KEJADIAN tanah runtuh menyebabkan kira-kira 20 kenderaan terperangkap di Bukit Fraser hari ini. - GAMBAR/Sinar Harian Online

KUANTAN – Cuti tahun baharu mungkin merupakan peluang terbaik untuk ramai rakyat Malaysia untuk membawa keluarga berehat dan bercuti ke kawasan pelancongan tanah tinggi, bagaimanapun bagi Mohd Ariff Amri percutiannya ke Bukit Fraser memberi pengalaman mencemaskan.

Masakan tidak, Mohd Ariff dan keluarga mendapat pengalaman tidak dapat dilupakan apabila kenderaan mereka terkandas hampir dua jam bersama kira-kira 20 kenderaan lain, ekoran tanah runtuh berlaku di Jalan Bukit Fraser-Raub, kira-kira 1.30 tengah hari tadi.

Mohd Ariff, 37, yang bekerja sendiri berkata beliau bersama empat keluarga adik-beradiknya yang menaiki empat kenderaan sedang menuruni Bukit Fraser, sebelum bertembung dengan beberapa buah kereta lain yang terperangkap akibat tanah runtuh.

“Ini adalah percutian paling menakutkan buat saya. Melihat tanah runtuh berlaku di depan mata dan terperangkap pula di tengah-tengah jalan berbukit. Nasib baik talian telefon masih ada untuk saya meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau menganggarkan lebih 20 buah kereta dan tiga motosikal terperangkap di laluan itu dan hasil perbincangan, mereka sepakat untuk naik semula ke Bukit Fraser dan turun melalui arah Kuala Kubu Bharu, Selangor.

“Bagaimanapun, semasa menaiki jalan ke Bukit Fraser, berlaku satu lagi runtuhan menyebabkan kereta saya dan sembilan lagi terperangkap. Walaupun terkejut, saya bersyukur kerana runtuhan tidak berlaku semasa saya sedang melalui jalan itu, atau akibatnya mungkin lebih teruk lagi.

Kami cuba memeriksa laluan jika masih ada ruang untuk dilalui, namun tiada. Saya menghubungi banyak pihak untuk meminta pertolongan termasuk polis dan pihak Roadcare ((M) Sdn Bhd) untuk memaklumkan kami terperangkap,” katanya.

Mohd Ariff berkata pihak terlibat mendapatkan maklumat terperinci mengenai jumlah mereka yang terperangkap selain cuba menenangkan beliau sebelum memaklumkan bantuan mungkin akan mengambil masa ekoran kejadian tanah runtuh di bahagian bawah Bukit Fraser yang menyebabkan laluan terputus.

Beliau berkata terdapat sekurang-kurangnya 32 dewasa dan lapan kanak-kanak daripada semua sembilan kenderaan yang terperangkap tersebut, dan sebagai usaha tambahan beliau turut menggunakan media sosialnya untuk memaklumkan kejadian tersebut.

“Alhamdulillah, selepas hampir dua jam, saya dihubungi pihak Roadcare dan polis memaklumkan bantuan sedang dalam perjalanan. Mereka beritahu polis dari Bukit Fraser sedang menghala ke arah kami.

Bagaimanapun kami terpaksa berjalan kaki selama 15 minit ke kenderaan yang menunggu di seberang kawasan tanah runtuh untuk kembali semula ke Bukit Fraser. Itu satu-satunya cara dan kami perlu meninggalkan kereta masing-masing,” katanya.

Mohd Ariff yang berada di destinasi pelancongan itu sejak Jumaat lepas menjelaskan beliau turut dihubungi pihak Tourism Pahang yang menzahirkan prihatin dengan nasib yang menimpa semua mangsa terkandas. – UTUSANTV