KUALA LUMPUR: Tahukah anda bahawa mengemukakan medical certificate (MC) palsu boleh menjadi kesalahan rasuah? Ia merupakan kesalahan di bawah kategori mengemukakan tuntutan palsu.

Mungkin anda tertanya-tanya bagaimana ia boleh termasuk dalam kesalahan tersebut? Ada juga yang secara sinis berkata, “Adakah terdapat kes sebenar yang berlaku? Atau sekadar teori akademik?”

Memetik tulisan Timbalan Pengarah PenMas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tarmize Abdul Manaf yang disiarkan di Facebook Malaysian Corruption Watch (MCW), terdapat satu kes undang-undang yang melibatkan sijil sakit palsu iaitu Nadimuthu v. Public prosecutor (1972) 1 LNS 96.

Berdasarkan artikel tersebut, Nadimuthu yang bekerja di Malayan Railways (nama lama bagi Keretapi Tanah Melayu Berhad) telah mengemukakan dua sijil sakit yang diperoleh daripada Lum Dispensary seperti berikut:

a. Sijil sakit bertarikh 5 Ogos 1968 yang memberi beliau cuti sakit sebanyak sehari; dan

b. Sijil sakit bertarikh 7 Ogos 1968 yang memberi beliau cuti sakit sebanyak sehari;

“Dalam kedua-dua sijil sakit tersebut, beliau dikatakan telah diperiksa oleh Dr. Lum Weng Song (MBBS Hong Kong) yang mengesahkan beliau tidak sihat dan tidak berupaya untuk menjalankan tugas pada tarikh berkenaan. Beliau diberi cuti sakit yang melayakkan beliau menerima gaji penuh.

“Kedua-dua sijil sakit berkenaan didapati tidak benar kerana beliau tidak sakit pada tarikh-tarikh berkenaan. Nadimuthu dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 4(c) Akta Pencegahan Rasuah 1961. Peruntukan lama ini bolehlah disamakan dengan Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” tulis pegawai kanan SPRM itu.

Akhirnya, jelas artikel Tarmize itu, mahkamah mendapati Nadimuthu bersalah dan didenda $25 bagi setiap pertuduhan. Gaji dua hari yang dibayar semasa beliau ‘cuti sakit’ diarahkan untuk dibayar balik kepada Malayan Railways. Alasannya beliau telah ponteng kerja tanpa alasan.

Kemudiannya, Nadimuthu merayu dengan alasan sijil sakit tidak termasuk dalam maksud seksyen 4(c) Akta Pencegahan Rasuah 1961.

“Hakim Mahkamah Tinggi, Y.A Hakim Abdul Hamid telah mengekalkan sabitan dengan alasan berikut:

a. Dokumen sijil sakit termasuk dalam tafsiran ’other documents’ seksyen 4(c) Akta Pencegahan Rasuah 1961.

b. Apabila Nadimuthu tidak hadir kerja dengan mengemukakan dua sijil sakit tersebut, sijil tersebut melayakkan beliau diberi dua hari cuti bergaji penuh.

c. Sijil tersebut juga melayakkan beliau dibayar dua hari gaji oleh Malayan Railways.

d. Faktor itu menjadikan sijil sakit adalah dokumen yang mempunyai nilai kewangan,” jelasnya.

Justeru tegas Tarmize, diharap kes ini dapat memberi iktibar kepada masyarakat agar tidak memandang mudah kepada cuti sakit.

“Doktor dan pegawai perubatan juga perlu berwaspada agar tidak terlibat sekiranya ada ’pesakit’ yang tidak sakit memohon MC daripada anda.

“Akhir sekali, laporkan sebarang jenayah rasuah. Rasuah Dihina, Maruah Dibina,” tulis Tarmize.

Satu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) adalah mengemukakan dokumen tuntutan palsu.

Seksyen 18 akta itu menyatakan bahawa menjadi satu kesalahan apabila mana-mana orang mengemukakan dokumen tuntutan (contohnya, pesanan kerajaan, resit dan invoice) yang mempunyai butiran palsu dengan niat untuk menipu prinsipalnya (pejabat/majikan).