APAKAH benar UMNO bersedia tunduk kepada DAP dalam usaha mengembalikan kuasa politiknya dan meraih sokongan dalam kalangan masyarakat bukan Melayu?
Jika dulu persoalan seperti ini nampak aneh dan mustahil memandangkan permusuhan yang cukup panjang antara kedua-dua parti itu sejak DAP ditubuhkan pada 1966 tetapi perkembangan politik kebelakangan ini seolah-olah membayangkan kerjasama itu bukanlah sesuatu yang mustahil.
Sama ada kita suka atau tidak, kita harus mengakui inilah kehebatan yang ada kepada DAP. Kekuatan parti itu yang terbina akibat perpecahan parti Melayu mulai tahun 1990 telah membuka jalan kepada parti yang suatu ketika dianggap cauvinis dan rasis itu mula menjadi rebutan parti-parti Melayu (mungkin juga termasuk UMNO).
Sebelum tahun 1985, DAP bukanlah ancaman kepada parti kerajaan yang bermula dengan Perikatan kemudiannya Barisan Nasional (BN). Namun begitu, DAP yang merupakan parti serpihan kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang kini berkuasa di Singapura terus mengumpul kekuatan mereka dari semasa ke semasa. Dan kemuncaknya ialah pada tahun 1990, apabila berlakunya perpecahan dalam UMNO.
Perpecahan itu lanjutan daripada kemelut pertarungan antara Presiden parti itu, Tun Dr.Mahathir Mohamad dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam pemilihan parti pada tahun 1987. Pertarungan itu telah memungkinkan bukan sahaja UMNO terpecah malah diharamkan pada tahun 1988. Berikutan itu, Dr.Mahathir dan Tengku Razaleigh membawa haluan masing-masing.
Dr.Mahathir mendaftarkan semula parti itu atas nama UMNO (Baru) manakala Tengku Razaleigh membawa sebahagian besar pemimpin kanan UMNO menubuhkan Parti Melayu Semangat (S46). Kewujudan S46 bagaikan rahmat untuk DAP.
Dalam berhadapan pilihan raya umum 1990, Tengku Razaleigh membawa S46 untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas, Berjasa dan KIMMA melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU) manakala bergabung dengan DAP, PBS dan PRM untuk mewujudkan Gagasan Rakyat. Hasilnya, DAP berjaya mengumpulkan kekuatan di Pulau Pinang.
Biarpun tidak dapat menawan negeri itu namun DAP menguasai 14 daripada 35 kerusi Dewan Undangan Negeri, UMNO 12 kerusi dan Gerakan (9 kerusi) manakala MCA gagal memenangi sebarang kerusi. Namun DAP tidak pernah berputus asa untuk mengukuhkan kedudukan politik mereka walaupun pada pilihan raya umum 1995 hanya memenangi sembilan kerusi Parlimen.
Apabila UMNO dilanda krisis kali kedua, berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO oleh Dr.Mahathir pada tahun 1998 sehingga terlahirnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun 1999 yang dipimpin oleh Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail, DAP menjalinkan kerjasama dengan PKR.
PKR sememangnya memerlukan DAP bagi membolehkan mereka meraih sokongan bukan Melayu. Oleh itu Barisan Alternatif ditubuhkan dengan dianggotai oleh PKR, DAP, Pas.
Walaupun pilihan raya itu tidak menyebelahi DAP kerana hanya mendapat satu lagi kerusi berbanding sembilan kerusi pada PRU 1995 manakala Lim Kit Siang dan Karpal Singh tewas di kawasan masing-masing, namun DAP terus konsisten memperkukuhkan kerjasama di blok pembangkang.
Hasilnya mereka bangkit semula dalam PRU 2004 apabila memenangi 12 kerusi Parlimen, sekaligus meletakkan kembali Lim Kit Siang sebagai Ketua Pembangkang.
Pada tahun 2008, DAP semakin cemerlang apabila mereka bukan sahaja menawan Pulau Pinang daripada BN malah menjadi parti dominan dalam pemerintahan Kerajaan Negeri di Selangor dan Perak yang ketika itu turut menyaksikan BN kehilangan kuasa.
Selepas PRU 2013 yang menyaksikan BN terus gagal menguasai kembali majoriti dua pertiga di Parlimen. DAP terus mengekalkan kerjasamanya dengan PKR yang dipimpin oleh Anwar. Dan pada tahun 2018, ia dianggap kemuncak kepada DAP apabila berlaku lagi perpecahan dalam UMNO.
Tindakan Dr. Mahathir keluar daripada UMNO dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas perselisihan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peluang ketiga untuk DAP mengaut keuntungan akibat perpecahan kali ketiga melibatkan parti induk orang Melayu itu.
Dr.Mahathir yang bertanggungjawab memecat Anwar bukan sahaja bersedia berdamai dengan Ketua Pembangkang tersebut yang ketika itu masih menjalani hukuman penjara malah bersedia membawa Bersatu bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menumbangkan BN dalam PRU-14. Akhirnya selepas 52 tahun berjuang, DAP menjadi salah satu parti yang memerintah kerajaan pusat.

Meneliti perjalanan parti itu terbuktilah, DAP menjadi kukuh bukan sahaja kerana kekuatan parti itu yang mendapat sokongan padu daripada majoriti pengundi Cina malah ‘kebijaksanaan’ mereka mengambil kesempatan atas tiga perpecahan yang berlaku dalam UMNO pada tahun 1988,1998 dan 2016. Apa yang menarik ketiga-tiganya akibat tindakan politik Dr.Mahathir ketika berada dalam UMNO dan selepas keluar daripada parti itu.
Dan kini selepas pernah menjalin hubungan dengan S46 yang merupakan parti Melayu, terus kekal bekerjasama dengan PKR serta Amanah dan satu ketika bergabung bersama Bersatu, DAP disebut-sebut pula akan menjalinkan kerjasama dengan UMNO. Ia bermakna, DAP bagaikan rebutan kepada parti-parti Melayu.
Walaupun satu ketika, tindakan DAP bekerjasama dengan Pas dianggap cukup ganjil tetapi kalau benar ada usaha mahu mewujudkan kerjasama parti itu dengan UMNO ia lebih ganjil. Ia memandangkan permusuhan parti itu dengan UMNO dikatakan jauh lebih hebat berbanding permusuhan antara UMNO dan Pas yang kini bergabung dalam Muafakat Nasional.
Namun begitu, bagi sesetengah pemimpin DAP mereka tidak melihat ia sesuatu yang ganjil atas alasan demi kebaikan rakyat. DAP amat tahu kekuatan UMNO dalam usaha mereka menarik sokongan orang Melayu. Dalam soal tersebut, UMNO jauh lebih berpengaruh berbanding PKR, Pas mahupun Bersatu.
Melalui kerjasama dengan UMNO, DAP berharap dapat membuktikan kepada orang Melayu bahawa mereka bukanlah bersikap cauvinis apatah lagi ketika inipun ramai wakil rakyat mereka terdiri daripada orang Melayu dan ramai anak muda Melayu menyertai parti tersebut.
Justeru DAP tidak akan keberatan untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO kerana mereka memikirkan keuntungan politik yang bakal mereka perolehi tetapi soalnya wajarkah UMNO mewujudkan kerjasama tersebut?
Malangnya dalam kalangan pemimpin UMNO, hanya disebabkan perasaan benci terhadap Bersatu, mereka kini cuba menampakkan kerjasama dengan DAP bukanlah sesuatu yang aneh.
Mereka menganggap dasar atau pegangan ‘ No Anwar, No DAP’ oleh UMNO sudah tidak relevan lagi! Oleh itu mereka melakukan gerakan untuk menyakinkan ahli-ahli UMNO bahawa mewujudkan kerjasama dengan DAP adalah perlu bagi membolehkan UMNO kembali berkuasa.
Mungkin dalam kalangan pemimpin UMNO mereka sudah tidak ada lagi keyakinan bahawa memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan parti Melayu dan memperkuatkan komponen BN seperti MCA dan MIC akan mampu membantu parti tersebut kembali merampas Putrajaya. Pendirian seumpama ini sudah tentulah menggembirakan DAP.
Ia memandangkan selepas tiga kali perpecahan dalam UMNO mendatangkan sedikit sebanyak keuntungan kepada mereka, kini sudah ada hasrat oleh sesetengah pemimpin UMNO itu bekerjasama dengan DAP.
Dalam soal ini, DAP tidak boleh disalahkan kerana sejak dahulu lagi mereka sentiasa konsisten dalam perjuangan mereka dan ketika ada Ahli Parlimen melompat parti, ahli-ahli Parlimen DAP terus ‘istiqamah’.
Pemimpin Melayu yang mahu membawa UMNO bekerjasama dengan DAP harus berasa malu dengan sikap istiqamah DAP. Pemimpin-pemimpin DAP nampaknya jauh lebih bijak berpolitik. Walaupun mereka meletakkan syarat untuk kerjasama tersebut tetapi mereka tidak menolak secara total.
Kenapa mereka bersedia berbuat demikian? Segalanya kerana DAP tahun keuntungan politik yang bakal mereka perolehi. Tetapi malangnya sesetengah pemimpin UMNO berfikiran cetek, malah antara mereka mula membawa nada DAP apabila berhujah ‘’UMNO perlu bersedia dengan apa juga kemungkinan jika ia memanfaatkan rakyat.’’
Hakikatnya, jika UMNO bertindak mahu menjalinkan kerjasama dengan DAP, ia boleh membawa petaka politik kepada parti tersebut. Ia memandangkan majoriti ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi sama sekali tidak bersedia untuk langkah politik seumpama itu.
Apatah lagi sebagai parti induk terbesar orang Melayu, UMNO sepatutnya berusaha menyatukan semua parti Melayu di bawah satu panji-panji bukannya bekerjasama dengan ‘musuh politik’ sehingga akhirnya akan melemahkan kuasa politik orang Melayu. Apapun pujian harus diberikan kepada DAP kerana mereka kini menjadi rebutan parti Melayu.
Bukan kerana tiada ruang untuk parti-parti Melayu bersatu dan bersama-sama berjuang demi kepentingan orang Melayu, umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya, tetapi disebabkan dalam kalangan pemimpin Melayu masih menebal dengan politik ‘menang sorak kampung tergadai’ dan ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’. – Begitulah bijaknya mereka berpolitik.