Ayda nabil nikah
SAH! Nabil dan Ayda kini suami dan isteri

KUALA LUMPUR – Dengan sekali lafaz, pelakon dan penyanyi Ayda Jebat sah bergelar isteri kepada pengacara Nabil Mahir kira-kira pukul 3.28 petang tadi.

Pasangan itu selamat dinikahkan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Rozimi Zamri disaksikan bapa pengantin lelaki,  Datuk Ahmad Mahir Kamarudin dan abang ipar Nabil, Wan Jean Basri Wan Othman.

Memetik laporan Astro Awani, majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Al Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail itu berlangsung secara sederhana dan hanya dihadiri ahli keluarga serta rakan terdekat kedua belah pihak mengikut norma baharu.

KREDIT foto @cstproduction

Rombongan pengantin lelaki menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang daripada pengantin perempuan.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat,29, menerima seutas gelang emas sebagai mas kahwin. Bagaimanapun, atas permintaan keluarga, wang hantaran dirahsiakan.

Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 28 April menerusi aplikasi Google Meet atas faktor mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.