SIMO HAYHA, penembak hendap yang membenam tentera Soviet

0
176

Di antara penembak hendap legenda terhebat di dunia, nama Simo Hayha adalah seorang daripadanya. Namanya mungkin tidak begitu gah seperti penembak hendap Soviet Union, Vasily Zaitsev yang kisahnya diabadikan dalam filem ‘Enemy at the Gates’. Namun, ketepatan tembakan Simo menjadikan dia pahlawan Finland yang memainkan peranan penting dalam menghadapi penjajahan besar-besaran Tentera Merah Kesatuan Soviet terhadap negaranya.

Antara pertempuran kecil yang ketika berlangsungnya konflik Perang Dunia Kedua ialah Peperangan Musim Sejuk yang berlaku pada tahun 1939. Pertempuran ini turut dikenali dengan jolokan ‘David vs Golliath’ – diambil sempena peperangan legenda Nabi Daud menentang pasukan ketenteraan Jalut yang mempunyai anggota berpuluh kali ganda lebih ramai.

Seluruh dunia bertumpu ke Sungai Kollaa, yang menjadi lokasi pertempuran tersebut antara tentera Finland dan tentera Soviet. Pada ketika inilah munculnya Simo Hayha yang telah mengukir namanya sebagai penembak hendap paling berjaya dengan membunuh lebih daripada 500 orang tentera Soviet dalam jangka waktu hanya 100 hari sahaja.

Simo Hayha, penembak hendap Finland.

Angka tidak rasmi daripada tentera Finland menyatakan Simo telah menembak 542 tentera musuh, namun statistik pihak ketenteraan Soviet pula menunjukkan angka sebanyak 505 tentera mereka mati di tangan lelaki bertubuh kecil ini.

Secara purata, Simo telah membunuh lima orang tentera musuh dalam masa sehari. Dalam keadaan cuaca ekstrem bersalji serta waktu siang yang agak pendek, ia adalah rekod yang sangat hebat untuk seorang penembak hendap. Dengan kemampuan yang dimilikinya itu, Simo telah digelar sebagai ‘White Death’ oleh pasukan tentera musuh.

Siapa Simo Hayha?

Lelaki ini dilahirkan pada 17 Disember 1905 di Rautajavari, Finland iaitu sebuah bandar yang terletak bersempadan dengan tanah jajahan Soviet Union. Simo membesar dalam suasana kampung dan menghabiskan sebahagian besar hidupnya dengan berburu dan bertani.

Pada tahun 1925 ketika usianya mencecah 20 tahun, Simo menyertai angkatan bersenjata Finland untuk memenuhi panggilan wajib ketenteraan. Ketika Peperangan Musim Sejuk mula meletus, Simo telah diserap masuk ke Skuad 6 Jaeger Regiment 34 tentera Finland. Pada saat itulah beliau memulakan tugasnya sebagai seorang penembak hendap.

Simo Hayha.

Pertembungan di antara tentera Finland dengan pasukan Soviet di sepanjang Sungai Kollaa merupakan salah satu peperangan bangsa Finland. Skuad 6 Jaeger Regiment yang terdiri daripada 34 orang tentera Finland terpaksa berdepan 4,000 orang bala tentera Soviet.

Dalam peperangan inim Simo menjadikan kawasan pergunungan di sepanjang Sungai Kollaa sebagai ‘Killer Hill’ bagi tentera Soviet. Dia bertempur dalam suhu yang sangat sejuk di antara -20 hingga -40 darjah Celsius dengan pakaian camouflagei serbaputih.

Lebih hebat, Simo langsung tidak pernah menggunakan lensa teleskop seperti kebanyakan penembak hendap lain. Simo hanya mengacukan senapang ke arah sasaran secara manual dan masih dapat menembak musuh dengan tepat sehingga jarak lebih dari 400 meter.

Simo berpendapat menggunakan lensa teleskop membahayakan nyawanya sebagai seorang penembak hendap. Ini kerana seseorang yang menggunakan sasaran teleskopik perlu mengangkat kepala lebih tinggi untuk mengacu senjata.

Selain itu, Simo menganggap penggunaan teleskop akan memantulkan cahaya matahari yang dapat membongkar penyamarannya sebagai penembak hendap. Dalam keadaan cuaca yang sejuk pula, lensa teleskop selalunya akan berkabut dan mengganggu arah sasaran.

Disebabkan faktor-faktor itu, Simo konsisten dengan alasannya untuk menggunakan laras senjata manual. Dalam Peperangan Musim Sejuk itu, dia mengenakan senapang Suomi K-31 SMG, selaras senapang sub machine gun.

Pada 4 Mac 1940, nyawa Simo hampir melayang setelah rahangnya ditembak oleh pihak musuh. Sebelah kiri wajahnya hancur. Tembakan itu telah menyebabkan Simo koma, dan dia hanya sedar semula seminggu kemudian iaitu ketika peperangan tersebut telah pun berakhir.

Pemimpin tertinggi tentera Finland ketika itu menaikkan pangkat Simo daripada Koperal kepada Leftenan atas jasanya itu. Selepas pulih daripada kecederaan, Simo meneruskan khidmatnya dalam pasukan tentera Finland sehingga pencen.

Simo menerima kenaikan pangkat atas jasanya.

Simo Hayha meninggal dunia pada 1 April 2002 ketika usianya mencecah 96 tahun. Ketika ditemubual pada tahun 1998 dan diajukan soalan adakah dia menyesal membunuh ramai orang, lelaki ini menjawab ringkas, “Saya hanya menjalankan tugas untuk negara”.