkan.

“Pada tahun 2012, seorang sahabat telah membeli tepung saya untuk kegunaan kafenya. Bukan itu saja, pelanggan tetap kami di pasar malam turut membelinya untuk tujuan kegunaan harian.

“Dari situ timbul idea untuk menjual produk tepung goreng serbaguna secara komersial. Sejak itu, saya mula belajar tentang perkara-perkara yang perlu untuk mengeluarkan produk dengan betul.

Pak Lah (tengah) bersama anak, Mohammad Nor Ikmal (kiri) dan isteri Asmahwati Ahmad (kanan) yang membantu mengusahakan Pak Lah Food Industry Sdn. Bhd.

“Bermula menghasilkan produk di ruang stor dirumah, kemudian mini bengkel dan alhamdulillah sekarang saya sudah mempunyai kilang. Produk kami juga mempunyai persijilan seperti Halal, Mesti, 5s, Mardi dan juga dalam urusan audit HACCP,” jelas Pak Lah.

Produk keluaran syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera ini mempunyai dua jenis tepung goreng serbaguna iaitu biasa dan premium. Istimewanya, bagi tepung biasa ia menggunakan empat jenis tepung tanpa bahan pemutih, 11 jenis rempah terpilih dan sedikit garam.

Bezanya dengan tepung premium pula, cuma mempunyai campuran rumpai laut. Kedua-dua jenis tepung serbaguna ini ditawarkan dalam tiga variasi iaitu asli, pedas dan lada hitam.

Tegas Pak Lah, pada awal penglibatan produk keluarannya hanya dijual di ekspo-ekspo sahaja. Bermula pada tahun 2014, Pak Lah mula menghantar produk tepungnya ke kedai-kedai dan melantik agen.

Hari ini, produk Tepung Goreng Serbaguna Pak Lah boleh di dapati di lebih 700 buah kedai di sekitar Johor dan Melaka termasuk di Miri dan Bintulu menerusi agen. Lebih membanggakan, produk tempatan ini sudah menembusi pasaran Singapura.

“Untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran tempatan, kami sedang mencari agen agar produk Pak Lah boleh di dapati di negeri lain. Kami juga memberi tumpuan jualan secara online bagi pelanggan.

“Selain menguatkan kedudukan dalam pasaran tempatan, kami juga sedang meneroka pasaran baharu dan dalam perbincangan untuk memasuki pasaran Thailand, serta beberapa negara lain,” cerita Pak Lah.

Demi menjaga kualiti produk, Pak Lah akan memastikan penggunaan bahan-bahan mentah premium dan berkualiti tinggi yang dihasilkan tanpa MSG, pewarna dan sebarang perisa tiruan.

“Kami sering membuat penyelidikan serta kajian bagi meningkatkan kualiti dan rasa produk kami. Sekarang ini kami dalam proses penyelidikan dengan pihak Mardi untuk mengeluarkan produk baharu. Kami juga menerima bantuan dari beberapa agensi-agensi kerajaan seperti MARA, Peladang, SME Corp, Matrade dan FAMA,” kata Pak Lah.

Pak Lah (tengah) bersama staff Pak Lah Food Industry Sdn. Bhd.

Facebook: Pak Lah Food Industry

Pak Lah Food Industry (M) Sdn. Bhd., No. 92, Jalan Bakri Batu 5 ¾, 84200 Muar, Johor.