KUALA TERENGGANU – ‘Ombak naik ke darat’ bahkan ada pengguna media sosial menyifatkan ia umpama tsunami kecil melihatkan kejadian air pasang besar di pesisiran pantai negeri ini lewat malam tadi.
Walaupun bukan asing apatah lagi masih di musim tengkujuh, namun apa yang berlaku malam tadi skalanya dianggap agak luar biasa melihatkan air laut kali ini naik jauh ke daratan.
Justeru, rakaman video kejadian tersebut yang dikongsi penduduk Terengganu turut menjadi tular di media sosial khususnya melibatkan rakaman di jalan pesisiran di Seberang Takir, Kuala Nerus.
Apatah lagi kawasan-kawan tersebut berhampiran jambatan angkat yang menjadi ikon pelancongan terbaru Terengganu.
Ada juga penggguna media sosial pagi ini berkongsi gambar bagaimana air pasang besar malam tadi membawa sama sampah dari laut naik ke atas jalan raya.
Selain Seberang Takir, beberapa kawasan di Terengganu terjejas ekoran air laut pasang besar yang membadai sebahagian besar kawasan pantai di negeri ini, lewat malam tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, kejadian yang berlaku di daerah Besut, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman itu menyebabkan air laut melimpah sehingga ke jalan raya dan kawasan kediaman.
“Seperti di pantai di Seberang Takir atau dikenali Pantai Miami di Kuala Nerus, limpahan air laut menyebabkan terdapat kesan-kesan hakisan dan juga batu-batu kecil yang telah menghempas ke pinggir jalan. Demi keselamatan orang ramai, kami telah meminta pihak polis untuk menutup jalan di sekitar kawasan pantai tersebut.
“Kejadian limpahan air laut juga berlaku sekitar pantai lain di Kuala Nerus dan Pantai Teluk Lipat di Dungun,” katanya kepada Bernama hari ini.
Selain itu katanya fenomena tersebut juga menyebabkan 36 mangsa daripada sembilan keluarga di Kuala Besut dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara Balai Raya Kampung Pantai akibat kediaman mereka dinaiki air.
“Bagaimanapun kita difahamkan di seluruh Terengganu tidak ada hujan lebat semalam, hanyalah hujan renyai-renyai yang berlaku sekejap-sekejap sahaja tetapi ia merupakan impak daripada angin yang sangat kencang,” katanya.
Sementara itu, Che Adam berkata keadaan angin kencang antara 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 2.5 hingga 2.7 meter dijangka akan berlarutan sehingga Rabu (6 Jan) terutama di kawasan Kuala Terengganu.
Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berada di kawasan pantai sepanjang tempoh tersebut dan juga sepanjang musim Monsun Timur Laut ini, sama ada siang atau malam bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Untuk malam ini juga, kami akan minta pihak polis menutup jalan di sekitar Pantai Seberang Takir kerana kami menjangkakan fenomena yang sama akan berlaku,” katanya.