KUALA LUMPUR – Hari pertama tahun 2021 menyaksikan angka harian COVID-19 terus melebihi 2,000 kes dengan 2,068 penularan baru dilaporkan hari ini.
Walau bagaimanapun, jumlah tersebut sedikit rendah berbanding semalam yang mencatatkan rekod dengan 2,525 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka terbaru ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 115,078 kes.

Menurut beliau, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 23,433 kes dan daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 776 kes (37.5 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 425 kes (54.8 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 457 kes (22.1 peratus) dan Sabah sebanyak 254 kes (12.3 peratus).
“Sebanyak 18 kes (0.9 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (13 kes), Kluster Tembok Gajah (4 kes) dan Kluster Pagar Siput (1 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 126 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 474 kes (0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
“Kes kematian dilaporkan dilaporkan di Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur dengan paling tua berusia 94 tahun,” katanya.
Kata Noor Hisham, sehingga 1 Januari 2021, terdapat sebanyak 514 kluster telah dilaporkan termasuk tiga kluster baharu pada hari ini.
Menurut beliau, jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 290 kluster termasuk empat kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Bukit Dalam, Kluster Chengal, Kluster Penjara Reman, dan Kluster Avenue.
“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 224 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Metropolis (153 kes), Kluster Rawa Akasia (110 kes) dan Kluster Tapak Bina Residen (91 kes),” ujarnya.