vaksin

GEORGE TOWN – Kerajaan perlu memberi 6.4 juta suntikan vaksin COVID-19 kepada penduduk negara ini mulai bulan depan sebaik menerima vaksin tersebut daripada pembekal, bagaimanapun proses melakukan suntikan perlu dilakukan di hospital atau klinik yang diiktiraf sahaja.

Bagi melancarkan proses pemberian suntikan tersebut, kira-kira 100 klinik swasta di bawah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS) menawarkan khidmat suntikan vaksin itu secara percuma kepada penduduk di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Negeri Jagdeep Singh Deo berkata kerajaan negeri dan PMPS mencapai kesepakatan tersebut sebagai persediaan awal untuk meningkatkan kapasiti dan mempercepatkan pemberian vaksin sebaik ia diterima di negara ini.

Katanya, dos vaksin tersebut akan diagihkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada setiap negeri, seterusnya dibahagikan kepada hospital dan klinik-klinik kerajaan dan swasta yang dipilih untuk memberikan suntikan kepada rakyat Pulau Pinang.

“Setakat ini, terdapat 100 klinik swasta bersetuju untuk memberikan vaksinasi secara percuma kepada seluruh penduduk Pulau Pinang. Saya difahamkan 50 klinik di Seberang Perai serta 50 klinik di bahagian pulau setuju untuk membantu KKM meningkatkan kapasiti proses vaksinasi.

“Kita melihat isu sama ada klinik yang sedia ada mampu untuk tampung kapasiti dengan begitu ramai. Apa yang akan berlaku apabila vaksin sampai kelak? Kita ada 1.8 juta penduduk yang perlu divaksin, cuba anda bayangkan bagaimana keadaanya kelak?,” katanya kepada pemberita di sini hari ini seperti yang dipetik di laman web Bernama.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan vaksin COVID-19 dijangka tiba di Malaysia pada Februari nanti dan ia dijamin selamat kerana sudah diuji secara klinikal kepada puluhan ribu orang sebelum ini.

Pada 24 Nov lepas, Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Penghantaran bekalan pertama sebanyak satu juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun depan disusuli dengan 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta dos pada suku keempat tahun depan. – UTUSANTV