Jauh di sudut hati, ada rasa pilu, sesal dan kecewa saat hayatnya terhenti. Mungkin cukup hanya sampai di sini sahaja perjuangan kami. Bukan kerana kami lelah, jauh sekali mengalah. Bukan kerana kami lemah, apatah lagi rebah. Tidak! Tidak sama sekali. Itu bukanlah kemahuan kami, namun sebagai hamba Nya, kami pasrah dengan ketentuan Ilahi.
Detik itu, umurnya hampir sebulan lagi menjangkau 43 tahun. Setelah lebih 4 dekad mengabdikan diri kepada umat Islam, menuai ilmu mencakna pemikiran rakyat untuk memandu kepada syariat Islam berpaksikan kepada aliran ahli sunnah waljamaah, akhirnya terpaksa jua akur dengan keputusan pemilik syarikat.
Sebut sahaja nama Al-Islam, pasti ramai yang mengenali susuk tubuh entiti ini. Ia bukanlah nama asing, apatah lagi pelik bagi umat Islam. Ramai yang mengenalinya sebagai sebuah majalah yang punya jiwa, aura dan identitinya yang tersendiri. Sementalah, dengan usianya yang cukup lama berkecimpung dalam dunia keilmuan agama Islam, sudah pasti terlalu banyak sumbangan dan jasa telah ia curahkan. Umpama bunga-bunga silatnya sahaja, tiada majalah lain yang boleh menandingi, apatah lagi sepak terajangnya.
Tanggal Januari 1974, edisi sulung majalah al-Islam terbitan Utusan Melayu menemui pembaca. Dengan misi dan matlamat untuk mendidik dan berkongsi ilmu agama melalui rencana-rencana agama kepada orang-orang dewasa terutama golongan muda, majalah ini mula mengorak langkahnya yang pertama.

Apatah lagi ketika itu, kekurangan bahan bacaan bertulisan rumi yang berunsurkan agama yang sesuai bagi generasi muda dan saudara baru di pasaran, telah menjadi dorongan yang kuat bagi Utusan Melayu mengisi kekosongan tersebut.
Saat itu juga pengetahuan umat Islam terhadap syariat agama masih terlalu rendah. Mereka masih lagi mengamalkan perbuatan-perbuatan khurafat, syirik dan kesilapan dalam memahami ajaran serta amalan agama Islam. Maka itulah manhaj dakwah al-Islam melalui pendekatan penulisan majalah digerakkan bagi menjelaskan tentang kebenaran Islam dan kesilapan mereka terhadap syariat Islam.
Justeru dalam keluaran sulung dipaparkan tentang kelemahan dan kegagalan sebahagian besar masyarakat barat dalam memahami konsep materialisma, serta membongkar rahsia kegagalan tokoh-tokoh agung barat yang membawa fahaman tersebut.

Bukan itu sahaja, malah al-Islam turut membincangkan perihal seputar dunia Islam dari seluruh dunia seperti jenayah penindasan yang dilakukan oleh Israel terhadap muslim di Palestin dari masa ke semasa, Arab tertindas di Perancis, pembongkaran Ibnu Taimiyyah anti falsafah, serta pengislaman 80 ribu orang di Sabah, satu angka yang sangat besar pada zaman itu.

Kupasan terhadap aspek ibadah seperti rukun Islam kelima melalui pelbagai segmen juga secara tidak langsung membuka minda pembaca tentang ibadah tersebut terutama dari sudut hukum hakamnya. Bukan itu sahaja, perbincangan isu-isu semasa menjadi pokok perbahasan utama bagi al-Islam. Inilah antara intipati paparan perjuangan al-Islam selama menempuh 4 dekad hayatnya.
30 November 2018 menjadi edisi terakhir dan titik noktah untuk al-Islam meneruskan perjuangan apabila nyawanya terhenti di situ setelah syarikat penerbit Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) iaitu anak syarikat kepada Kumpulan Utusan menghentikan operasinya. Hilang tanpa kubur. Tiada lagi kelihatan namanya terpapar di rak-rak kedai buku mahupun tergantung di kedai-kedai majalah. Tiada lagi sumber rujukan santai berbentuk ilmiah agama yang mengupas isu-isu semasa. Semuanya hanya tinggal kenangan.
Namun, segala puji bagi Allah. Siapalah kita untuk menafikan atau menidakkannya andai itulah ketetapan dari Yang Maha Esa. Januari 2021, al-Islam diberi nyawa baru oleh Utusan Binders. Melalui platform digital, iaitu portal Utusantv.com inilah peluang kedua meneruskan perjuangan yang pernah terhenti satu ketika dahulu. Insya Allah, kami akan menemui pembaca dengan semangat, gaya dan wadah baru. Semoga peluang kedua ini akan memberi perspektif baru terhadap pembaca untuk lebih memahami syariat Islam di masa akan datang. Wallahu a’lam.