KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah amat prihatin terhadap nasib rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 terutamanya mereka yang kehilangan orang tersayang.

Sehubungan itu, dalam satu kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, semalam, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar rakyat terus sabar dan cekal mengharungi pandemik tersebut.

“Wabak ini juga bukan sahaja telah mengancam keselamatan diri, malah menjejaskan kesejahteraan ekonomi negara dan sosio-ekonomi rakyat. Seri Paduka Baginda berdua amat prihatin terhadap nasib rakyat dan turut sama merasakan segala keperitan hidup rakyat, terutamanya golongan yang kehilangan orang tersayang mahupun punca pendapatan, akibat penularan wabak Covid 19.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar rakyat terus bersabar dan cekal dalam mengharungi dugaan ini dan sentiasa berdoa supaya musibah yang menimpa pulih seperti sedia kala. Semoga dengan kehadiran vaksin Covid-19 pada awal tahun hadapan nanti akan dapat membantu melandaikan keluk pandemik dan memutuskan transmisi virus yang melanda negara sekian lamanya,” jelasnya.

Dalam kenyataan itu juga Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan kegusaran terhadap peningkatan kes positif harian Covid-19.

‘’Seri Paduka Baginda berdua menasihati rakyat supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga dengan berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid-19.

“Seri Paduka Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini menzahirkan setinggi penghargaan kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan di atas pengorbanan yang telah dicurahkan, tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memikul tanggungjawab memerangi wabak Covid-19 demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara,” jelas Ahmad Fadil.

Di samping itu, Seri Paduka Baginda berdua turut menasihati semua pihak khususnya ahli-ahli politik agar mengurangkan agenda dan ketegangan politik.

Sebaliknya ahli politik titah Seri Paduka Baginda berdua, jelas Ahmad Fadil, perlu bersama berganding bahu dan memberi tumpuan membela kebajikan rakyat dan mengutamakan proses pemulihan ekonomi negara.

“Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda berdua sentiasa inginkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat jelata terpelihara dan ianya amat bergantung kepada kestabilan politik dan pentadbiran negara.

“Dalam usaha untuk mengekalkan kestabilan tersebut, Seri Paduka Baginda berdua menasihati semua pihak, khususnya ahli-ahli politik, supaya mengurangkan agenda dan ketegangan politik,’’ kata Ahmad Fadil.

Tambah Ahmad Fadil, Seri Paduka Baginda berdua mengingatkan semua pihak perlu sentiasa bermuhasabah untuk mengambil iktibar serta teladan daripada peristiwa dan cabaran yang dilalui tahun lalu.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar keamanan dalam negara dapat dikekalkan berserta dengan keharmonian hubungan antara kaum,kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan kehidupan rakyat Malaysia yang sentiasa berpegang pada prinsip rukun negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

“Allah SWT sentiasa membantu orang-orang yang berusaha dan Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan daya tahan yang jitu, kita mampu bersama menghadapi segala cabaran dan ujian.

“Semoga tahun 2021 dikurniakan oleh Allah SWT dengan keadaan lebih baik berbanding tahun-tahun yang lalu. Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan supaya para pemerintah, pemimpin dan rakyat di negara ini terus dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT,” kata Ahmad Fadil lagi.

Seri Paduka Baginda berdua turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar Malaysia sentiasa dilindungi daripada segala bentuk ancaman, serta dikurniakan perpaudan dan kemakmuran berkekalan.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan agar Malaysia sentiasa dirahmati nikmat keamanan dan perpaduan meskipun dilanda pelbagai ujian terutamanya pandemik COVID-19.

“Seri Paduka Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya, Malaysia sentiasa dirahmati nikmat keamanan dan perpaduan meskipun sepanjang tahun 2020, negara yang kita cintai bersama ini dilanda pelbagai ujian.

“Ujian-ujian ini adalah sunnatullah bagi menguji hamba-hamba-Nya sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun.(Al-Mulk: 2),” kata Ahmad Fadil.