KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penubuhan Perikatan Nasional dan pembentukan Muafakat Nasional laksana benih yang baru tumbuh dengan subur.

Justeru kata beliau, sebarang usaha lain untuk membentuk pakatan baharu dengan berbagai jenama yang dicadangkan harus ditolak.

‘’Cadangan lain adalah tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan,’’ katanya melalui catatan Minda Presiden dalam Facebook beliau.

Abdul Hadi berkata, pendekatan Pas adalah mengikut petunjuk al-Quran dalam aspek perpaduan umat ialah dengan penubuhan Muafakat Nasional yang diasaskan pada awalnya oleh parti itu dan UMNO serta terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama termasuklah kepada Bersatu.

‘’Ia diikuti dengan penubuhan Perikatan Nasional yang menggabungkan semua parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional, berasaskan piagam yang dimeterai secara persefahaman dahulu sebelum diperkemaskan secara berperingkat, berasaskan konsep Islam agama rasmi persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan,’’ katanya.

Tegas beliau, itulah acuan Islam yang ingin dikembalikan semula setelah dilupakan.

‘’ Jangan jadi Melayu yang mudah lupa kerana meninggalkan Islam. Jadilah Melayu Islam yang sempurna dengan akidah, syariat, akhlak dan integriti bersama kaum dan penganut berbagai agama berkonsepkan adil kepada semua dalam masyarakat majmuk,’’ katanya.

Abdul Hadi menegaskan, acuan perpaduan (yang dibentuk) boleh menegakkan umat yang selamat di dunia dan akhirat.

‘’Maka adalah haram kita memilih acuan akal manusia yang sempat sekadar menyelamatkan diri masing-masing, puak masing-masing dan kedudukan masing-masing, bukannya berwadahkan umat yang besar dan wawasan yang jauh daripada dunia sehingga akhirat,’’ tegas beliau.

Sambil memetik firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 105 yang mengingatkan umat Islam tidak menyerupai orang-orang yang bercerai berai, Abdul Hadi berkata, Iltizam pemimpin kedua-dua kerjasama itu adalah untuk memperkukuhkan perpaduan dan persaudaraan sesama mereka serta memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan yang dibina secara bersama.