KUALA LUMPUR – Kurang dua bulan selepas nahas helikopter di Taman Melawati, hari ini satu lagi helikopter milik persendirian terhempas di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Bagaimanapun, tiada korban nyawa dilaporkan dalam insiden tersebut yang berlaku kira-kira jam 10 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Norazam Khamis yang mengesahkan kejadian itu berkata, dua mangsa yang menaiki helikopter terbabit cedera.

Katanya, juruterbang, Khairudin Dahlan, 73, mengalami kecederaan di tangan kiri dan pembantu juruterbang, Moithu Kutti Mohamad, 53, pula mengalami luka kecil.

“Kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil serta diberikan rawatan oleh pihak Ambulan Pelabuhan Barat,” katanya.

Juruterbang helikopter dan pembantu terselamat walau percubaan mendarat cemas gagal. Gambar media sosial.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan, 10 pagi tadi memaklumkan helikopter persendirian jenis Robinson R66 Turbine mendarat cemas dan terhempas di kawasan lapang di situ.

“Pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang diketuai Komander Operasi Kanan, Anas Ahmad Zabidi tiba di lokasi pukul 10.22 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati ada helikopter terhempas seperti laporan diterima, bagaimanapun tiada kebakaran berlaku.

Anggota bomba membantu mangsa dalam kejadian di PKFZ pagi tadi

“Kejadian membabitkan hanya dua mangsa iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang,” katanya.

Pada 8 November lalu, dua helikopter terlibat nahas dengan salah satunya yang dipandu bekas Pengarah Eksekutif MAS, Datuk Ahmad Jauhari berjaya mendarat cemas manakala sebuah lagi terhempas.

Juruturbang dan penumpang helikopter terhempas itu meninggal dunia dalam insiden di Taman Melawati dekat ibu negara.