KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, parti itu sama sekali tidak akan bekerjasama dengan DAP.

Sehubungan itu beliau mengingatkan, ahli-ahli UMNO supaya jangan terikut-ikut dengan rentak sehingga ada suara dan cadangan untuk parti bekerjasama dengan musuh tradisinya.

‘’Ini satu perkara yang amat tidak baik sepatutnya kita tambah nilai. Sepatutnya kita pastikan penyatuan ini diperkasakan lagi, penyatuan ini perlu suburkan lagi agar ia dapat memastikan bahawa apa juga bangsa asalkan bersama, kita buka pintu kita untuk kita pastikan penduduk majoriti bersatu padu maka amanlah negara kita.

‘’Bina kekuatan, resolusi kita bersatu. UMNO jangan berpecah belah. Ini ada seorang nak ke hulu… ada seorang nak ke hilir. Ada seorang nak duduk tengah-tengah. Apa nak jadi. Nak bekerjasama dengan DAP apahal… begitu bertegas kita, begitu bersungguh-sungguh kita nak jatuhkan DAP. 22 bulan mentadbir negara ini dah nak hancur negara takkan kita sanggup pula nak duduk dengan Dap.

‘’Saya tidak akan bersetuju… selagi saya Timbalan Presiden UMNO saya tidak akan bersetuju bekerjasama dengan DAP. Jangan kita berkompromi. Jangan kita cepat terburu-buru… bak kata orang tua-tua berfikir mesti panjang, bertindak mesti bijak. Jangan kita pening-pening kepala. Apa yang ada hari ini kita perbaiki,’’ tegasnya
ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Rembau, di Rembau hari ini.

Mohamad berkata, ahli UMNO tidak harus terbawa-bawa dengan cerita yang melalaikan sehingga menyebabkan parti terus berpecah sebaliknya memainkan peranan masing-masing memperkasakan parti.

‘’Jangan kita terbawa-bawa dengan cerita yang kadang-kadang melalaikan kita dan menyebabkan kita berpecah-belah di antara satu sama lain. Kalau ini tidak dikekang maka kekuatan yang nak bina ini akan jatuh berderai. Kita nak kalahkan DAP, kita nak jatuhkan Kerajaan DAP, dah jatuh dah apa nak lagi.

‘’Bergaduh pulak balik dan saya pun tidak faham apa cerita kita. Jadi kita harap kita semua duduk. Bina kekuatan kerana yang penting sekarang ini bina kekuatan diri kita. Kita vaksin diri kita, bina kekuatan antibodi kita. Dalam politik pun begitu. Kita perkasakan parti kita dan jangan fikirkan pasal orang lain,” tegas beliau.