PUTRAJAYA – Di pentas dunia, Amerika Syarikat (AS) sering mendabik dada merekalah juara demokrasi dan hak asasi.
Namun dalam isu sekatan kemasukan minyak sawit Malaysia ke negara itu, AS yang juga pengeluar minyak kacang soya utama jelas menjatuhkan hukum tanpa memberi ruang kepada syarikat berkenaan membuat penjelasan.
Sebab itu, kerajaan Malaysia tidak setuju dengan tindakan AS yang sangat terburu-buru apatah lagi kajian mengenai isu yang dibangkitkan telah dipanjangkan kepada kedutaan republik itu di Kuala Lumpur.
Sepatutnya, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, AS perlu memberi peluang kepada Sime Darby Plantation Berhad (SDP) untuk membuktikan dakwaan yang dilemparkan mungkin tidak berasas.

Katanya, KPPK mengakui bahawa pernah berlaku isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak di sektor perladangan sawit negara, namun begitu kes terbabit amat terpencil berdasarkan kajian yang pernah dilaksanakan pada tahun 2018.
“Hasil kajian ini juga telah dipanjangkan kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada awal bulan lepas. Berdasarkan kajian tersebut juga, kerajaan sentiasa memberi peringatan kepada pihak industri supaya lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam isu yang boleh menjejaskan ekonomi negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Khairuddin berkata pihak Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) berhak untuk mengeluarkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas eksport minyak sawit oleh mana-mana pihak ke negara berkenaan.
Justeru, katanya kerajaan melalui KPPK komited bahawa tindakan tegas dan sewajarnya akan diambil ke atas mana-mana syarikat yang terlibat dalam isu buruh paksa sekiranya tuduhan yang dibuat oleh pihak AS ini adalah benar.
Semalam, CBP telah melarang import minyak sawit dan semua produk sawit yang dikeluarkan SDP susulan siasatan badan itu yang mendakwa berlaku amalan buruh paksa di syarikat tersebut.
Sebelum ini tindakan serupa pernah dilakukan ke atas FGV Holdings Bhd atas dakwaan yang sama dan telah disangkal oleh syarikat berkenaan.
Tindakan itu bagaimanapun tidak memberi kesan besar ke atas prestasi kewangan dan operasi syarikat itu malah, kerajaan AS telah mempertimbangkan petisyen untuk pembatalan WRO ke atas FGV.
Justeru itu, KPPK yakin SDP juga akan membantah dan menolak dakwaan tidak berasas itu dalam isu terkini yang melibatkan SDP.