Hari ini, gajet bukan saja menjadi keperluan malah merupakan salah satu medium untuk bahan bacaan. Senang kata, zaman membaca helaian suratkhabar sudah berlalu. Kini, manusia membaca bahan berita hanya melalui peranti moden. Dan teknologi ini juga yang digunakan sebagai medium penyebaran bahan cerita.

Jika kita lihat sejarah dulu, berdasarkan rekod dan catatan sejarah, manusia telah menggunakan akhbar sebagai medium penyebaran berita bermula sejak abad ke-2 sebelum Masihi (SM) lagi, iaitu ketika pemerintahan kerajaan Rom kuno.

Sebagai sebuah kerajaan yang berkuasa dan mempunyai wilayah jajahan yang luas, Rom mempunyai sistem tersendiri untuk menyebarkan sesuatu berita kepada orang ramai.

Caranya ialah dengan menulis atau mengukir perkara yang hendak disebarkan di atas papan, logam atau batu. Ia kemudian akan diletakkan di tempat umum dan disebut sebagai ‘Forum Romanum’. Akhbar kuno ini dikenali sebagai Acta Diurna.

Acta Diurna – medium penyebaran berita pada zaman purba Rom.

Dalam bahasa Latin, Acta Diurna diterjemahkan sebagai ‘laporan harian umum’. Ia diterbitkan dua atau tiga hari sekali, bergantung pada kepentingan sesuatu isu yang hendak disampaikan. Selepas beberapa hari dipaparkan, papan kenyataan yang lama akan diturunkan dan digantikan dengan lembaran yang baru.

Bentuk pertama Acta Diurna muncul sekitar tahun 131 SM. Isi berita pula kebanyakannya berkisar tentang urusan rasmi kerajaan Rom. Dalam era perkembangannya, informasi berita kemudian diperluaskan kepada perkara-perkara lain seperti pemberitahuan kelahiran, pernikahan dan kematian pembesar serta kerabat istana.

Ia kemudian ditambah baik dengan memasukkan elemen-elemen lain dalam paparan berita berkenaan seperti kes jenayah, subsidi kerajaan, harga syiling makanan asas seperti gandum, acara melibatkan pembesar kerajaan, berita astrologi, politik, acara gladiator, sehinggalah kepada kisah-kisah kemanusiaan seperti anjing yang hilang dan menemui jalan pulang.

Pada tahun 59 SM, Julius Caesar secara rasmi telah mengangkat Acta Diurna sebagai akhbar rasmi kerajaan dan memerintahkan penerbitannya diperbanyakkan dan dipasang di pasar, pintu kuil dan di semua tempat awam.

Pada awal abad pertama Masihi, Acta Diurna lebih banyak diisi dengan berita tentang politik, uji kaji saintifik, keputusan kehakiman, kegiatan ahli senat dan strategi peperangan.

Seiring dengan perkembangannya, Acta Diurna turut melahirkan ‘Diurnarii’ – wartawan yang ditugaskan untuk mencari berita bagi dimuatkan dalam akhbar berkenaan.

Pada peringkat awal, Diurnarii dilantik oleh pihak kerajaan. Namun, kerana sentimen kemasyarakatan yang mementingkan pelbagai berita dan informasi setempat, orang-orang awam juga mula melakukan tugas Diurnarii dan menjual catatan mereka kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya.

Disebabkan itu, berlakulah persaingan di antara Diurnarii untuk mencari berita di seluruh pelosok kota Rom, bahkan ada sesetengahnya turut menulis berita dari luar kota berkenaan.

Persaingan itu kemudian telah menyebabkan berlakunya korban pertama dalam sejarah kewartawanan. Seorang Diurnarii bernama Julius Ructicus telah dihukum gantung atas tuduhan menyiarkan berita yang belum disahkan, iaitu rahsia kerajaan.

Dianggarkan, penerbitan ini bertahan lebih 600 tahun dan cetakannya berakhir pada 555 Masihi.

Selepas runtuhnya empayar Rom, kegiatan jurnalistik dilihat merudum, terutamanya pada zaman gelap Eropah. Tiada lagi Acta Diurna, dan pada ketika itu sistem kewartawanan lenyap begitu sahaja.

Tahukah anda, daripada perkataan Acta Diurna inilah muncul perkataan ‘Diurnal’. Ia kemudian diadaptasi ke bahasa Perancis menjadi ‘Du jour’ dan bahasa Inggeris ‘journal’ yang bermaksud ‘hari’, ‘catatan harian’ ataupun ‘laporan’. Manakala perkataan Diurnarii pula diterjemahkan kepada ‘Diurnalis’ atau ‘Journalist’ yang bererti wartawan.

Perkembangan Era Kewartawanan Moden

Penyebaran informasi melalui tulisan semakin meluas dalam peradaban Mesir, ketika masyarakatnya telah menemui teknik pembuatan kertas daripada serat tumbuhan.

Pada abad ke-8, kerajaan China pula telah mempelopori percetakan menggunakan blok kayu yang dipahat askara Cina. Cetakan itu diberi nama ‘Ti-Pao’ yang bermaksud ‘Khabar Dari Istana’. Pada tahun 1351, pemerintah China, Quang Soo telah mengedarkan akhbar berkenaan secara teratur seminggu sekali.   

Ti Pao – akhbar terawal dicetak oleh kerajaan China.

Pada pertengahan kurun ke-15, Johannes Guttenberg telah berjaya mencipta mesin cetak. Akhbar cetakan pertama muncul buat pertama kalinya pada tahun 1457 di Nurenberg, Jerman. Salah satu peristiwa besar yang pertama kali diberitakan ialah pengumuman ekspedisi Christoper Columbus ke benua Amerika pada tahun 1493.

Pelopor surat khabar sebagai media berita utama ialah ‘Gazetta’ yang diterbitkan di Venesia, Itali pada 1536. Ketika itu, Republik Venesia masih dalam krisis peperangan. Pada peringkat awal ia ditulis tangan dan dijual secara murah sebelum akhbar ini mula dicetak.

Surat khabar bercetak pertama yang terbit secara teratur pula ialah ‘Oxford Gazzete’ di Inggeris pada tahun 1665. Akhbar ini kemudian ditukar nama menjadi ‘London Gazzete’. Ketika Henry Muddiman menjadi editornya, untuk pertama kali dia telah menggunakan istilah ‘newspaper’. Teknologi percetakan akhbar ini kemudian terus berkembang ke seluruh Eropah dan benua Amerika.

Oxford Gazzete – surat khabar cetak pertama yang terbit secara teratur di Inggeris.

Pada abad ke-18, organisasi kewartawanan semakin berkembang apabila akhbar mula dijadikan salah satu perniagaan dan alat propaganda politik pemerintah dan golongan konglomerat.

Ketika ini jugalah pejabat-pejabat akhbar mula menyusun berita dan tugasan kewartawanan secara sistematik. Antara pelopor sistem ini yang masih kekal sehingga sekarang ialah Associated Press (AS) dan Reuters.

Dalam era itu juga munculnya istilah ‘Yellow Journalism’ – sebuah istilah pertempuran ‘headline’ antara dua akhbar utama di kota New York. Satu dimiliki oleh Joseph Pulitzer dan satu lagi milik William Randolph Hearst.

Istilah ‘yellow journalism’ yang muncul angkara pertempuran antara 2 akhbar utama di New York.

Ciri khas Yellow Journalism ini ialah corak pemberitaannya yang padat, tepat, sensasi dan judul yang diketengahkan mestilah menarik perhatian umum. Tujuannya hanya satu, untuk meningkatkan jualan. Konsep itu terus tersebar ke serata dunia dan masih relevan diguna pakai sehingga sekarang.

Di Malaysia, akhbar pertama diterbitkan di Pulau Pinang pada 1 Mac 1806 dengan nama ‘The Government Gazette’. Dalam tempoh 22 tahun, akhbar ini mempunyai beberapa nama tetapi ia lebih dikenali sebagai ‘The Prince of Wales Island Gazette’.

The Goverment Gazette – akhbar pertama yang terbit di Malaysia.

Ia ditubuhkan oleh seorang pencetak dan penerbit dari Madras bernama Andrew Burchett Bone yang berhijrah ke Pulau Pinang. Pada awal penerbitannya, akhbar mingguan itu disemak oleh Setiausaha Kerajaan Negeri yang boleh membuang apa-apa bahan yang dianggap tidak baik.

Di penghujung kurun ke-19, akhbar berbahasa Melayu, Jawi Peranakan pula muncul. Utusan Melayu pula diterbitkan pada tahun 1907 di Singapura.

Akhbar Jawi Peranakan dan Utusan Malaysia.

Kemudian pada tahun 1920, Warta Malaya telah diterbitkan yang merupakan berita pertama dalam Bahasa Melayu. Akhbar ini ditulis oleh Dato Onn Jaafar. Utusan Malaysia diterbitkan pada 29 Mei 1939 dan Berita Harian pada 1 Julai 1957 sebelum kemerdekaan Tanah Melayu.

Namun pada hari ini dengan perubahan arus zaman, akhbar cetakan arus perdana di seluruh dunia kian ‘sakit’ dan bergelut untuk terus bertahan dalam pasaran. Jualan semakin merosot sehingga banyak yang terkubur. Mahu tidak mahu, suratkhabar terpaksa juga mengikut arus dengan muncul melalui alam maya. Secara digital jika mahu terus bertahan.  

Mastika terbitan pertama dan yang terakhir cetakannya pada November 2018.

Manakala majalah Mastika, yang diterbitkan pada Jun 1941 menjadi antara majalah yang tertua usianya di Malaysia. Setelah direhatkan selama dua tahun, kini memasuki tahun 2021, Mastika muncul kembali. Munculnya dengan sistem baru secara digital, sesuai dengan arus perubahan zaman.

Ya, tiada lagi cetakan. Kini pembaca hanya perlu melayarinya di hujung jari. Tetapi jangan risau, sesekali Mastika akan muncul dengan catatan bercetak, buku istimewa untuk mengubati kerinduan pembaca yang mahu memegangnya secara fizikal. Yang penting, anda terus menyokong kami.

Selamat tahun baru – 2021.