ENAM tahun menanti zuriat, akhirnya penyanyi Idayu mengumumkan apabila dirinya kini sedang hamil anak pertama.
Berita gembira itu dikongsikan oleh juara Akademi Fantasia Megastar menerusi entri terbaharunya di akaun Instagram.
Idayu atau nama sebenarnya Nur Farah Idayu Yaakob,36 bersyukur kepada Tuhan atas nikmat yang diberikan.
“Syukur alhamdulilah, Idayu dan suami ingin membuat pengumuman rasmi tentang kehamilan yang kini berusia lima bulan setelah melayari perkahwinan selama lebih enam tahun.
“Saya sangat bersyukur dengan nikmat yang Allah SWT berikan kepada kami berdua. Kami sentiasa yakin dengan peraturan Allah SWT dan inilah waktu yang paling tepat.
“Kami akan sentiasa mensyukuri setiap detik dalam fasa ini dan hari-hari mendatang,” katanya.
Dalam pada itu, juara Akademi Fantasia Megastar ini juga turut memohon doa daripada semua pihak agar proses kehamilan dan melahirkan dipermudahkan.
“Saya memohon anda semua doakan yang baik-baik supaya bayi di dalam kandungan dikurniakan kesihatan yang baik dan selamat hingga ke hari kelahiran dan hari-hari selanjutnya.
“Inysa-Allah dengan izin Allah SWT, kami bakal menimang cahaya mata pertama ini pada bulan Mei hadapan. Sekali lagi terima kasih untuk ucapan dan doa kalian.
“Kepada pasangan yang masih berusaha nak dapatkan ‘baby’, nasihat saya jangan mudah putus asa! Saya doakan kalian juga,” ujarnya.
Idayu mendirikan rumah tangga dengan Shahrul Fadzil pada Mei 2014.