SUAMIKU : Aku kucing kurap. Mukaku bertampal kulit babi.
Oleh: Shahnon Ahmad
SUAMIKU seorang broker kereta second hand sebarang buatan. Turun rumah tak tentu ketika dan pulang ke rumah tanpa jadual. Kadang-kadang sehari-harian merokok di rumah bermimpikkan kebahagiaan. Hidup tanpa jaudal ini mengakibatkan pendapatan kami berpasang-surut. Dan ketenteraman rumah tangga kami juga sering bergocoh.
Aku cinta pada suamiku dan kerana cinta yang mendarah daging itu kami dihadiahkan empat orang manusia yang hampir-hampir segagan. Di samping berbual-bual tentang kereta second hand dan orang-orang yag hendak membeli kereta, kami juga mengisahkan tentang tuah sial anak-anak kami di hadapan kelak.
“Aku tak suka anak-anakku jadi beroker”, sering benar suamiku mengulangi pesanan itu, “Aku ini kucing kurap. Mukaku bertampal kulit babi. Dan aku tak suka anak-anakku menjadi kucing kurap bertampal kulit babi.”

Aku mengangguk. Kami ingin anak-anak kami menjadi orang-orang besar yang punya kereta sendiri. Dan ini sudah lama tersemat kukuh di ulu hati kami.
Hari itu suamiku pulang memandu sebuah kereta Opel model tua. Cat abu curutnya sudah mati. Serombong asap di buntut Opel itu pun sudah pecah-pecah dimakan asid. Dan bunyi enjinnya boleh mengejutkan bayi-bayi dalam dakapan ibu-ibu.
Hal ini langsung tidak menghairankan kami. Sudah menjadi kelaziman sejak sepuluh tahun ini. Anak-anakku tidak menyerbu ke tanah mengemuni Opel cabuk itu. Mereka sudah bosan dengan bunyi kereta. Kadang-kadang dalam sepuluh hari, sepuluh buah kereta bersarang di perkarangan rumah kami.
Tapi hari itu agak berbeza sekali. Enjin berbunyi terus menerus. Suamiku tidak mematikannya. Kami lima beranak bergesa-gesa menyerbu ke tingkap ruang depan. Hidung anak-anakku terpenyek ke jerejak-jerejak tingkap melihat bapa mereka. Dengan perasaan pongah suamiku melangkah turun. Dan dengan kasar pintu Opel tua itu ditutup. Anak-anakku menyeringai kengerian.
“Minta gelang sebelah!” kata suamiku gopoh-gapah.
Aku tidak banyak bicara. Perkara meminta gelang rantai ini cuma perkara biasa buat kami. Perlahan-lahan gelang emas di tangan, aku lucutkan. Dan perlahan-lahan pula ku hulurkan ke tangan suamiku yang kasar dan berkematu itu.
“Abang nak ke mana?” soalku lembut.
Bunyi enjin Opel cabuk menelan suaraku. Suamiku mendongak sambil mengangkat kening.

“Abang nak ke mana?” aku ulangi kuat sedikit. Masih juga suaraku tenggelam. Suamiku undur matikan enjin yang garang itu.
“Apa?” soalnya ringkas.
“Abang nak ke mana?”
“Penang”, ujarnya, “Ke Penang menghantar kereta cabuk ini Kembali.”
“Tak jadi ambil?”
“Tak jadi.”
“Siapa?”
“Cikgu Zain – Cikgu Zain Derga. Janji mau ambil. Teruk-teruk aku berjanji dengan taukeh. Tiba-tiba dia tak mau. Tak cukup duit, katanya. Kalau tak ada duit, tak usah beli kereta. Senang kira.”
Aku cuba memujuk suamiku supaya beralas perut terlebih dahulu sebelum berangkat, tapi dia menolak. Dia takut dimarahi taukeh agungnya. Tak laku kereta bererti rekod tak baik. Sebuah dua boleh dimaaf. Kalau sudah berpuluh-puluh tidak laku, jawatan `kucing kurap’ tentu terbang. Dan penerbangan seumpama itu bermakna maut sudah di ambang pintu. Suamiku takut hal ini berlaku. Aku menghantarkannya dengan doa.
Petang tiu suamkiku pulang dengan sebuah kereta lain : Morris Oxford berwarna hitam semuanya. Meskipun kusyen-kusyen di dalamnya sudah lusuh dan berdaki, tapi enjinnya sanggup juga diterima kuping.
“Siapa punya?” soalku bila dia bersarang di kerusi.
“Cikgu Hud”.
“Harga?”
“Empat ribu lima.”
“Bayar dulu?”
“Lapan ratus.”
“Bulan-bulan?”
“Seratus lima puluh.”
“Berapa gaji cikgu-cikgu sekarang?”
“Mana aku tau”, balas suamiku, “Lagi pun apa pedulikan. Kereta laku kita dapat komisen. Sebuah kereta dua puluh, kalau lima?”
Kisah kereta itu kadang-kadang membingungkan juga. Sanggup berlauk tamban asalkan ada. Sanggup bergadai asalkan ada. Tapi kerja broker seperti suamiku ini tidak ambil pusing tentang hal itu. Dia saggup bermuka tebal dengan sesiapa saja asalkan ada jalan masuknya, Lagi pula kami sendiri pun sudah biasa naik kereta,. Kadang-kadang sehari suntuk kereta tidur di bawah rumah. Selama ini hampir-hampir beratus buah kereta singgah di perkarangan rumah kami.
“Di mana orang sekarang ambil duit beli kereta, bang?” soalku.
“Ah! Bukankah negeri kita sekarang makmur? Kereta tanda makmur dan orang yang punya kereta adalah orang makmur. Dan orang yang makmur adalah orang yang disegani, orang yang dihormati. Dan kalau rakyat hendak menghormati mereka, tak dapat tidak mereka mesti memakai kereta.”
Suamiku melucutkan baju dari badannya. Sosok badannya begitu kukuh. Anakku yang tertua terburu-buru masuk kamar mengambil kain untuk bapanya. Suamiku menyambut pemberian anak sulung kami sambil mengusap pipinya.
“Besok bapa beli empat buah jereta untuk Yati dan adik-adik,” tegas suamiku.
“Yati mau apa?” tanya suamiku.
“Yati mau kereta apa?” aku menambah.
“Jeep.”
“Suhaimi?”
“Loli.”
“Besok bapak beli lori dan kereta kebal. Kita sorong di atas rumah kita ramai-ramai.”
Aku tatapi muka suamiku. “Berapa laku hari ini?” soalku perlahan.
“Sebuah.”
“Cukupkah dua puluh ringgit hendak beli empat buah kereta?”
Suamiku membisu. Dadanya yang bidang serba kejap itu nampak begitu kukuh pada tatapanku. Dia membongkok dan merapatkan mulutnya ke telinga kananku. Terasa nafasnya terhembus di kuping.

“Kita belikan saja kereta plastik buatan Hong Kong. Paling mahal lima puluh sen sebuah,” bisiknya.
Aku tersenyum sambil mengangguk. Malam itu kami tidur dengan penuh ketenteraman. Sesudah menidurkan keempat-empat anak kami, aku berubah ke kelambu suamiku. Malam tersangat indah, aku rasa.
Besoknya suamiku bangun awal. Jam 7 dia sudah memandu kereta itu keluar. Deru enjinnya mengejutkan anakku yang bongsu.
“Jangan lupa beli empat buah kereta,” pesanku.
Suamiku melambaikan tangan bagaikan tuan besar hendak berangkat ke ibu pejabat. Aku membalas lambaian itu dengan gagahnya.
“Tetapi mana ada tuan-tuan besar ke ofis seawal itu?” fikirku, “Habis awal jam 9.” Dan ingatan itu pun turut lumpuh : Suamiku bukan pembesar negara. Dia hanya seorang kucing kurap. Aku juga cuma isteri seorang kucing kurap. Alangkah luas sempadannya.
Waktu tengah hari suamiku pulang dengan lima buah kereta. Yang sebuah dia memandukannya. Yang empat lagi disimpan dalam bungkusan saja. Melihat kereta besar merangkak masuk ke perkarangan kami, anak-anaku melompat-lompat. Mereka juga ingat pada janji-janji bapa mereka. Begitu girang mereka mendapat sebuah kereta `Made in Japan’ tiap-tiap seorang. Aku sambut kepulangan suamiku dengan sebuah senyuman mesra.
“Siapa lagi?” soalku sambil menudingkan telunjukku hala ke kereta yang terletak di tengah halaman.
“Belum tentu lagi,” ujar suamiku, “Cuma ada orang hendak melihatnya besok pagi.”
“Siapa?” soalku lagi.
“Aku pun tak tau, tapi kata taukeh dia seorang kerani di PWD.”
Segala itu tidak penting buat kami. Suamiku hanya ingin melariskan kereta sahaja. Tapi hatiku ini begitu nakal. Ingin mengambil tahu hal keadaan orang lain. Siapa membelinya? Banyak mana gajinya?
“Besok saja aku bawakan kereta ini ke pejabat PWD,” suamiku bersuara, “nanti petang kita bawa anak-anak mengelilingi kota. Kalau sempat kita singgah di Garden Malaysia.”
Petang itu kami enam beranak berlagak sombong. Suamiku memakai baju bertampung-tampung. Aku di sisinya meriba anak kecil kami. Anak-anak yang tiga orang lagi melompat-lompat di bahagian kusyen belakang sambal menyanyi. Sekali-sekala kereta kami berselisih dengan kereta kenalan. Dan suamiku menabik tangan tanda bersapa.
Tiba di tengah kota suamiku memutar-mutar keliling kota. Di mulutnya tergonggong sebatang rokok, bagaikan memandu kereta itu suatu perkara yang paling senang dalam dunia ini. Aku dapati banyak orang-orang kota melihat kereta kami. Setengah-setengahnya kelihatan berbisik-bisik kehairanan. Kemudian kami terus ke Garden Malaysia. Suamiku meletakkan kereta kami berdekatan dengan sebuah kereta lain yang agak sebaya besarnya dengan kereta kami. Tuannya begitu kacak. Dia tersenyum pada suamiku bagaikan tanda berbahasa. Suamkiku membalas senyuman ini dengan anggukan kepala.

Kami menuntun anak-anak kami ke tempat papan jongkang-jongkit. Waktu ini banyak benar budak-budak bermain. Tapi ketibaan kami menyebabkan mereka mengelak bagaikan memberi peluang kepada kami. Dua tiga orang tukang gambar terburu-buru mengikuti kami. Tapi setiap bicara dibalas oleh suamiku dengan gelengan kepala. Aku tau sebabnya ia menggelengkan kepala itu.
Waktu kami tiba di kereta semula untuk berkemas pulang, orang kacak empunya kereta yang sebaya besarnya dengan kereta kami itu masih ada. Kini dia berdiri tegak di depan keretanya bagaikan hendak menyekat ketibaan kami. Kali ini tak ada senyuman di bibirnya lkagi, tapi terus menyapa suamiku yang sedang menuntun anak akmi yang nombor dua.
“Hello!” sapanya
“Going home?”
Suamiku tersenyum sambil mengangguk.
“So quick?”
Suamiku mengangguk lagi, tapi senyumannya sudah agak berkurangan.
“Smoke?”
Pelawa orang kacak itu serta menghulurkan kotak rokoknya.
Suamiku seorang perokok. Dia serba-salah. Dia berhenti dan dengan penuh teliti menerima pelawaan itu. Aku bersama anak-anak terus masuk kereta.
“Encik lama di sini?” orang kacak majukan soalan.
“Dua puluh tahun,” balas suamiku.
“Ofis mana?”
Suamiku tersentak mendengar pertanyaan itu. Aku sendiri terasa sindiran itu. Tahukah dia siapa suamiku ini? Atau pun dia benar-benar ingin mengetahui. Aku lihat suamiku menyedut rokoknya panjang-panjang.
“Berniaga,” tiba-tiba kudengar suamiku melepaskan usaranya. Dadaku terasa lapang.
“Cars?”
“Second hand cars,” balas suamiku lagi. Berdegup jantungku mendengar kebijaksanaan suamiku berbohong itu.
“Ah! Kena orangnya, kena orangnya,” kudengar suara encik itu berulang-ulang.
“Isteri saya ingin sebuah kereta second hand. Opel Record model baru kalau boleh. Boleh encik tolong cari? Besok petang bawa ke rumah nombor 37, Jalan D. Telefon saya 849. Minta broker encik hantar pun cukuplah.”
Ejekan itu terasa benar hingga ke ulu hati. Dan bertubi-tubi perasaan kurang senang menyerang dadaku. Tahukah dia siapa suamiku? Ataupun adakah benar-benar ia ingin mengetahui? Aku lihat suamiku mencatit sesuatu dalam diarinya.
“Nama encik?” kudengar suamiku menyoal.
“Ahmad – Ahmad Maulana.”
Suamiku mencatit lagi.
“Baik!” ujar suamiku, “Saya sendiri akan membawa kereta itu ke rumah encik.”
“Jam?”
“Kurang lebih empat setengah.”
Dan dengan itu mereka bergoncangan tangan. Suamiku kemudiannya terus masuk kereta, menghidupkan enjin, masuk gear satu, dua, tiga dan kereta kami pun menderu hala ke rumah.

“Bertuah!” kata suamiku.
“Bertuah apa, bang?”
“Bertuah mendapat pelanggan.”
“Siapa dia?”
“Pedulikan siapa! Asal sebuah Opel dibeli melalui tanganku ini sudah cukup. Tak kira siapa dia.”
“Nampaknya orang baru,” ujarku, “Dan orang-orang baru yang tinggal di Jalan D, tentulah orang-orang berpangkat besar.”
“Orang membeli kereta untuk isteri tentulah pangkat tinggi. Kalau tidak manakan boleh pakai dua, tiga buah kereta,” balas suamiku.
Kegirangan kami memuncak. Moga-moga besok menambahkan lagi pendapatan.
Jam 7 besoknya suamiku terus menghantar kereta ke PWD. Terburu-buru benar dia ke situ kerana kemudiannya terpaksa terus ke Pulau Pinang membawa pulang Opel untuk isteri orang kacak. Alangkah cantiknya melihat seorang wanita muda memandu kereta, apalagi kalau kereta itu model baru. Dapatku gambarkan bagaimana dia memasukkan gear. Tentulah rambutnya mengerbang dipukul angin. Kereta itu akan lari dengan derasnya. Suami isteri mempunyai sebuah kereta masing-masing tentulah bahagia hidup mereka.
Pada petang itu keret Opel model baru berada di halaman rumah kami. Semua serba moden. Kusyennya masih utuh. Begitu juga tayar, spring pintu dan cat aslinya. Tapi suamiku tidak membiar kereta tu beristirehat lama di rumah kami. Dia terus pula membawanya ke Jalan D, No. 37. Aku menghantarnya dengan satu pesanan : “Jemputlah keluarga Ahmad Maulana itu bila ada waktu terluang.”
Suamiku tersenyum.
Tapi beberapa jam kemudian secara mengejut sekali suamiku pulang bersama Opel model baru itu. Begitu mengejut pula ia membrekkan kereta itu hingga gigiku mengancing kesiluan. Berdegung bunyi ia merapatkan pintu semula. “Mesti ada sesuatu yang tidak enak,” fikirku. Dan sebelum aku sempat menyoal lebih lanjut, tercetus keluar kata-kata pongah dari mulut suamiku.
“Kurang ajar! Manusia di dunia ini semuanya kurang ajar.”
Aku terkejut besar.
“Apa bang?”
“Kita ditipu. Ahmad Maulana tidak ada. Rumah nombor 37, Jalan D tidak ada. Dan telefon 849 itu kepunyaan Cina kilang.”
“Jadi?”
“Ahmad Maulana itu cuma kucing kurap macam aku juga,” sungut suamiku penuh rengusan.
“Dia benci melihat banyak kereta lepas dari tanganku ini. Dia tidak suka melihat kucing kurap seperti aku ini hidup macam orang-orang besar. Memang manusia sekarang menaruh dengki terhadap sesama manusia, lebih-lebih lagi di antara orang-orang Melayu kita.”
Tapi sifat berang itu cepat pula reda. Kisah tipu-menipu dan khianat mengkhianati ini sudah masak dalam hidup kucing kurap seperti suamiku ini.
“Ah! Alangkah lambatnya hari kiamat!” keluhku.
——–
Cerpen berjudul Suamiku ini telah disiarkan oleh majalah Mastika keluaran Febrari 1964, dalam tulisan jawi.
Shahnon lahir pada 13 Januari 1933 di Kampung Banggul Derdap, Sik, Kedah. Beliau mula menulis pada tahun 1956, ketika berusia 23 tahun dan sememangnya diakui Mastika adalah antara media terawal tempat beliau mengetengahkan bakatnya.
Dalam karier panjangnya sebagai penulis, Shahnon telah menghasilkan beratus-ratus buah cerpen, novel, esei, drama dan kritikan. Antara novel beliau yang terkenal ialah Srengenge, Ranjau Sepanjang Jalan, Tivi dan Terdedah. Atas sumbangan besarnya Sahahnon telah dipilih sebagai Sasterawan Negara (1982), Profesor Emeritus dari Universiri Sains Malaysia (1983) serta pelbagai anugerah lain.
Mastika sentiasa dekat di hati Shahnon. Malah beliau adalah kenalan rapat kepada bekas Pengarang majalah ini, Zainol Fakir. Walaupun Mastika pada pertengahan 1990an mengubah konsepnya kepada cerita-cerita kemanusiaan dan misteri, Sahahnon tetap menyanjung majalah ini.
Dalam satu temubualnya dengan Mastika untuk keluaran Ogos 2001, Shahnon berkata…

“Membaca Mastika memberi kepuasan dan mempertajamkan daya persepsi saya. Mastika secara total bukan sekadar majalah misteri, tetapi di sana-sini terlukis segala macam perihal manusia dan kemanusiaan yang seronok untuk dihayati.
“Aspek-aspek kemanusiaan, soal-soal mati, alam kubur, pelik, yang aneh-aneh dan sebagainya memang mencabar minda sekaligus menyarakan para pembaca supaya berfikir dan merenung akan segala rahsia alam ciptaan Tuhan ini.
“Rahsia alam ghaib yang dipaparkan mendorong rasa ingin tahu setiap orang tanpa mengira golongan mahupun status. Ada kalanya kisah-kisah yang dipersembahkan memang luar biasa, penuh dengan misteri dan wujud unsur-unsur magis di dalamnya, namun di sebalik cerita-cerita itu terselit unsur-unsur tarbiyah – untuk renungan kita.
“Anyaman bahasa yang segar, bertenaga dan kaedah bercerita yang bersahaja serta olahan yang beum pernah dilakukan mana-mana majalah sebelum ini, menjadi tunjang kekuatan Mastika.
“Wibawanya sukar dicabar, walaupun pelbagai himpitan datang bertali arus. Pada hemat saya Mastika telah berjaya membawa pembaca meneroka pemikiran dan sebuah dunia baru yang cukup bermakna. Syabas!!!”

Shahnon meninggal dunia pada 27 Disember 2017 di Kajang, Selangor, pada usia 84 tahun. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Allahyarham SN, Prof. Emeritus Datuk Hj. Shahnon Ahmad. UtusanTV mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan umat-umatNya yang dikasihi. Al-Fatihah.