KUALA LUMPUR – Benarkah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tumbang dalam bulan ini ? Betulkah jika Parlimen tidak dibubarkan, UMNO bersedia bekerjasama dengan parti pembangkang termasuk DAP bagi menubuhkan kerajaan baharu?

Dan adakah benar UMNO akan bergabung dengan DAP melalui satu ‘gabungan baharu’ turut disertai PKR dan Amanah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

Persoalan itu timbul apabila tersebar satu rakaman didakwa suara seorang pemimpin kanan UMNO yang menyatakan, parti itu bersedia bekerjasama dengan PKR dan DAP menubuhkan ‘gabungan baharu’ sebelum PRU-15 atau dalam pilihan raya itu jika Parlimen dibubarkan.

Dalam ucapan yang dipercayai disampaikan dalam satu perjumpaan dan menggunakan loghat sebuah negeri di Pantai Timur tersebut, pemimpin berkenaan meminta ahli-ahli UMNO jangan kolot dengan menganggap DAP sekarang sama macam DAP dulu sambil menjelaskan perubahan yang akan berlaku dalam barisan kepemimpinan DAP tidak lama lagi.

Melalui rakaman itu juga pemimpin berkenaan meminta ahli UMNO berfikiran terbuka untuk menerima kerjasama dengan DAP jika ia terjadi dan menyatakan kalau Pas boleh berkawan dengan DAP (satu ketika dahulu), kenapa UMNO tidak boleh melakukan perkara yang sama.

Pemimpin UMNO itu juga berkata, di peringkat pusat ramai tidak yakin parti itu boleh menang tanpa bantuan parti-parti lain (daripada pembangkang) memandangkan komponen Barisan Nasional (BN) ‘tidak boleh diharap’.

Kata pemimpin itu lagi, jika kerjasama dengan DAP hampir 40 kerusi Parlimen di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Perak dan sebagainya akan dikuasai oleh DAP, keadaan itu sudah tentu akan membantu kemenangan kepada ‘gabungan baharu’ tersebut.

Pemimpin berkenaan turut menegaskan, dalam keadaan apapun perubahan politik akan berlaku kerana UMNO berasa sudah cukup dikhianati oleh Bersatu.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sejauhmanakah ketulenan rakaman itu yang kini tular termasuk dalam satu akaun Facebook. Namun begitu ucapan tersebut lebih bertujuan memberi penjelasan dan mendapat persetujuan ahli-ahli UMNO sekiranya berlaku kerjasama dengan DAP supaya mereka tidak terkejut.

Cadangan mahu mewujudkan kerjasama dengan DAP itu bukanlah rahsia lagi. Beberapa pemimpin UMNO sebelum ini telah mencadangkan perkara berkenaan sebagai ‘tindak balas’ terhadap layanan Bersatu kepada parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam secara tegas menyatakan UMNO tidak akan bekerjasama dengan DAP dan mengingatkan ahli-ahli UMNO jangan terikut-ikut dengan rentak sehingga ada suara dan cadangan untuk parti bekerjasama dengan musuh tradisi.

Tegas Mohamad,’’Nak bekerjasama dengan DAP apahal..begitu bertegas kita, begitu bersungguh-sungguh kita nakjatuhkan DAP. 22 bulan mentadbir negara dah nak hancur negaran takkan kita sanggup pula duduk dengan DAP. Saya tidak akan bersetuju, selagi saya Timbalan Presiden UMNO saya tidak akan bersetuju bekerjasama dengan DAP.’’

UMNO dijangka membincangkan keputusan 143 bahagian parti itu menolak kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada Rabu ini.

Pertemuan tersebut akan diadakan ketika pemimpin-pemimpin kanan parti tu menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pilihan raya secepat mungkin bagi membolehkan sebuah kerajaan yang stabil diwujudkan.