KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,741 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini dengan Selangor, Sabah dan Johor menjadi tiga negeri menyumbang penularan tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 687 kes atau 39.5 peratus daripada penularan hari ini dikesan di Selangor dengan 541 kes di negeri itu adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Katanya, ini diikuti oleh Sabah sebanyak 303 kes (17.4 peratus) dan Johor sebanyak 295 kes (16.9 peratus).

“Perkembangan hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 120,818 kes manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 22,089 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,733 kes,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Aktiviti pengesanan COVID-19 di lapangan terus giat dilakukan KKM di Selangor.

Tambah Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 122 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 53 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tujuh kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 501 kes.

“Sabah melaporkan tiga kes kematian hari ini diikuti Johor dua manakala Pahang dan Selangor masing-masing satu kes,” jelasnya.

Kata beliau, individu positif COVID-19 tertua meninggal dunia hari ini berusia 83 tahun di Hospital Lahad Datu manakala termuda berumur 45 tahun.

“Pesakit tersebut yang mempunyai penyakit hati meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan,” ujarnya.

Sementara itu, kata Noor Hisham, sebanyak 50 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini termasuk lima kluster baru.

Menurutnya, kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Jalan Duyong (95 kes), Kluster Jalan Perindustrian (81 kes) dan Kluster Hentian (73 kes).

“Lima kluster baru pula dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Melaka,” katanya.

Sebanyak 32 kes (1.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Telok Mas (10 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (9 kes), Kluster Tembok Choh (6 kes), Kluster Tembok Gajah (3 kes), Kluster Tembok (2 kes), Kluster Tembok Mempaga (1 kes), dan GK Tawau (1 kes).

Perincian penuh jumlah kes mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 dan 2 yang disertakan bersama kenyataan media ini.