JOEY perlu menjalani sesi fisioterapi bagi memulihkan kembali jari tangannya

KUALA LUMPUR – Disebalik personalitinya yang kelakar dan ‘gila-gila’, mungkin tiada siapa yang tahu pelawak dan pelakon Joey Daud mengalami masalah penyakit saraf di kedua-kedua tangannya.

Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud memberitahu kesan daripada sindrom yang dikenali sebagai ‘trigger finger’ yang di alami sejak tiga bulan lalu telah membataskan tugas hariannya.

“Jari hantu di tangan kanan dan jari telunjuk kiri berasa kebas dan sukar digerakkan.

“Mungkin sebab saya terlalu lama memegang berus lukisan kerana terlibat dengan program melukis mural di sekitar bandar Muar, Johor.

“Saya habiskan waktu untuk melukis mural berjam-jam setiap hari selama tiga bulan. Kemudian apabila ada waktu lapang, saya aktif membawa motor berkuasa tinggi. Itulah punca utama saya alami ‘trigger finger’,” katanya ketika ditemui di sidang media pelancaran filem 10 Tips Tipu Bini baru-baru ini.

‘Trigger Finger’ adalah satu penyakit jari yang dialami disebabkan oleh keradangan dan seterusnya penyempitan sarung retinakular. Ini akan menyebabkan kesakitan, bunyi “pop”, dan kehilangan pergerakan jari yang terjejas.

Bimbang dengan keadaan jari tangannya yang belum sembuh, Joey telah membuat pemeriksaan lanjut dan doktor telah menyarankannya untuk melakukan pembedahan kecil.

“Jujurnya saya ingat benda ini ada kaitan dengan sakit jantung. Tapi bila saya buat pemeriksaan, alhamdulillah jantung saya okey.

“Doktor memberitahu ada saraf yang terkepit dan perlu menjalani pembedahan bagi memperbetulkan ia semula.

“Tapi buat masa ini saya pilih untuk jalani fisioterapi dahulu dan perlahan-lahan cuba kurangkan pengambilan gula dalam badan.

“Ketika ini, bila saya memegang sesuatu, tangan saya sudah tidak kuat seperti sebelum ini. Jari saya kurang mampu untuk menampung beban di tangan,” ulasnya yang mengakui jari tangannya berasa sakit apabila cuba digenggam.

Dalam perkembangan lain, Joey bakal muncul dalam filem 10 Tips Tipu Bini arahan Azizi Chunk Adnan. Naskhah bergenre komedi ini akan ditayangkan di Astro First saluran 480 mulai 7 Januari in.

Selain Joey, filem terbitan Rumah Produksi Merah milik Datuk Awie ini turut menampilkan barisan pelakon antaranya Khir Rahman, Ropie, Elizabeth Tan, Jehan Miskin, Nasir Bilal Khan, Vicha, Nazia Mustafar dan Atu Zero.