Anda kenal mereka? Pasti ada cerita menarik yang boleh dikongsi. Hubungi kami di E-mel :[email protected]

Nostalgia dulu-dulu…

DULU, sekitar 40 hingga 50 tahun lalu, ketika belum ada Facebook, WhatsApp dan aplikasi-aplikasi sosial lain, majalah menjadi tempat untuk muda-mudi mencari kenalan. Paling popular ialah ruangan Kembang Sa-Taman yang disiarkan oleh majalah Utusan Radio & TV (kemudian ditukar menjadi URTV).

Yang umur 50 tahun ke atas mesti ingat lagi, kan? Entah-entah yang baca artikel ini pun pernah hantar gambar ke ruangan itu. Cuba nasib. Manalah tahu dari ruangan itu boleh dapat buah hati. Betul tak? Hahaha…

Cara untuk menyertai ruangan Kembang Sa-Taman ini mudah saja, hantar gambar terbaru, kemudian tulis latar belakang diri secara ringkas di belakangnya, lengkap dengan alamat dan tandatangan. Itu saja.

Sampai masa, mungkin dua atau tiga bulan kemudian, keluarlah gambar kita di URTV. Satu kampung heboh tengok gambar kita. Yang lelaki, rambut belah tepi, jambul dua kati, berkilat sapu minyak Madubala warna hijau. Butang sampai pangkal leher. Yang perempuan pula rambut ikal mayang baru lepas karan. Gambar ambil dari tepi,  senyum paling manis. Kan?

Selepas gambar tersiar, hari-hari tunggu posmen lalu. PENN!! Posmen datang bawa surat. Ada jejaka ingin berkenalan. Ada gadis ingin jadikan abang angkat.

Dari situ berbalas surat. Tulis tentang adik-beradik berapa orang, cita-cita,  hobi dan akhir sekali… `Pecah kaca pecah gelas, sudah baca harap balas.’ Sebelum dimasukkan ke dalam envelop, tabur bedak Yardley bagi wangi.

Hari yang berlalu terasa sangat mendebarkan. Seminit terlalu lama. Sejam sakit dada. Malam terbayang-bayang. Siang teringat-ingat. Senja tertunggu-tunggu. Hati jadi bimbang, adakah surat akan dibalas? Sudikah dia menerima aku yang kerdil ini… Cewah.

Akhirnya selepas dua minggu berdebar sampai hendak kena serangan jantung, posmen pun sampai. PENNN!! Hulur surat warna putih, kelilingnya ada jalur biru dan merah.  

Begitulah seterusnya, kemudian rombongan datang merisik, bertunang, berkahwin, beranak-pinak, bercucu dan bercicit. Kan?

Nah… ini kami kembalikan nostalgia Kembang Sa-Taman untuk anda semua, pembaca UtusanTV. Gambar ini dipetik daripada majalah Utusan Radio & TV keluaran Februari 1970.

Adakah anda salah seorang daripada mereka yang tertera gambarnya ini? Atau anda anaknya, mungkin cucunya. Jika ya, apa kata kalau anda kongsikan sedikit cerita anda itu di ruangan komen di bawah atau lebih bagus jika ada gambar terbaru boleh komen di Facebook UtusanTV.

Ya, kita faham, mungkin ada di antara mereka yang sudah tiada di dunia ini. Tetapi setiap orang pasti ada cerita yang menarik untuk dikongsi. Cerita bahagia, cerita gembira, cerita duka, semuanya ada teladan untuk dikongsi.

Okey, kami tunggu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here