Pada dasarnya apabila kita semua melontarkan pandangan, apakah sebenar-benarnya niat dan halatuju kita? Mari kita kembali memikirkan persoalan asas demi masa depan ummah, akidah, rumpun Melayu dan negara Malaysia tercinta.

Orang Melayu tidak mampu untuk berpecah lagi. Bersatulah! Tidak ada untungnya hanya memikirkan duniawi (kuasa dan jawatan) yang akhirnya kuasa Melayu dan umat Islam tergadai.

Jangan sampai bila ‘nasi dah jadi bubur’ baru kita menyesal. Tidak ada salahnya kita berkongsi kuasa tetapi tidak membelakangkan realiti politik dan sokongan rakyat yang mahukan orang Melayu bersatu dan diperintah oleh Melayu Islam terdidik, berpengalaman, berpandangan jauh dan menebal iman dan semangat bangsanya, yang berkeupayaan menjaga Perlembagaan Negara, Institusi Raja-Raja Melayu, Hak Istimewa Orang Melayu, Bahasa Kebangsaan dan Tanah Rezab Melayu.

Mari kita bincang bagaimana formula menang-menang antara tiga parti orang Melayu iaitu UMNO,Pas dan Bersatu boleh dilaksanakan. Kita sedar bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahu dominasi dalam pemerintahan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Kita menginsafi bahawa Parti Bersatu mahu menobatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri. Kita mengakui bahawa Pas ikhlas mahu bersama dalam pemerintahan Kerajaan Pusat dan Negeri.

Kenapa tidak kita merungkai perkara pokok iaitu pengagihan kuasa pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ? Selepas pilihan raya itu apa salahnya kita gabungkan ketiga-tiga Parti menjadi satu Parti Rumpun Melayu sahaja? Kita mesti melihat permasalahan dan cabaran besar kepada ummah dalam negara dan antarabangsa.

Rakyat sudah meluat melihat gelagat ahli politik Melayu yang saling bercakaran, berpuak-puak, saling menuding jari, jatuh menjatuhkan sesama sendiri dan bersikap ego, tamak dan materialistik mengejar duniawi!

Cukup, cukuplah! PRU-15 adalah penentu masa depan Melayu dan Islam di negara ini. Semuanya sama ada UMNO, Pas mahupun Bersatu memiliki dan berasal daripada DNA yang sama. Pengalaman UMNO dan BN menakhodai kerajaan sekian lama, pengalaman Pas selaku pembangkang dan Muhyiddin sebagai tonggak penyatuan bangsa Melayu, merupakan ramunan yang cukup kukuh dan mantap bagi kita membina Kerajaan Melayu Islam selamanya.

Saya yakin, jika kita berlapang dada, tidak mustahil bumi bertuah Malaysia tercinta akan diperintah oleh Melayu Islam sehingga bila-bila, maka mesti ada formulanya? Pada saya setelah meneliti ucapan-ucapan pemimpin pelbagai peringkat jelas bahawa isu pokoknya adalah kuasa dan perkongsian kuasa!

Saya mencadangkan tidak ada cacatnya kalau ketiga-tiga parti Melayu Islam ini duduk membincangkan pengagihan kuasa pemerintahan negara dan negeri. Kemudian pengagihan perjawatan bagi menggalas pemerintahan selepas PRU-15 berdasarkan kaedah ini;

  • Perdana Menteri – Tan Sri Muhyiddin Yassin
  • Timbalan Perdana Menteri – UMNO
  • Menteri Kanan – PAS, UMNO, BERSATU
  • Bilangan Menteri berpandukan kepada nisbah kerusi UMNO, Pas, Bersatu dan komponen parti bersekutu.
  • Personaliti menteri dipilih dalam kalangan pemimpin utama setiap parti yang berkelayakan, cekap, amanah dan berpengalaman.
  • Menteri Besar dan Exco setiap negeri diagihkan bersandarkan majoriti ahli DUN.
  • Pembahagian kerusi Parlimen yang adil dan bijaksana; Selain Sarawak, nisbah 55:15:20:10 antara UMNO, Pas, Bersatu dan komponen.

Saya tidak mempunyai apa-apa agenda apabila mengemukakan pandangan dan cadangan ini. Saya ikhlas kerana Allah SWT demi mahu melihat orang Melayu kembali bersatu. Sesungguhnya apapun kita lakukan ia harus diseimbangkan antara dunia dan akhirat.

Semoga Allah SWT memberi hidayah dan petunjuk kepada kita semua.Amin.

DATO’  ZEIN ISMA ISMAIL, Ampang, Selangor