Apa ada pada 2021? Umumnya tentulah mahukan yang baik-baik sahaja – sama seperti setiap kali 1 Januari menjengah saban tahun.

Namun kehidupan penuh dengan ujian. Naik turun sudah pasti, ada masa senang dan ada masa susah.

Bak kata pepatah, hilang gelap timbullah terang. Berakhir ribut maka datanglah hari yang cerah.

Begitu juga dalam sejarah yang dilalui rasul-rasul terdahulu. Bagaimana diingatkan supaya sentiasa bersiap sedia untuk tahun yang sukar.

Bagi kebanyakan individu, 2020 adalah satu tahun yang sangat menguji. Pandemik COVID-19 yang mula dilaporkan di Malaysia pada awal tahun mengubah banyak perkara.

Bukan sekadar yang hari ini Menteri tetapi esoknya bergelar Ahli Parlimen biasa tetapi jauh lebih perit untuk rakyat marhain.

Ada yang terjejas pendapatan bahkan tak kurang juga yang hilang pekerjaan sama sekali. Itu cerita 2020.

Ok, pada 2021 selain akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) boleh dikeluarkan bagi yang layak melalui inisiatif i-Sinar, apa lagi yang akan berlaku?

Bagi pengamat politik ada yang menyebutnya tahun pilihan raya umum. Tak tahulah apa gelarannya, Yang PRU-14 disebut ibu segala pilihan raya. Kali ini belum tahu lagi.

Namun lebih besar dari PRU, tentulah ramai yang ternanti-nantikan vaksin COVID-19. Besar harapan agar pandemik tersebut ditamatkan dengan pengambilan vaksin. Mudah-mudahan.

Selain itu, bagi rakyat Malaysia umumnya menantikan 2021 menjadi tahun yang menggembirakan setelah agak lelah dengan isu politik, wabak dan ketidaktentuan ekonomi.

Biar lah berita positif mewarnai landskap 2021, biar pun bukan penawar tetapi mampu meredakan kekusutan.

Kuasa ini ada pada sukan. Bagaimana rakyat Iraq lupa seketika penderitaan peperangan yang tak berkesudahan sebaik skuad bola sepak negara itu menjulang Piala Asia pada 2006.

Begitu juga kejayaan Springbok menyatupadukan rakyat Afrika Selatan pimpinan Nelson Mandela yang lupa pada perbezaan isu warna kulit dan kemiskinan apabila menjulang Piala Dunia Ragbi 1995.

Tahun 2021 mungkin giliran wira sukan Malaysia pula? Pertama harapan melihat Harimau Malaya melangkah secara merit ke kejohonan Piala Asia sekali gus mengembalikan nama Malaysia sebaris dengan pasukan elit rantau ini.

Kedua dan paling utama, doakan Azizulhasni Awang dan atlet kita yang lain moga penantian emas Olimpik berakhir pada tahun ini.

Kita sangat dahagakan emas pertama Sukan Olimpik. Teramat sangat. Insya-Allah.