KUALA LUMPUR – Sambil menyifatkan tahun 2020 sebagai tahun amat sukar dan mencabar, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat untuk sama-sama mengembleng kekuatan dan kecekalan bagi melangkah ke tahun baharu 2021 dengan semangat lebih kental.
Perdana Menteri menegaskan, matlamatnya adalah untuk melihat Malaysia lebih bersatu padu, bebas daripada ancaman Covid-19, rakyatnya makmur dan sejahtera, ekonominya pulih dan rancak berkembang serta namanya megah di persana antarabangsa.
Sehubungan itu melalui perutusan Tahun Baharu 2021 malam tadi, Muhyiddin menggariskan lima keutamaan kerajaan pada tahun ini dalam strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid-19.
Lim keutamaan itu ialah pertama, mempertingkatkan tahap kesihatan awam melalui perolehan bekalan vaksin COVID-19 dan melancarkan program vaksinasi di seluruh negara; kedua, memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca COVID-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12);
Ketiga, memastikan kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan; keempat, menjamin kedaulatan negara terpelihara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebat; dan kelima, memperkukuh hubungan antara kaum dan agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman.
Perdana Menteri menegaskan, lima keutamaan kerajaan itu adalah selari dengan visi jangka panjang yang terangkum dalam dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).
‘’Jika kita berusaha dengan lebih gigih hari ini dalam memulihkan ekonomi negara, saya pasti hasrat WKB 2030 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus maju seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan akan tercapai dengan jayanya menjelang tahun 2030,’’ katanya.
*Nasihat pemimpin politik jangan gugat kestabilan
Ketika menyentuh keutamaan ketiga iaitu kestabilan politik, Muhyiddin berharap, pemimpin-pemimpin politik dapat menunjukkan sikap bertanggungjawab dan tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu- gugat kestabilan politik negara.
Katanya, pada masa ini, adalah baiknya jika mereka menolak ke tepi soal politik dan bersatu demi memelihara kebajikan rakyat.
‘’Kita perlu dan mesti bersama dalam mengharungi pandemik ini sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara. Rata-rata rakyat mahukan semua ahli politik untuk menggembleng tenaga membantu rakyat dan tidak mencetuskan kemelut politik yang merugikan rakyat.
‘’Jutaan rakyat telah terjejas dengan pandemik ini, maka adalah lebih baik jika kita pamerkan kematangan dalam berpolitik dan terus memahami keluh-kesah, dan mendengar denyut nadi kemahuan rakyat.
”Saya percaya jika kita bekerja demi rakyat, mendahulukan rakyat, membela rakyat maka sudah tentu rakyat akan terus menyokong segala usaha kerajaan demi kebaikan bersama,’’ katanya.
Dalam perutusan itu juga, Muhyiddin menegaskan, segala usaha sedang giat dan akan terus dijalankan oleh pihak kerajaan bagi memastikan rakyat berada dalam keadaan selamat daripada ancaman COVID-19.
‘’Namun demikian, kita sendiri perlu bertanggungjawab dan berwaspada kerana virus ini sudah berada dalam komuniti di sekeliling kita. Insya-Allah, berbekalkan pengalaman sepanjang tahun 2020 kita semua mampu memastikan situasi pandemik terus terkawal,’’ katanya.
Beliau berkata, Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengunjurkan tempoh masa selama empat hingga lima tahun diperlukan dalam usaha dunia mengawal COVID-19 dengan efektif.
‘’Dari segi ekonomi, IMF World Economic Outlook 2021 pula mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global pada tahun 2021 adalah sekitar 5.4 peratus. Bank Dunia dan Bank Negara Malaysia (BNM) juga mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang antara 6.5 hingga 7.5 peratus.
‘’Apa yang pasti, unjuran optimistik ini menunjukkan bahawa ada sinar yang lebih cerah menanti kita semua pada tahun 2021. Dengan unjuran-unjuran positif ini, kerajaan akan menggembleng usaha untuk memulihkan situasi di Malaysia sebaik dan secepat mungkin,’’ katanya.