Anda pernah dengar kisah-kisah bayi yang hilang dalam kandungan? Boleh kata, ia kejadian misteri yang sukar untuk dirungkaikan.

Sekarang, cuba anda fikirkan pula kejadian yang berlaku di Bukit Besi, Terengganu pada tahun 1999 ini. Sekitar pukul 7.30 malam Januari tahun itu, Nor Azira Ariffin yang berusia 10 tahun, tiba-tiba hilang dari rumahnya.

Pelik, sebab semua pintu dan tingkap sudah dikunci. Bertambah aneh kerana kanak-kanak itu kemudiannya dijumpai di atas pokok sambil menggenggam kulit ular berwarna hitam. Kata Azira, itu bukan kulit ular, tetapi kuntuman bunga pemberian Kak Dewi.

Siapa Kak Dewi dan bagaimana Azira boleh keluar dari rumah yang telah dikunci?

Kata Azira, Kak Dewi seorang gadis berusia belasan tahun yang sangat cantik tetapi badannya dari leher ke bawah menyerupai ular. Kak Dewi membelit pinggang Azira, lalu membawanya keluar dari lubang angin yang terdapat di bumbung.

Azira sering hilang secara tiba-tiba. Apabila dicari, dia akan ditemui di tempat-tempat berbeza seperti di bawah timbunan kain, belukar, di dalam tong dram dan di belakang almari.      

Azira menceritakan, Kak Dewi selalu membawanya terbang ke sebuah kawasan yang sangat indah.

“Rumah Kak Dewi cantik. Dia nak kawan dengan Azira. Lepas tu dia bagi Zira makan pisang,” demikian cerita kanak-kanak tersebut. Bagaimanapun, Kak Dewi memberitahu, sepanjang hidupnya dia tidak pernah bersolat.

Kalau begitu, makhluk apakah Kak Dewi itu? Menurut ustaz yang merawat Azira, Kak Dewi adalah makhluk keturunan jin.

Bagi Noraini pula, ia mungkin ada kaitannya dengan seekor anak ular hitam yang pernah dibunuhnya lebih 10 tahun sebelum itu, semasa mengandungkan Azira. Selepas memukulnya, bangkai itu ghaib begitu saja tanpa meninggalkan sebarang kesan darah.

Sebenarnya, masyarakat di serata tempat lain juga ada kepercayaan masing-masing terhadap kisah makhluk-makhluk sebegini. Di kalangan masyarakat Welsh misalnya, mereka percaya tentang kewujudan Bendith y Mamau, iaitu makhluk halimunan bertubuh kecil yang menculik kanak-kanak dan kemudian menggantikannya dengan anak mereka yang berwajah hodoh (Crimbil).  

Masyarakat Scottish pula percaya kepada bodach iaitu makhluk ghaib yang tinggal di dalam corong asap. Pada waktu malam, bodach akan menarik telinga serta hidung kanak-kanak yang suka membuat masalah pada siang hari. Bodach juga akan menghadirkan mimpi menakutkan dalam tidur kanak-kanak terbabit.

La Llorona pula adalah makhluk halus yang sering menculik kanak-kanak di Utara dan Selatan Amerika, khususnya di kalangan masyarakat Mexico. Sasaran La Llorona ialah kanak-kanak yang menyerupai wajah anaknya yang telah dilemaskan, untuk dibawa ke alam akhirat.

Punya popular makhluk La Llorona ni sehingga dijadikan filem

Orang yang pernah melihat La Llorona menceritakan, makhluk halimunan itu akan muncul dari tasik pada waktu senja atau malam, dan sambil menangis ia berkata, “Mana anak aku… mana anak aku?”

Konsep makhluk halus ini mempunyai persamaan dengan Lamia dalam mitologi Greek, Der Grossman (Jerman) dan Fear Dubh (Scottish). –Zulkarnain Zakaria.