KUALA LUMPUR – Pada hari terakhir 2020, tahun yang menyaksikan penularan COVID-19, Singapura mencatatkan 30 kes baru manakala Thailand pula melaporkan 194 penularan.

Sebuah lagi negara jiran Malaysia iaitu Indonesia yang mempunyai lebih 300 juta penduduk merekodkan 8,002 kes baru harian.

Sebagai perbandingan, Taiwan pula merekodkan kes pertama baru-baru ini selepas kali terakhir mengesan virus itu pada April lalu.

Dan di Malaysia, hari terakhir sebelum 2020 melabuhkan tirainya mencecah 2,525 kes baru COVID-19 – angka harian tertinggi yang pernah dilaporkan.

Malaysia pernah mencatatkan sifar kes tempatan COVID-19 pada 8 Julai lalu yang kemudian menyaksikan trend peningkatan sejak akhir September lalu

Daripada sidang akhbar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini, hampir separuh dilaporkan di Selangor dengan 1,205 kes.

Malaysia juga melangkah tahun 2021 dengan 23,598 kes aktif COVID-19 yang dirawat di fasiliti awam di seluruh negara – satu angka yang sangat tiggi jika melihatkan kepada bilangan katil di hospital kerajaan.

Malah hari terakhir 2020 turut melaporkan 225 kluster aktif di seluruh negara dengan hari ini sahaja lima lagi dilaporkan.

Sabah ketika ini masih mencatatkan jumlah kes kumulatif tertinggi dengan 37,040 kes diikuti Selangor (32,393) dan Kuala Lumpur (13,489).

Negeri terendah melaporkan kes positif COVID-19 setakat berakhir 2020 pula Perlis dengan 46 kes diikuti Terengganu (325) dan Kelantan, 758.

Menyedari bukan sahaja kes baru terus tinggi, Noor Hisham dalam Facebook beliau mengingatkan rakyat Malaysia bahawa dalam menyambut tahun baru 2021, tugas semua masih belum selesai.

“Kita masih belum menang. Niat di hati harus dikekalkan, apa jua cabaran yang mendatang, kita utuh berdiri untuk meneruskan perjuangan ini.

“Terima Kasih Frontliners Malaysia sebagai penghargaan kepada semua wira dan wirawati barisan hadapan yang bertungkus lumus bertugas tanpa henti, sepanjang masa sejak Disember 2019,” ujarnya.