Penulis masih ingat pada tahun 1986 ketika bertugas dengan sebuah syarikat media di Georgetown, menaiki feri sama ada untuk pergi atau pulang bekerja adalah sesuatu detik menyeronokkan.

Selain hembusan angin laut dan pemandangan yang indah, gelagat penumpang-penumpang di dalam perkhidmatan berusia 126 tahun itu turut menghiburkan hati dan kadang kala menghilangkan rasa penat bekerja.

Walaupun bunyi ombak dan enjin mengganggu perbualan namun feri Pulau Pinang mempunyai kenangan tersendiri kepada sesiapa juga yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

Tetapi mulai hari ini, perkhidmatan feri yang bermula pada tahun 1894 itu akan diganti dengan penumpang laju. Feri sedia ada pula hanya akan digunakan sebagai medium pengangkutan kepada pengguna basikal dan motosikal bermula tarikh sama.

Dua bot laju akan digunakan dan mampu membawa 200 penumpang dengan kepantasan perjalanan antara 10 hingga 15 minit serta kekerapan 40 kali sehari. Maknanya tidak ada lagi hembusan angin laut yang menempa wajah penumpang.

Feri baharu itu sama sahaja dengan perkhidmatan feri ke Langkawi. Penumpang hanya mampu melihat hempasan ombak laut dari dalam pengangkitan tersebut sambil dibaluti kesejukan pendingin hawa.

Penulis tidak mahu membahaskan sama ada tindakan memberhentikan perkhidmatan yang menjadi ikonik negeri Pulau Mutiara itu betul atau tidak. Keputusan sudah dibuat dan tentunya ada alasan kenapa langkah tersebut dilakukan.

Tetapi apa yang pasti berdasarkan data Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), jumlah pengguna perkhidmatan Feri tersebut terus menurun sejak tahun 2000 daripada lebih enam juta pengguna kepada hanya 1.2 juta pengguna setakat November 2020. Ia berikutan jumlah feri yang beroperasi berkurangan disebabkan penyelenggaraan dan peningkatan kos.

Kini hanya tinggal sebuah sahaja feri yang akan beroperasi bagi membawa penunggang motosikal dan basikal. Penumpang berjalan kaki akan ‘menikmati’ perkhidmatan bot laju manakala kenderaan empat roda harus menggunakan Jambatan Pulau Pinang.

Dari segi sejarahnya, Feri Pulau Pinang adalah perkhidmatan pengangkutan air tertua di negara ini yang menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar di Butterworth atau Bagan.

Perkhidmatan yang diusahakan oleh Quah Beng Kee bersama saudaranya mulai tahun 1894 dengan menggunakan bot kecil berkuasa wap kemudian diambil alih oleh Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang (LPPP) pada tahun 1924.

Berikutan sambutan ramai, LPPP menambah dua buah feri lagi iaitu Tanjong dan Kulim sebelum sebuah lagi feri (Bagan) ditambah pada tahun 1938. Perkhidmatan tersebut lumpuh pada tahun 1941 apabila Perang Dunia Kedua tercetus.

Dua buah feri iaitu Tanjong dan Kulim tenggelam di perairan pelabuhan berikutan serangan tentera Jepun dan mereka juga membawa lari feri Bagan ke Sumatera. Apabila perang tamat, feri Bagan dibawa pulang dan diperbaiki untuk beroperasi semula.

Sememangnya feri Pulau Pinang mempunyai banyak catatan sejarah dan tentulah ia juga memberikan banyak kenangan bukan sahaja kepada rakyat negeri itu tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Persoalannya selama manakah feri sedia ada akan mampu berfungsi biarpun setiap hari sekadar membawa penunggang motosikal dan basikal sahaja? Atau apakah akhirnya perkhidmatan itu juga akan dihentikan bila tiba masanya?

Biarlah masa menentukannya, apa yang pasti biarpun masih beroperasi namun ‘auranya’ tidak akan sama lagi kerana feri itu bukan sekadar penghubung tanah besar dengan bahagian pulau tetapi simbol bersejarah untuk Pulau Pinang.