KUALA TERENGGANU – Dengan ombak mencecah 4.5 meter dan angin kencang selaju 60 kilometer sejam, ini bukan masa untuk penduduk Kuala Terengganu berkumpul di tepi pantai ‘berpesta’ melihat ombak naik ke darat.

Fenomena air laut pasang besar yang akan berlarutan beberapa hari lagi, kata Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, adalah terlalu bahaya untuk orang ramai.

Beliau berkata, hal ini kerana keadaan ombak yang kuat dan tinggi boleh berlaku secara tidak dijangka dan mengancam keselamatan jika orang ramai terus berkumpul seperti berlaku di Pantai Miami, Kuala Nerus.

“Di musim tengkujuh ini kita tahu bahawa pantai di kawasan negeri pantai timur bergelora. Namun di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus terdapat banyak pantai-pantai yang menjadi tumpuan orang ramai dan pengunjung dari luar Terenggganu.

“Mereka mungkin tidak tahu berada di tepi pantai pada waktu ini amat bahaya. Kalau tengok PBT (pihak berkuasa tempatan) pun ada pasang papan tanda amaran tidak benarkan mandi dan berenang.

“Jadi saya nasihatkan mereka tidak melakukan aktiviti tersebut, mahupun sekadar bermain di gigi air,” katanya kepada pemberita ketika meninjau kawasan yang terjejas susulan air laut pasang besar di Pantai Seberang Takir hari ini.

Dalam pada itu memetik Bernama.com, Abdul Rahim berkata pihak polis akan sentiasa memantau keadaan pantai di sepanjang Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, 24 jam sehingga keadaan cuaca kembali pulih.

Kesan air laut pasang besar lewat malam Khamis lalu yang luar biasa dapat dilihat di sekitar pantai Kuala Nerus. / Gambar media sosial

Fenomena air laut pasang besar yang membadai sebahagian besar kawasan pantai di negeri ini sejak lewat malam Khamis telah menyebabkan air laut melimpah sehingga ke atas jalan raya seperti di Pantai Seberang Takir dan kawasan rumah seperti di Kuala Besut.

Kejadian tersebut turut menyebabkan timbunan sampah dan pasir naik ke atas jalan raya berikutan skala yang berlaku agak luar biasa sehingga ada netizen yang mengibaratkannya sebagai tsunami kecil.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan angin kencang antara 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian melebihi 4.5 meter dijangka berlarutan sehingga Rabu terutama di kawasan Kuala Terengganu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada, dengan hujan lebat dijangka berlaku di empat negeri Semenanjung dan beberapa kawasan di Sabah sehingga hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan awal pagi Sabtu memaklumkan, amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan diramal berlaku di daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang, manakala di Johor pula melibatkan daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Menurut kenyataan itu, amaran cuaca waspada dengan hujan lebat pula dijangka berlaku di seluruh negeri Kelantan, Terengganu dan daerah Batu Pahat dan Pontian di Johor.

Amaran cuaca waspada dengan hujan lebat turut diramal berlaku di Pahang (Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera) dan Sabah (Tuaran, Ranau, Kota Belud, Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat).