Daging import: Empat direman, SPRM kesan keseluruhan dalang

0
352
Kartel daging yang membawa masuk daging sejuk secara seludup menimbulkan keresahan ramai terutama umat Islam./ Gambar hiasan dari media sosial

JOHOR BAHRU – Isu kartel daging import yang menggemparkan negara baru-baru ini apabila disyaki membawa masuk daging diragui status halal haramnya kini membawa kepada tindakan pihak berkuasa berkaitan kewujudan elemen rasuah.

Hari ini beberapa individu terawal diheret ke mahkamah untuk proses reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain siasatan lanjut masih dijalankan kemungkinan penglibatan dalang lain termasuk anggota penguat kuasa.

Empat yang direman hari ini adalah seorang pengarah dan tiga pekerja sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku di Johor Bahru.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Nur Izzaty Muhammad Zahari, selepas SPRM Johor membuat permohonan berkenaan, pagi ini.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi BH Online berkata, mereka yang direman berusia antara 39 hingga 50 tahun.

“Empat yang direman berkenaan membabitkan pengarah, pengarah operasi, kerani syarikat sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku serta seorang lagi pengarah syarikat lain,” katanya, hari ini.

Azmi berkata, SPRM akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dalam menjalankan siasatan menyeluruh berkenaan isu kartel daging import.

Katanya, SPRM memandang serius perkara itu yang membabitkan isu kepentingan rakyat khususnya umat Islam di negara ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Hasil kerjasama beberapa agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, telah mengenal pasti pengimport daging berkenaan,” menurut sumber itu.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan, beberapa siri serbuan sudah dibuat dan rampasan ke atas dokumen pengimportan daging sejak tahun 2015 dilakukan sejak dua minggu lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM akan mengkaji semua dokumen dan akaun syarikat terbabit dalam usaha mengesan keseluruhan dalang termasuk anggota penguat kuasa yang terbabit dalam melindungi kegiatan ini.

Beliau mengulas tindakan SPRM menahan dua pengarah syarikat dan dua pekerja syarikat, berusia antara 39 hingga 50 tahun, berhubung isu rasuah dalam kes penyeludupan bahan mentah daging sejuk beku yang dikatakan dibawa masuk secara tidak sah daripada beberapa negara yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Pada 30 Disember lalu, sebuah syarikat pembekal daging dan dua pengarah syarikat itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru atas pertuduhan menggunakan logo halal tanpa diperakui pihak berkuasa, awal bulan ini.

Raihanah Cold Storage Sdn Bhd, yang diwakili Rahman Sheikh Abdullah, 44, dan Raihanah Kasim, 42, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan merupakan pemilik dan pengarah syarikat Raihanah Enterprise, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terbabit selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat Raihanah Cold Storage yang diwakili pasangan suami isteri itu didakwa memperakui bahawa perkhidmatan berhubung dengan syarikat tersebut adalah halal dengan menggunakan logo halal tanpa diperakui halal oleh pihak berkuasa berwibawa, pada sebuah lori jenama Isuzu.

Mengikut pertuduhan kedua, Rahman dan Raihanah, dituduh secara bersama selaku pemilik syarikat Raihanah Enterprise melakukan kesalahan sama, pada sebuah lori jenama Mitsubishi.

Syarikat Raihanah Cold Storage dan kedua-dua pengarah syarikat tersebut didakwa melakukan perbuatan terbabit di premis perniagaan Raihanah Cold Storage Sdn Bhd, di Taman Perniagaan Setia, di sini, kira-kira 1 tengah hari, 1 Dis lepas.

Raihanah Cold Storage didakwa mengikut Perenggan 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (A) perintah yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, denda sehingga RM500,000.  

Rahman dan Raihanah selaku pengarah syarikat, pula didakwa mengikut Perenggan 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (B) perintah yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya.