Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan sempena Persidangan UMNO Bahagian melalui Facebook beliau.


KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO diingatkan supaya tidak membenarkan parti itu dipengaruhi oleh mana-mana musuh dalam selimut mahupun pihak luar.

Ketika membuat peringatan itu bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO bukan milik mana-mana individu atau pemimpin tetapi milik rakyat dan akar umbi parti itu.

Dalam ucapan sempena persidangan UMNO bahagian bermula hari ini melalui Facebooknya, Najib berkata, banyak yang berlaku sepanjang tahun 2020 sama ada dari segi kerjasama dan persefahaman politik UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang telah termeterai sejak sekian lama,mahupun kerjasama dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional ataupun pendapat mengenai hala tuju UMNO menghadapi PRU-15 dan untuk jangka masa yang panjang.

“Banyak juga cakap-cakap di luar sana mengenai perkara ini. Bagi saya inilah peluang bagi akar umbi menilai perkembangan sepanjang masa ini dan menentukan sendiri ke mana hala tuju UMNO,’’ katanya.

Sehubungan itu Najib menasihatkan ahli-ahli UMNO untuk beranikan diri untuk bersuara, berbahas dan mengusulkan mengenai hala tuju parti itu dalam persidangan UMNO bahagian yang akan berlangsung.

‘’Selama ini kita telah berdepan dengan pelbagai cabaran, rintangan dan penindasan, lebih-lebih lagi ketika tahun 2018 dan 2019. BN sudah innalillah, UMNO sudah hancur kata mereka, ada yang mahu UMNO dihapuskan tetapi UMNO tetap utuh, kekal berdiri, masih ingatkah kita siapa mereka?,’’ kata beliau.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri berkata, hari ini UMNO dan BN kekal dengan kesetiaan akar umbi dan sokongan daripada rakyat dari Perlis hingga ke Sabah.

‘’UMNO dan BN terus ikhlas dalam perjuangan untuk rakyat, inilah yang saya mahu ahli UMNO pertingkatkan lagi. Banyak dasar-dasar yang baik untuk rakyat perlu kita perjuangkan, beranikanlah diri, lawan tetap lawan. Tidak ada ikatan politik yang lebih penting daripada kita dengan rakyat,’’ tegasnya.