KUALA LUMPUR – Selepas semalam mencatatkan angka harian COVID-19 di bawah 2,000 kes, kes baru yang dilaporkan hari ini bagaimanapun kembali melonjak kepada 2,027 penularan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 122,845 kes.

Menurut beliau, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 22,887 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 16 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,011 kes.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 509 kes (25.1 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 338 kes (66.4 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 428 kes (21.1 peratus) dan Sabah sebanyak 383 kes (18.9 peratus),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Dr Nor Hisham Abdullah

Sehingga kini, kata Noor Hisham, terdapat 123 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 52 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan lapan kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 509 kes.

“Enam daripada kes kematian hari ini dilaporkan di Sabah manakala masing-masing satu di Perak dan Selangor,” katanya.

Kata Nor Hisham, sebanyak 53 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

Statistik COID-19 untuk 5 Januari 2020 yang disediakan KKM

Ujarnya, kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Jalan Perindustrian (200 kes), Kluster Tapak Bina Jalan Desa (116 kes), dan Kluster Beringin (65 kes).

“KKM juga ingin memaklumkan terdapat 11kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini.

“Ia melibatkan beberapa negeri iaitu Selangor, Johor, Sarawak, Pahang dan Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, bilangan kes sembuh COVID-19 hari ini adalah sebanyak 1,221 kes.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 99,449 kes (81.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” jelasnya.