KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan rasa sedih atas kemalangan yang menimpa pelajar Malaysia, Nur Izzah Mohd Shokri di Manchester, England, Isnin lalu.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua mendoakan semoga Nur Izzah, dikurniakan kesembuhan dengan segera dan kembali pulih seperti sedia kala.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berharap agar seluruh keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan ini.

Seri Paduka berdua mendoakan kesembuhan Nur Izzah menerusi satu hantaran di Facebook Istana Negara.

“Marilah bersama Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga Nur Izzah dikurniakan kesembuhan dan keafiatan dengan segera,” kata kenyataan itu.

Lokasi kemalangan Nur Izzah di Manchester Isnin lalu./ Gambar media sosial

Nur Izzah, 20, yang juga penuntut tahun pertama jurusan perakaunan dan kewangan di Universiti Manchester, kini berada dalam keadaan koma dan sedang mendapat rawatan di Salford Royal Hospital, England selepas menjalani pembedahan.

Penuntut yang berasal dari Karak, Pahang itu dilaporkan mengalami kecederaan yang serius di bahagian kepala dan tulang rusuk selepas bertembung dengan sebuah bas ketika sedang menunggang basikal Wilmslow Road, Rusholme dalam kejadian 4.25 petang.