ANALISIS

Orang kita sangat jijik kepada daging babi serta menjauhi daging yang tidak halal. Pelbagai istilah, ayam kepak kepalalah dan sebagainya.

Di mana pun pergi, orang Melayu dan halal tidak boleh dipisahkan. Hatta ke pekan Danok di seberang pun, bila perut berkeroncong, mereka akan mencari kedai tomyam halal.

Biar pun di sisi ada ‘peneman’ tidur sementara, namun benda yang nak masuk dalam perut kena pastikan makanan halal. Nampak pekerja pakai tudung atau kopiah baru rasa yakin. Kalau tidak, tak lepas tekak barangkali.

Bahkan ada satu karya kartun menggambarkan bagaimana orang kita tidaklah pula begitu sikapnya apabila ditawarkan rasuah. Tidak menolaknya sama seperti jijiknya pada hidangan mengandungi daging babi.

Tak terkecuali Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki menggunakan analogi babi bagi mengajak penjawat awam menjauhi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Namun seminggu dua ini, umat Islam Malaysia dikejutkan bagaimana terdapat kemungkinan ‘daging kotak’ yang selama ini menjadi hidangan mereka sebenarnya bukanlah daging halal.

Bukan sahaja dari sumber bukan halal, bahkan ia juga bukan lembu atau kerbau tetapi bercampur daging kuda mati dan kanggaru. Dibawa masuk juga mungkin bercampur penyimpanannya dengan daging babi dan sebagainya.

Operasi syarikat yang mempunyai gudang besar dengan membungkus semula ‘daging’ berkenaan menggunakan logo halal palsu sangat mengejutkan.

Semuanya boleh berlaku kerana ada yang diamanahkan menutup mata akibat disogok wang dan seks. Kepentingan umat dan bangsa sudah tidak diendah.

Selama ini bukan main umat Islam Malaysia cerewet dalam bab halal tetapi dalam tak sedar mungkin ada sebahagian kecil ‘daging kotak’ dicemari.

Tak hairan apabila isu ini menjadi perhatian umat Islam – mengundang marah lebih besar dari isu wabak rasuah penguatkuasa di pintu masuk lapangan terbang.

Rasa marah yang amat sangat umat Islam harus dihalakan pada sasaran yang betul iaitu rasuah. Itulah puncanya. Kerana gelap mata segelintir penjawat awam akibat disuap, kita menjadi mangsa.

Ingatlah kerana rasuah Kesulatanan Melayu Melaka yang hebat juga boleh tumbang. Apatah lagi hal-hal lain. Daging kerbau boleh jadi daging kuda. Lembu menjadi kanggaru. Yang halal boleh bercampur dengan babi.

Katakan jijik pada rasuah!!