Dia termenung, dan hanya beberapa minit kemudian barulah menulis semula. Apakah yang sedang dikalamkan oleh lelaki itu?

SUDAH pukul 3.00 petang. Lelaki berusia 47 tahun itu mencapai sehelai kertas. Kemudian dicapainya sebatang pensel. Tajam matanya, pagi tadi diraut oleh budak pejabat. Sebatang rokok cap ikan emas disua ke mulut, disebut dalam-dalam.

Sewaktu asap itu bergumpal dalam dadanya, lelaki bermisai tipis yang bersinglet putih itu berfikir. Apa yang hendak dikalamkannya? Dia mencari ilham. Pufff… puffff… asap disembur dari muncung bibirnya….

KOOHHHHH! KOOHHHH!!!

Lelaki itu terbatuk. Kahak hijau terpancut dari kerongkongnya, lalu… ptuihhh!! Disembur lendir itu ke dalam satu bekas di tepi mejanya. Dalam bekas khas itu sudah ada bertepek-tepek kahak serta ludahnya yang sering batuk-batuk akibat suka sangat merokok.

Ilham sudah sampai! Ya, ilhamnya sudah sampai. Lalu penselnya menari-nari di atas sehelai kertas putih. Matanya yang tajam itu antara kena dengan tidak. Jarinya sekadar menyepit sedikit saja pada pensel dan dia bagai tidak menekan mata penselnya ke kertas.

Puf paf puf paf…. Hisap dan hembus rokok itu berselang-seli seiring dengan ligatnya lelaki itu menulis di atas sekeping kertas putih. Sesekali dia menghirup secawan kopi pekat yang sentiasa saja ada di sisinya.

Tiba-tiba…

KKHHHAKKK!!! PTUIHHHH!!!

Splat!!… lendir yang menggatal di kerongkongnya diludah ke dalam bekas khas. Dan… ZRRRAPPP! ZRAAPPP!! Helaian kertas yang ditulisnya tadi disiat-siat lalu dilempar ke dalam bakul sampah. Selepas itu dikahaknya kertas tersebut.

Lelaki itu mendengus-dengus. Apa pasal teruk sangan tulisannya tadi. Ceh!

Dia termenung, dan hanya beberapa minit kemudian barulah menulis semula. Apakah yang sedang dikalamkan oleh lelaki itu? Pedulikan. Jangan kacau kerana dia sedang melakukan satu tugas berat. Dia sedang mencatatkan sesuatu yang mengandungi amanah dari seluruh umat Melayu.

Di bilik sempit berhampiran loji najis inilah lelaki bermisai nipis itu menulis, pada suatu petang 80 tahun lalu.

Ya, orang Melayu adalah majikannya yang sebenar. Melalui sebuah pertubuhan politik Melayu, dia ditempatkan di sini, dalam bilik ini. Orang lain tidak boleh. Dia ada nama. Tikaman penanya cukup tajam. Penselnya juga pandai menari dan tariannya amat mengasyikkan.

Sebelum ini pun amanah yang dibebankan atas bahunya sudah cukup besar dan sekarang, satu lagi amanah perlu dipikul.

Pensel terus menari di atas kertas putih. Langsung lelaki bermisai tipis itu tidak minum petang. Tidak dipedulikannya kawan-kawan dan anak buah di luar bilik. Yang menulis, menulis. Yang menaip, menaip. Yang menelefon dan mencatat, terus jalankan kerja.

Malah bila ketuanya yang kurus tinggi, tampan dan bermisai jalur itu melintas pun dia tidak pedulikan. Hawa panas dalam bilik sempit itu bagai tidak memberi bekas pada kulitnya. Bau hapak dari loji berdekatan pun gagal mengganggu tarian penselnya. Lelaki bermisai tipis seperti separuh sedar, khayal dalam pemikirannya. Hanya sekali-sekala dia mengangkat kepala dan merenung ke depan, itu pun seolah-olah tidak melihat anak-anak muda yang sedang tekun menulis di depannya.

Sejam berlalu, lelaki bermisai tipis tersenyum. Siap. Ya, sudah siap! Dia berjalan ke sebuah bilik kecil lain di sebelah biliknya yang hanya dipisahkan oleh papan kasar setinggi enam kaki. Helaian kertas tadi diserahkan pada seorang Pengatur Huruf Kanan. Kadir Yahudi nama gelarannya. Kadir Yahudi yang tangan dan bajunya comot berlumuran minyak, membaca tulisan itu. Dia mengangguk-angguk.

Kemudian Kadir Yahudi duduk di atas bangku tinggi menghadap sebuah kotak kayu panjang, berpetak-petak. Tiap petak kecil itu berisi huruf timah.

Kadir Yahudi kutip huruf-huruf itu satu demi satu untuk dibentuk menjadi ayat. Rumit dan memakan masa sebab huruf-huruf itu kecil benar saiznya.

Lelaki jongang yang bermisai tipis memerhatikan Kadir Yahudi bekerja. Kadir Yahudi orang kepercayaannya. Cuma Kadir Yahudi sahaja yang boleh baca tulisannya dengan cepat. Lagipun Kadir Yahudi pantas bekerja, kalau lambat dan terhengeh-hengeh, memang dicarut-carutkannya.

Tulisannya yang telah diatur huruf tadi dibaca pula oleh pembaca pruf. Semua ejaan dibetulkan, kemudian diserahkan kepada lelaki bermisai tipis. Puas hati, tiada kesilapan ejaan.

Lelaki bermisai tipis menulis lagi. Kopi O pekat dihirup, rokok cap ikan emas disedut, kemudian berkahak-kahak, membuang lendir hijau yang menggatal di kerongkongnya ke dalam satu bekas khas.

Apakah yang telah ditulisnya tadi? Banyak. Apabila siap, semuanya dicetak menggunakan sebuah mesin buruk. Krettt, krettt. Krettt… sehelai demi sehelai dicetak. Lama betul proses itu berlangsung, maklumlah mesin buruk.

Hari berganti hari. Sebuah pertubuhan Melayu yang menjadi medan lelaki itu berpolitik menunggu hasil nukilannya. Begitu juga syarikat tempatnya bekerja. Ketuanya yang kurus dan garang turut menanti-nanti buah tangan lelaki tersebut.

Berjayakah dia menunaikan amanah syarikat dan bangsanya?

Tanggal 1 Jun 1941, bersamaan dengan 2 Jamadilawal 1360, terbitlah sebuah majalah berisi kalam lelaki bermisai tipis dan rakan-rakan seperjuangannya. Kulitnya berwarna kuning, ada gambar orang meniup tetuang udara.

Di bahagian atas tertera satu bulatan yang berisi tulisan jawi, ‘mim’ ‘sin’ ‘ta’ ‘ya’ ‘kaf’. Di bawah tulisan besar tercatat pula ayat berbunyi ‘Majalah bulanan mengandungi makalah-makalah adabiah, ilmu pengetahuan, tarikh dan cerita rekaan’.

Di bahagian bawah pula tercatat perkataan, MASTIKA, MALAYSIA MONTHLY PUBLICATION. ISSUED BY UTUSAN MELAYU PRESS LTD. Publishers of UTUSAN MELAYU & UTUSAN ZAMAN.

Isi kandungannya, Ratapan titik-titik, Didikan semangat, Kunci rahsia, Citra kasih palsu, Louis Pasteur, Perempuan mustika umat dan Lunas-lunas siasah. Di atas pemakluman isi kandungan itu ditulis perkataan, ‘Pengarang Mastika, Abdul Rahim Kajai’.

Lelaki bermisai tipis tersenyum puas. Dipegang erat majalah itu. Begitu juga pengurusnya, yang tinggi kurus dan garang. Sahabat- sahabatnya seperti Samad, Ramli, Zabha dan Kadir Yahudi mengucap tahniah. Mereka membelek-belek isi kandungan majalah itu. Isinya menghiburkan, ada cerpen menarik, sindiran, amanat serta ilmu pengetahuan.

Lelaki itu mengucapkan terima kasih di atas puji-pujian yang diberikan kepadanya. Dia kembali ke bilik dan membuka majalah tersebut sekali lagi. Kali ini dia membuka artikel pertama yang ditulisnya sendiri. Artikel itu berbunyi…

Kezahiran Mastika

Dengan sepenuh-penuh kesukaan Syarikat Utusan Melayu Press Limited memaklumkan kepada ramai mudah-mudahan hari ini telah sempat pula menerbitkan sebuah majalah bulanan bernama Mastika mulai dari hari ini menjadikan siaran yang diterbitkannya tiga (1) Utusan Melayu harian (2) Utusan Zaman mingguan dan (3) Mastika bulanan.

Panjang lebar kemudiannya tulisan itu memaklumkan tentang syarikat Utusan dan akhbar Utusan Melayu serta Utusan Zaman yang wujud atas paksi yang tiga, iaitu berkhidmat kepada bangsa, agama dan watan. Tulisan itu diakhiri dengan…

Dasar Mastika

Dasar Mastika ini bukanlah hendak berkhidmat bagi faedah bangsa dan nusa sebagaimana dasar hampir-hampir kesemua sekali akhbar-akhbar dan majalah-majalah Bahasa Melayu di Tanah Melayu ini hingga seolah-olahnya khidmat kerana Allah lillah hitaala – tetapi ialah perniagaan mencari keuntungan. Isinya dimaksudkan berpatutan dengan harga yang dibayar orang. Sebagaimana majalah-majalah bulanan di antara isinya akan termasuk cerita, makalah-makalah atas ilmu pengetahuan, kesihatan dan didikan serta syair-syair dan gurindam-gurindam yang difikirkan patut diketengahkan menjadi bacaan.

Harga Mastika

Besarnya Mastika ini ialah 76 muka dan harganya 50 sen bersih belanja pos. Boleh jadi ada di antara kita yang akan berasa musykil mendengar harganya tetapi diingatkan bahawa tiadalah maksud kita hendak mengenakan harga yang mahal tetapi perkara ini telah memaksa kita mesti mengenakan harga yang tersebut.

Panjang lagi huraian tentang harga Mastika itu. Ia berkaitan dengan kewajaran Utusan menerbitkan Mastika serta peri pentingnya British memenangi perang yang sedang melanda dunia, dan “…demikianlah Mastika mulai mengedari pembacanya dari hari ini berulang pada tiap-tiap awal bulan orang putih adanya.”

Benarlah bagai yang dicatatkan itu, mulai 1 Jun 1941, setiap bulan muncul menemui masyarakat. Majalah itu lebih kepada bahan untuk menenangkan jiwa, berlipur serta memberi ilmu. Namun secara nyata dan tersembunyi ia menyelitkan sindiran serta teguran terhadap orang-orang Melayu.

Kulit depan keluaran pertama majalah Mastika pada Jun 1941

————

TANGGAL 30 NOVEMBER 2018 : Siapa menduga majalah yang ditulis dalam sebuah bilik kecil dan panas serta berbau hapak loji itu terus hidup segar pada tahun dan era-era berikutnya. Dari zaman perang ke era kemerdekaan, dari Singapura ke Kuala Lumpur, dari jawi ke rumi, dari sastera ke akademik.

Mastika menjadi rujukan masayarakat. Malah, apabila konsepnya ditukar pada pertengahan 1990an daripada semi-akademik kepada cerita-cerita kemanusiaan berunsur popular serta misteri, Mastika telah mencatat rekod yang sangat gemilang. Pada awal tahun 2000 ia mula mencatat jualan melebihi 300,000 naskhah sebulan, mengatasi majalah-majalah lain termasuk hiburan. Rekod itu tidak tercabar sehingga kini.

Namun tiada siapa menduga juga, pada tarikh ini – 31 November 2018 – ketika usianya 77 tahun, Mastika terpaksa ditamatkan penerbitannya, seiring dengan masalah kewangan yang melanda Kumpulan Utusan. Para Pengarang dan seluruh sidang redaksinya pulang dengan membawa kenangan yang amat sukar dilupakan.

Penutupan operasi Utusan pada 9 Oktober 2019 bagai memacak nisan kepada majalah legenda ini. Tiada lagi ruang untuk hidup semula seperti yang pernah dilakukan pada pertengahan 1995, semasa keputusan untuk menutupnya dibatalkan. Mastika kemudian ditukar konsep daripada semi akademik kepada human interest, dengan kisah-kisah hidup manusia, yang kemudiannya mencetuskan fenomena.

1 Dsember 2019 menjadi hari paling pedih bagi sesiapa saja yang pernah berkhidmat di Mastika. Ia suatu hari yang hitam. Hari kematian.

Majalah Mastika keluaran pertama pada Jun 1941 dan yang terakhir pada November 2018.

……….

1 JANUARI 2021 : SESUNGGUHNYA hidup dan mati ini milik Dia. Sekali lagi, tiada siapa menyangka, pada tarikh bertuah ini, majalah Mastika dihidupkan semula. Terima kasih kepada Utusan Binders dan Selasih Emas yang membeli lesen penerbitan Mastika daripada Utusan dan kemudian menerbitkan kembali majalah ini.

Ya, benar, Mastika yang ada pada hari ini bukan Mastika yang dulu. Yang dicetak, yang ada harum bau kertasnya. Yang ada pada hari ini adalah dalam bentuk digital.

Tetapi itulah semangat yang dibawa oleh Mastika sejak dulu lagi : Berubah dan berjuang mengikut zaman. Tidak akan mati dalam keegoan.

Para pembaca sekalian… bersyukurlah kerana anda sedang menatap sebuah majalah legenda, yang akan mencapai usia 80 tahun pada Jun ini.

Namun, sebelum anda mengakhiri artikel ini, jangan lupa pada jasa lelaki bermisai tipis itu. Beliau adalah seorang legenda. Kerana kegigihan, kehebatan dan ketajaman fikirannya, dia digelar Bapa Wartawan Melayu Moden Negara. Kerana keistimewaannya itulah juga dia diarahkan mengemudi Mastika. Lelaki itu kembali ke rahmatullah pada 5 Disember 1943 pada usia 49 tahun dengan meninggalkan jasa yang amat besar kepada kita. Al-Fatihah untuk beliau – Abdul Rahim Kajai.

Allahyarham Abd. Rahim Kajai (duduk, tengah) bersama kakitangan Utusan semasa beliau mengendalikan majalah Mastika.

Nama sebenar Abdul Rahim Kajai ialah Abdul Rahim bin Haji Salim. Kajai adalah nama penanya sempena nama kampung halaman ibu bapanya di Sumatera. Beliau lahir pada 1894, mendapatkan Pendidikan awal sehingga darjah lima di Sekolah Melayu Setapak sebelum dihantar pula melanjutkan pelajaran agama dan Bahasa Arab di Mekah sehingga 1909.

Abdul Rahim mula menjadi wartawan pada 1925 dengan akhbar Edaran Zaman di Pulau Pinang, seterusnya di akhbar Saudara, Majlis, Warta Malaya, Warta Ahad dan Warta Jenaka. Setelah itu baru beliau berpindah ke Utusan dan pada zaman Perang Dunia kedua, Abdul Rahim bertugas di akhbar Berita Malai, hinggalah meninggal dunia.

1 COMMENT

Comments are closed.