PADA Ogos tahun lalu iaitu lima bulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kerajaan memperkenalkan kempen membudayakan norma baharu.
Kempen tersebut sangat signifikan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 yang mengejutkan dunia pada tahun 2020.
Dari basuh tangan secara kerap sehinggalah menjalankan urusan harian, semuanya ada digariskan kerajaan menerusi kempen tersebut.
Namun seperti yang dimaklumi, dua bulan selepas kempen berkenaan dilancarkan di Pagoh, Johor, kes-kes baru meningkat saban hari.
Ini memaksa kerajaan memperkenalkan kembali strategi kawalan pergerakan walaupun tidak seperti Mac lalu dengan ruang diberikan agar ekonomi dapat bertahan.
Sampailah sekarang, Lembah Klang antaranya masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Yang berbeza ialah prosedur operasi standard (SOP).
Namun cara virus tersebut merebak tetap sama iaitu apabila manusia mengamalkan norma lama. Bahkan ia berkembang menjadi varian yang lebih cepat merebak.
Ada ketikanya, kes harian sudah melebihi 2,000 kes. Kata orang, wajah Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pun ada kalanya nampak keletihan dengan angka-angka yang dibacanya.
Begitu jugalah kepenatan dalam kalangan petugas barisan hadapan kesihatan dan lain-lain. Menyeimbangkan antara keperluan kesihatan dengan tuntutan kehidupan normal ternyata bukan mudah.
Tengok bilangan kenderaan di lebuh raya utama pun sudah tahu, sesaknya seperti sudah pulang beraya. Pusat peranginan popular sesak. Begitu juga anak perantau yang pulang ke kampung.
Hujung tahun adalah masa orang berjalan walaupun ajaibnya, kita mampu menahan kerinduan dari berhari raya di kampung ketika Aidilfitri lalu.
Kenapa di awal penularan COVID-19 kita mampu melakukannya tetapi kini agak sambil lewa dengan segala SOP? Walhal vaksin COVID-19 belum pun sampai di Malaysia.
Tiada salah pendekatan kerajaan memilih menyeimbangkan antara tuntutan kesihatan, ekonomi dan kehidupan. Memang sukar untuk kembali kepada PKP sepenuhnya.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna SOP boleh diabaikan. Di mana norma baharu? Kenapa perlu bersalam bahkan berpeluk ketika berjumpa? Apa malasahnya bersalam cara norma baharu dengan meletakkan tangan di bahu sambil tunduk hormat sedikit.
Ekonomi perlu berjalan, kehidupan perlu diteruskan tetapi jika lebih 2,000 kes baru COVID-19 sehari dilaporkan, apa akan jadi?
Kepada kementerian-kementerian yang terlibat, mereka perlu kembali agresif menggerakkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu. Amalan norma baharu bukan satu pilihan tetapi satu kemestian.
Selain penguatkuasaan, ingatkanlah rakyat di bumi dan kayangan walau hal ini terpaksa diulang-ulang. Biar nak dikata berleter sekali pun asalkan apa yang dibuat untuk kesihatan semua.
Kes aktif yang sedang dirawat di seluruh negara sudah melebihi 21,000 kes. Kita perlu mengurangkannya sebelum kemudahan kesihatan awam sudah tidak mampu menampung.
Norma baharu mampu mengurangkan risiko penularan. Masih belum terlambat.