KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, sebanyak 147 daripada 189 Bahagian UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimanapun, UMNO Pusat, jelas Ahmad, sedang mengumpul kesemua usul yang dibangkitkan untuk dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO esok.
Menurut beliau, kesemua 189 mesyuarat UMNO Bahagian sudah menyelesaikan mesyuarat pada 1 hingga 3 Januari lalu yang menyaksikan 147 Ketua UMNO Bahagian menolak kerjasama berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian seluruh Malaysia yang berlangsung hari ini di ibu negara.

Menjelaskan pertemuan berkenaan, kata Ahmad, pertemuan itu dijadikan alternatif kepada Konvensyen parti.
Menurut beliau, lazimnya, konvensyen di peringkat negeri-negeri dan kebangsaan menyusul bagi memperhalusi setiap usul-usul Bahagian yang akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO.
“Memandangkan keperluan mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berjalan, pertemuan dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian dijadikan alternatif kepada Konvensyen.
“Pertemuan ini adalah amalan lazim untuk kepimpinan tertinggi mendengar dan memperhalusi suara akar umbi sebelum sebarang usul dibawa secara rasmi ke Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO untuk dibahas dan diputuskan,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal tersebut.
Maklumnya, sebanyak 189 Bahagian termasuk jumlah yang sama bagi sayap-sayap Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO telah berjaya menyelesaikan Mesyuarat Perwakilan masing-masing sebagaimana tuntutan Perlembagaan (kecuali Tanah Merah yang digantung dan Tuaran bersidang minggu ini).