Cuba bayangkan, sebagai seorang suami, apa agaknya pengorbanan yang tak masuk akal boleh anda lakukan untuk isteri? Ada segelintir suami yang sanggup buat kerja gila demi kasih sayangnya terhadap isteri.

Tak percaya? Cuba baca kisah di bawah ni yang memaparkan betapa besarnya kasih sayang seorang suami pada isterinya.

KISAH 1

Dashrath Manjhi berkahwin dengan isterinya, Falguni Devi dan hidup bahagia di desa Gehlaur di daerah Bihar, India. Apabila dia bekerja, Falguni akan menghantar makanan tengah hari untuknya. 

Falguni perlu melalui lereng-lereng bukit dan sering tergelincir ketika menghantar makanan untuk suaminya sehinggalah suatu hari, dia jatuh dan cedera parah. Jarak 77 kilometer antara hospital dengan kampung mengeruhkan lagi keadaan. Mereka perlu mengelilingi lereng bukit Gehlaur sebelum sampai ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Disebabkan lewat tiba di hospital kerana masa perjalanan yang panjang, Falguni tidak dapat menerima rawatan dengan segera dan akhirnya membawa kepada kematiannya pada tahun 1959.

Dashrath sangat sedih dengan kematian isterinya dan memutuskan untuk melakukan sesuatu agar orang lain tidak mengalami nasib yang sama sepertinya.

Berbekalkan tukul dan pahat, Dashrath berjuang seorang diri ‘membelah’ gunung, membuat laluan agar penduduk di situ boleh ke hospital secepat mungkin jika berlaku sebarang kecemasan.

Dashrath sanggup membelah gunung kerana kasihnya pada mendiang isteri.

Setiap hari tanpa culas, Dashrath bertungkus lumus menukul bebatuan bukit. Pada awalnya, orang menganggapnya gila kerana bagi mereka, itu semua adalah kerja sia-sia. Bukit itu terlalu besar untuk dialihkan bagi membentuk sebuah  jalan.

Tapi, kerana cintanya yang begitu tinggi terhadap Falguni, Dashrath yang hanya seorang buruh miskin berjaya menyempurnakan laluan itu selepas 22 tahun, bermula dari tahun 1960 sehingga 1982. Laluan itu telah mengurangkan jarak perjalanan dari 55 kilometer kepada 15 kilometer.

Kerana usahanya itu, Dashrath turut digelar ‘lelaki gunung’. Usahanya mendapat penghargaan dari pemerintah wilayah tersebut. Dashrath meninggal dunia pada 17 Ogos 2007 kerana kanser hempedu. Sebuah filem berjudul ‘Manjhi-The Mountain Man’ yang ditayangkan pada 2015 dihasilkan berdasarkan kisahnya.

KISAH 2

Faizul Hasan Quadri dan isterinya, Tajammuli Begum sudah berkahwin selama 58 tahun, namun mereka tidak dikurniakan anak. Tajammuli pernah meluahkan kesedihan bahawa tiada siapa akan mengenang mereka jika mereka meninggal dunia.

Disebabkan itu, Faizul berjanji akan membina sebuah makam jika Tajammuli pergi dahulu. Pada Disember 2011, Tajammuli meninggal dunia kerana kanser. Faizul mula mengotakan janjinya.

Dia mengupah arkitek untuk menyediakan satu model digital menyerupai Taj Mahal, namun hasilnya tidak seperti yang Faizul kehendaki. Dia sudah ke Taj Mahal berkali-kali dan arif dengan reka bentuk dan susunan makam yang dibina pada zaman pemerintahan Shah Jahan itu.

Faizul membina mini Taj Mahal untuk dijadikan tempat persemadiannya bersama isteri.

Mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk mengabadikan memori bersama isterinya, Faizul tekad membina sendiri monumen cintanya untuk sang isteri. Dengan skala yang lebih kecil dan sesuai dengan bajet yang dimilikinya, sebuah Taj Mahal mini telah terbina.

Taj Mahal kepunyaannya bukan satu tempat ibadah. Ia hanya monumen untuk makam isterinya, dan dia mahu membinanya dengan wang sendiri, tidak kira berapa lama pun masa yang akan diambil, tanpa menerima bantuan daripada sesiapa.

Taj Mahal mini tersebut boleh ditemui di daerah Bulandshahr di negeri Uttar Pradesh, India. Dan Faizul yang usianya sudah melebihi lapan dekad berharap apabila dia mati, jasadnya turut disemadikan di sebelah makam isterinya di dalam Taj Mahal binaannya ini.

KISAH 3

Mike Watts merupakan lelaki yang mempunyai sebuah kedai menjual peralatan parti di Bath, Somerset, United Kingdom. Pada Februari 2014, Kelstin Road iaitu laluan jalan raya yang digunakannya ditutup ekoran tanah runtuh. Ini menyebabkan penduduk termasuk Mike dan isterinya terpaksa menggunakan jalan lencongan sejauh 14 batu berbanding laluan asal.

Mike tidak tahan mendengar bebelan isterinya setiap kali mereka mengambil masa lebih satu jam untuk sampai ke kedai mereka. Oleh itu, dia membuat keputusan drastik membina jalan sendiri. Mike mengambil risiko dengan membina sebuah jalan bertol sendiri yang menghubungkan Bath dan Bristol.

Ternyata jalan yang dibinanya menjimatkan masa, iaitu lebih kurang 10 minit sahaja untuk tiba ke kedainya. Idea Mike turut memudahkan ramai pengguna untuk menjimatkan masa dan minyak kereta.

Mike membina jalan pintas untuk isterinya.

Walaupun meletakkan caj £2 bagi motosikal dan £3 bagi kenderaan lain,  sayangnya Mike tidak sempat mencapai target untuk mendapatkan kembali wang modalnya sebanyak  £10,000- £15,000 untuk membina jalan tersebut, setelah laluan yang runtuh itu dibuka semula kepada pengguna pada November 2014. Tapi sekurang-kurangnya dalam tempoh waktu tersebut, Mike tidak lagi mendengar bebelan isterinya. Lega, bukan? He he he…

KISAH 4

Pada tahun 2007 apabila isterinya, Muriel Richards, mengadu bahawa orang terlalu ramai di gereja awam berdekatan rumah mereka menyebabkan dia tidak dapat berdoa dengan tenang, Jon Richards memutuskan untuk membina sebuah gereja mini. Ia mengambil tempat di belakang rumah mereka di perkampungan Mappleborough Green, berdekatan dengan Studley, England.

Asalnya, Jon memberitahu isterinya untuk memperbesar bangsal mereka. Langsung tidak terlintas dalam fikiran Muriel bahawa suaminya sedang membina sebuah gereja yang sama bentuknya seperti gereja yang selalu dikunjunginya setiap hari Ahad.

Muriel membina gereja khas untuk memudahkan isterinya beribadat.

Apabila Jon memasang bingkai tingkap, barulah dia menyedari itu bukan sekadar bangsal. Di dalam gereja kecil mereka, Jon telah menyiapkan permaidani, buku doa dan kerusi untuk 12 orang.

Malah, suami isteri ini mengelilingi seluruh negara untuk mencari artifak dan barangan terpakai untuk gereja kecil mereka. Gereja Chapel of the Crosses ini siap dibina pada tahun 2009, dipercayai gereja perseorangan terkecil di Britain dan mengambil masa dua tahun setengah untuk Jon Richards menyiapkannya sendiri buat isterinya.