Propogandis Barat ini hanya menjurus kepada satu perkara, iaitu memburukkan minyak sawit kita dan mempromosikan minyak kacang soya mereka.

KUALA LUMPUR – Kali kedua dalam tempoh terdekat, Amerika Syarikat (AS) membuat sekatan ke atas produk minyak sawit keluaran dua syarikat besar Malaysia.

Benar, ada alasan diberi dan sudah tentu pihak berkuasa dan syarikat perladangan tidak boleh ambil mudah isu dibangkitkan. Malaysia juga mempunyai mekanisme bagi mewujudkan kemampanan industri ini.

Namun pada masa sama, tindak tanduk Barat ke atas minyak sawit sentiasa dilingkari persoalan yang tidak lain tidak bukan hanya melindungi kepentingan industri tempatan mereka.

Ini mengingkatkan agresifnya mereka di tahun 80-an. Sejak empat dekad lalu, minyak sawit diserang, diasak dan ditekan seboleh mungkin oleh negara maju atas macam-macam alasan.

Dekad 80-an dibangkitkan isu produk sawit membahayakan kesihatan dan kemudian disusuli dengan dakwaan industri sawit mendatangkan kemusnahan besar kepada alam sekitar.

Kedua-dua tuduhan itu berjaya ditangkis menerusi bukti saintifik hasil kerja keras penyeldidik, pegawai dan sektor berkenaan.

Barat memang angkat bendera putih dengan kemampuan kita menangkis dakwaan mereka apabila dijawab dengan fakta sains.

Antara watak penting berjuang mempertahankan industri sawit sudah tentu Tan Sri Dr Augustine Ong. Penyeldidik, ahli akademik dan juga pernah menerajui Institut Penyelidikan Sawit Malaysia (PORIM).

Persatuan Industri Soya Amerika Syarikat (ASA) yang kuat menyerang industri sawit pada hujung 80-an juga mengaku kalah dengan hasil penyelidikan nutrisi minyak sawit Dr. Augustine.

Walau bagaimanapun, sawit adalah satu industri. Nilainya cukup besar. Ia mempunyai pesaing yang mengeluarkan produk untuk kegunaan serupa.

Jadi, ia akan terus mempunyai musuh yang tak akan pernah berputus asa yang mencari apa sahaja alasan bagi melindungi kepentingan mereka. Faham-fahamlah cara Barat.

Dr Augustine yang juga penerima sulung Anugerah Merdeka memberikan respons menarik apabila beliau ditanya sebuah majalah antarabangsa berhubung undang-undang baru di Kesatuan Eropah (EU) dan Perancis yang terus menekan produk sawit.

“Semua negara sepatutnya berpegang kepada perdagangan bebas,” sambil menambah, siapa yang mampu membekalkan keperluan dunia pada harga terendah, mereka tidak patut dihalang.

Mengambil contoh Barat yang mampu mengeluarkan kelengakapan pertahanan berteknologi tinggi yang mana rantau ini tidak dapat melakukannya tetapi kemampuan kita menghasilkan produk sawit berkualiti pada harga yang kompetitif.

Maka kata Dr Augustine, Barat seharusnya membenarkan produk sawit bersaing secara terbuka dengan minyak mereka.

Semudah itu sahaja. Precedent dalam isu sawit telah ada. Dakwaan-dakwaan tidak akan pernah putus dari era Mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik jadi ‘menteri sawit’.

Maka pihak terlibat daripada agensi berkaitan sehinggalah syarikat berkenaan perlu menggembleng seluruh tenaga menangkis tohmahan Barat.

Sawit sangat penting buat negara. Hampir 40 peratus eksport agri-komoditi adalah sawit. Sawit juga menyumbang tiga peratus KDNK negara.

Dengan peningkatan harganya mencecah RM3,800 setan atau RM600 setan untuk buah tandan segar (BTS), ia satu pendapatan penting buat rakyat dan cukai kepada negara.

Kecil atau besar pasaran sawit di Barat, kita perlu tangkis dengan data dan fakta. Jangan tunduk dengan asakan Barat.