TENGGARA – Penantian rakyat Malaysia untuk memperoleh vaksin COVID-19 fasa pertama yang sudah diterima penduduk Britain bulan lalu dijangka berakhir dalam sedikit masa lagi.
Ini apabila vaksin COVID-19 akan mula diagih kepada kira-kira satu juta rakyat negara ini bermula bulan depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, vaksin berkenaan akan diberikan kepada barisan hadapan negara terlebih dahulu.

Katanya, ia diikuti golongan pesakit kronik termasuk buah pinggang, sakit jantung, paru-paru dan diabetes.
“Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 negara akan bermula bulan depan dengan sejuta vaksin dari Pfizer-BioTecNTech akan diagih dan disuntik bagi fasa pertama, ” katanya seperti dipetik dari portal Sinar Harian.
Adham berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Bahagian Tenggara 2020 di Bandar Tenggara, di sini, pada Sabtu.
Adham berkata, fasa seterusnya melibatkan sebanyak 6.2 juta vaksin pada April dan Mei.
“Kerajaan akan beri vaksin secara percuma kepada semua rakyat untuk sasaran 80 peratus penduduk atau bersamaan 26 juta individu,” katanya.

