Setiap wanita pasti ingin tampil sempurna dalam meraikan hari bahagia. Memilih busana yang tepat mampu memberikan impak besar agar anda kelihatan lebih menyerlah, bukan sahaja di pentas persandingan, namun saat diabadikan menerusi potret perkahwinan.

Walaupun dalam suasana wabak COVID-19 yang sedang melanda, hari bahagia ini harus diraikan dengan sempurna dalam pengertian hidup kita dan pasangan. Foto bersama busana indah inilah yang akan ditatap sehingga hujung usia bersama anak cucu, jadi apa salahnya berikan sepenuh hati walaupun sekadar menyambutnya secara kecil-kecilan.

Tidak kira jumlah bajet ataupun gaya personaliti, terdapat beberapa garis panduan untuk memilih busana impian.

Lakukan penyelidikan untuk ketahui gaya

Jadikan majalah perkahwinan, butik pengantin dalam talian, Pinterest atau busana pengantin selebriti sebagai rujukan. Kemudian cari kombinasi bagi setiap rekaan yang digemari. Bawa ilustrasi itu kepada pereka kegemaran untuk direalisasikan. Ingat, tema perkahwinan bukan untuk impress orang lain, namun untuk diabadikan sebagai kenangan terindah buat kita dan pasangan.

Berfikiran terbuka

Saat bertemu pereka bagi berkongsi idea yang diimpikan, jangan terlalu sempitkan pemikiran dan terlalu statik dengan rekaan pilihan. Terimalah dengan terbuka jika mereka memberi pandangan terhadap potongan yang dirasai tidak sesuai dengan diri dan persekitaran majlis.

Jangan terlalu lewat

Faktor masa adalah perkara penting yang perlu anda ambil perhatian untuk membuat tempahan. Ada sesetengah busana agak rumit dan mungkin mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk dihasilkan. Oleh itu buatlah tempahan atau sewaan awal sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tarikh perkahwinan. Lebih-lebih lagi dalam suasana Covid-19 yang tidak menentu, perancangan masa penting dan buatlah plan B sekiranya plan A tidak menjadi.

Bajet

Mendengarkan soal bajet, memang berpeluh dibuatnya. Namun ini antara faktor penting untuk mengelakkan terlebih bajet sehingga membuatkan anda sengsara selepas majlis. Cari beberapa pilihan butik yang sesuai dengan bajet yang telah diperuntukkan. Ingat, jangan sesekali terlebih bajet! Simpanan selepas pernikahan lebih penting, ramai yang ambil mudah.

Tema perkahwinan

Sebelum memulakan proses menyediakan busana kahwin, tentukan terlebih dahulu tema perkahwinan sama ada berkonsepkan tradisional atau moden. Untuk majlis di zaman Covid-19, cukup sekadar tema pakaian dan latar untuk mengambil potret. Maklumlah sebarang majlis sosial termasuk majlis perkahwinan tidak boleh dianjurkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jangan cuba terlalu banyak baju

Mungkin terlalu teruja untuk menjadi raja sehari dan merasakan mencuba pelbagai busana akan memudahkan anda membuat pilihan yang tepat. Memang tidak salah, namun jangan terlalu banyak mencuba kerana anda akan hilang fokus, lebih-lebih lagi jika semuanya cantik di mata. Sebaliknya pilih yang benar-benar sesuai dengan cita rasa dan paling maksimum, cuba tiga rekaan sahaja.

Padanan barang kemas

Ini antara faktor yang akan menonjolkan lagi keindahan busana perkahwinan. Mutiara, emas atau batu permata, terpulang kepada bajet, asalkan tidak terlalu serabut. Buat pilihan sama ada anting-anting, rantai atau gelang. Jika memilih untuk mengenakan mahkota, pilih anting-anting atau rantai jenis halus dan tidak terlalu menonjol.

Foto kredit : Instagram Selebriti