Jodoh datang tidak diduga, kadang kala di tepi tangga pun boleh dijadikan cerita. Semuanya sudah tertulis di Luh Mahfuz. Namun bagaimana kita mencorakkan kehidupan, berbalik kepada pegangan agama dan tanggungjawab dalam diri.

Seperti nukilan yang dikongsikan Al Irfan Jani di laman Facebook miliknya. Bagaimana pertemuan aneh sewaktu menuruni tangga, kesungguhan ibu menaikkan hantaran empat kali ganda dan tangisan ibu selepas akad menjadi titik tolak akan perubahan persepsi atas kemuliaan seorang wanita.

Isteri bukan sekadar jaga makan pakai dan melahirkan anak, ia lebih daripada itu. Seorang isteri awal-awal lagi sudah rugi selepas diijabkabul dengan suami yang untung pun belum tentu pasti.

Ada pihak lelaki masih berkira-kira soal hantaran, jika mahal dikatakan seperti mahu menjual anak. Jika murah, ada pula suara sumbang menuduh si wanita seakan tiada nilai. Iyalah, hatta janda pun punya harga, kata mereka.

Namun bait kata si ibu cukup menyentap rasa. Ujarnya , maruah seorang wanita itu bukan datang daripada berapa nilai harga yang dia letakkan. Tetapi melalui cara lelaki membalasnya. Maka andai sang isteri memberi satu, balaslah dengan empat kebaikan. Di situlah harga diri seorang isteri.

Bukannya setelah diberi satu, diminta lebih. Jika begitu, kuranglah harga diri seorang suami.

Seorang isteri telah relakan dirinya dikorbankan saat bergelar isteri maka suami, di sinilah peranan lelaki, sama ada menjadikannya syurga atau neraka.

Ikuti perkongsian ini.

“Ada kawan saya terkejut bila lihat gambar ni- as my screen wallpaper. “Wah kau pernah bekerja dengan orang hebat ya.” “Peh, many great peoples in a single photo.” “Aku kenal dia ni, aku kenal yang hujung tu.”

Tapi, tak ramai yang tahu,

Orang paling hebat dalam gambar ini = adalah insan di sebelah saya. Mengenalinya, saya belajar erti kemuliaan seorang wanita.

Dah sedekad kembara bersama ni, baru kali pertama saya nukilkan satu dedikasi khas buat isteri sendiri.

Kembali dari tanah suci (bawa diri, doa Allah bagi jodoh – hehe), saya singgah sekejap di pejabat PTS, jumpa Puan Ainon di Wangsa Melawati.

Turun-turun je tangga, saya terserempak dengan seorang perempuan. Stranger. Saya tak pernah jumpa.

Saya baru turun tangga. Dia pula nak naik tangga. Kami berdua tercegat depan tangga, macam kena ‘panah’ lah orang kata. Macam kena sampuk.

Terdetik di hati saya, “Eh, ni calon isteri aku ni.” Dalam hati dia, mungkin dia kata, “Eh blahlah mamat ni, aku nak naik.”

Kemudian, kami berlalu pergi, macam tak ada apa berlaku. Berhari lepas tu, baru saya tahu rupanya dia staf baru di ofis kami. “Wah ada chance ni,” itu lah yang saya fikir saat tu.

Begitulah detik pertemuan kami.

PELAJARAN 1

Sewaktu ibu saya pergi berbincang mas kahwin dan hantaran, menurut isteri saya, ibunya (ibu mertua saya) sudahpun menyebut, “(sekian) ribu pun boleh.”

Entah macam mana, selamba ibu saya balas,

“Baiklah. Jika begitu, kami naikkan EMPAT KALI GANDA, (sekian) ribu, boleh?”

Janji pun dimeterai. Tepuk dahi saya.

Balik tu, saya dah seriau. Saya tanya, “Ama, tak pernah Ifan jumpa dalam mana-mana drama dan novel, pihak lelaki yang naikkan harga dari pihak perempuan.”

Ibu sayalah yang mengajarkan ini kepada saya,

“Fan, MARUAH seorang wanita tu, bukan datang dari BERAPA NILAI harga yang dia letakkan. Tapi, dari cara lelaki MEMBALASNYA.”

Ingat ya, pelajaran 1, wahai lelaki.

Jika isterimu memberi 1, balaslah dengan 4. Begitulah cara kamu meletakkan harga diri seorang isteri.

Bukannya dia memberi 1, kamu minta lagi 4 daripadanya. Jika begitu, harga diri kamu si suami lah yang telah berkurang. Jauh.

PELAJARAN 2

Masih segar momen ini, di ingatan sahabat dan saudara kami yang berada di situ.

Selesai saja akad menikah, orang pertama yang menangis dengan syahdunya, adalah ibu saya sendiri. Kemudian, keluarga isteri pun ikut menangis sekali.

Mungkin ada gembira yang dikongsi. Cuma tertanya jugalah kenapa bermula dari ibu saya.

Kerana saya turut menangis melihat keadaan ibu, orang pertama yang saya peluk selepas menikah, adalah ibu saya. Dalam peluk menangis tu, saya tanya, “Kenapa menangis, Ma.”

Jawab ibu saya, dalam derai airmata,

“Fan, bermulanya cabaran seorang perempuan itu, adalah bila dia bersama seorang lelaki di sisinya…”

Maka, faham benarlah saya akan kata-kata ibu. Lebih-lebih lagi, ibu saya pun baru saja bangkit dari perjuangan sakitnya yang lama.

Kata-katanya sependek itu, cukup padat saya rasakan.

Ini pelajaran 2, wahai lelaki.

Janganlah kalian mensia-siakan seorang isteri. Kerana… si dia itu awal-awal lagi telah sanggup korbankan dirinya, IN ADVANCED.

Kerana kamulah lelaki yang mengheret dia ke dalam duniamu. Menjadi dunia bersama.

Mudah kata, walau kalian baru saja menikah, seorang isteri itu awal-awal lagi DAH RUGI. Sang isterilah yang SUDI hidup denganmu, seorang lelaki yang UNTUNG PUN BELUM PASTI.

Seperti seorang tua pernah berpesan kepada saya, “Rezeki dalam perkahwinan itu, hanya ALLAH YANG JANJI. Bukan dari kuasanya seorang suami.”

PELAJARAN 3

Ada satu momen ini, yang sukar sekali untuk saya lupakan. Masa tu, kami sama-sama bertugas di bawah kendalian Prof. Dr. Muhaya. Saya sebagai Marketing dan Sales, dan isteri saya sebagai Editor mengurus manuskrip Prof.

Saya masih ingat saat-saat kami berdua terpaksa berundur dari karier kami. Saya dapat peluang baru di tempat lain, dan isteri saya pula sarat kandungkan anak sulung.

Hari itu, Prof mengajak kami ke Prince Court, sebab beliau sibuk dengan pembedahan mata, tapi beliau teringin sangat nak bertemu dengan isteri saya buat kali terakhir.

Rupanya Prof nak hulurkan sebungkus hadiah dalam sampul surat.

Di situlah, saya saksikan DUA ORANG IBU HEBAT yang saling menangis dan berpelukan.

Seorang tu, bagai ibu yang rasa berat untuk lepaskan ‘anaknya’ pergi. Seorang lagi, ibu yang sedang sarat terpaksa mengundur diri.

Dari situlah, saya sedari.

Pelajaran 3. Wahai lelaki.

Amat sukar kita menolak penglibatan seorang ibu, dalam bahagianya sebuah rumahtanggamu.

Kehormatan seorang isteri, datang dari hebatnya seorang ibu. Bagaimana seorang ibu mendidik anak lelakinya menjadi suami yang terhormat, begitu jualah cara anak itu akan letakkan kehormatan isterinya.

PELAJARAN 4

Setelah bertahun-tahun jalani hidup yang roller coster, barulah saya ketahui, akan satu hakikat yang mengejutkan.

Satu hari, isteri saya beritahu,

“Nak tahu satu rahsia? Saya dah follow SangPelangi bertahun sebelum kita berkenal. Dan saya memang datang nak mencari awak.”

Rupa-rupanya momen kami yang tercegat di depan tangga dulu tu; Saya tercengang melihat seorang yang saya tidak kenali; namun ingin dijadikan isteri. Kemudian, isteri pula tergamam melihat satu sosok, “Oh, begini rupanya Al Irfan Jani yang dicari-cari.”

Beginilah rahsia percaturan Allah.

Bertahun-tahun saya menulis sewaktu di Jepun, tidak pernah saya terfikir, bahawa seorang isteri itu boleh hadir dari kalangan pembaca saya sendiri.

Allah temukan kami di satu sudut yang tidak disangka-sangka. Di depan tangga.

Inilah pelajaran 4.

Buat lelaki dan perempuan.

Rahsia Allah, kekal menjadi rahsia-Nya. Seru jangan ditunggu. Berkejarlah untuk mencari, dan berjuanglah untuk pertahankannya.

Bukan senang dia nak mari. Jangan senang-senang biarkan dia pergi.

Kita bungkus balik 4 pelajaran tadi,

1. Balaslah kebaikan, lebih banyak dari yang isteri berikan.

2. Isteri itu awal-awal dah rugi, maka, suami jangan sia-siakan dirinya.

3. Hanya ibu yang fahami ibu. Nak rumahtangga baik, kena buat baik dengan ibu/bapa sendiri, mertua, atau sesiapa.

4. Jangan tunggu seru. Tapi kejarlah untuk mencari, dan berjuanglah untuk pertahankannya.

Buat isteriku, Faiizah binti Lood, terima kasih masih sudi di sisi. Selamat ulangtahun yang ke- 1 Januari,” kongsinya di laman Facebook.

Sumber : Facebook Al Irfan Jani