KITA sedia maklum bahawa keju dihasilkan oleh susu lembu. Bayangkan jika keju diperbuat daripada susu keldai. Jangan pula hairan mendengar keju yang pelik itu, namun keju tersebut wujud dan dihasilkan di Serbia.

Keju istimewa tersebut dikenali sebagai pule. Pule adalah keju putih yang rapuh dan dikatakan mempunyai rasa yang sama dengan keju Manchego Sepanyol tetapi dengan lebih rasa yang lebih kaya dan mendalam.

Ia dihasilkan daripada susu keldai di sebuah ladang menternak keldai di Zasavica, Serbia. Proses untuk menghasilkan pule agak rumit dan mengambil masa. Susu akan diperah dengan menggunakan tangan kerana tiada mesin komersil untuk memerah susu keldai.

Untuk menghasilkan satu kilogram pule, sebanyak 25 liter susu keldai diperlukan. Seekor keldai hanya boleh mengeluarkan 1.2 liter susu sehari. Disebabkan sukar untuk menghasilkan pule dan ia tidak dihasilkan secara komersil, keju tersebut dijual pada harga 1,000 euro (RM 4,354) sekilogram dan menjadikannya keju termahal didunia.

Pengurus ladang, Slobodan Simic, memberitahu bahawa ladangnya adalah satu-satunya tempat di dunia di mana keldai diperah untuk mendapatkan susu dan dijadikan keju. Tiada tempat lain di dunia yang menghasilkan pule selain ladangnya kerana tidak banyak maklumat dan tiada orang akan menghasilkannya kerana ia amat mahal.

Susu keldai menghasilkan rasa yang unik dan sangat berkhasiat. Ia mempunyai 60 kali lebih banyak vitamin C daripada susu lembu dan mengandungi hanya satu peratus lemak. Ia juga mempunyai ciri-ciri anti-alergen.

Tambahnya, susu keldai juga dikatakan adalah rahsia kecantikan ratu Mesir purba, Cleopatra yang setiap hari mandi dalam susu keldai untuk mengekalkan kecantikan dan keremajaan kulit. Khabarnya, 700 ekor keldai diperlukan untuk menyediakan kuantiti susu yang diperlukan untuk mandian hariannya.

Buat masa ini peluang untuk mendapatkan pule agak sukar kerana seseorang telah membeli banyak bekalan keju tersebut. Individu tersebut adalah bintang tenis dunia, Novak Djokovic yang berasal dari Serbia.

Djokovic yang akan membuka satu rangkaian restoran baru di Serbia mahu menjadikan pule sebagai salah satu tarikan utama di rangkaian restorannya. Untuk memastikan dia mempunyai bekalan yang cukup, dia telah membeli banyak keju istimewa yang dihasilkan di negara asalnya itu.

Simic bersetuju dan mengambil keputusan untuk menjual banyak bekalan pule kepada Djokovic kerana ia bangga dapat berurusniaga dengan bintang Serbia itu. Selain itu dia juga tidak perlu bimbang mencari pelanggan dan perlu berurusan dengan pelbagai restoran kerana Djokovic telah membeli banyak bekalan pule dari ladangnya.

Selain pule, ladang Simic juga menghasilkan susu keldai dalam botol. Tidak hanya sekadar itu, setelah membuat beberapa percubaan dan ujikaji, ladang tersebut kini menghasilkan sabun dan krim kosmetik berasaskan susu keldai pula.

Fakta menarik:

Keju adalah produk tenusu yang paling popular di dunia. Pada tahun 2004 sahaja, lebih 18 juta tan metrik keju telah dihasilkan di seluruh dunia.

World Record Academy telah mengiktiraf Pule sebagai keju termahal didunia pada 12 November 2012 dan Pule masih memegang rekod tersebut sehingga hari ini.

Lima keju termahal didunia:

Pule – 1,000 euro (RM4,354) sekilogram

White Stilton Gold – 700 euro (RM3,048) sekilogram

Swedish moose cheese – 600 euro (RM2,612) sekilogram

Bitto storico – 245 euro (RM1,066) sekilogram

Caciocavallo Podolico – 70 euro (RM304) sekilogram