Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Setelah berminggu-minggu spekulasi mengenai kedudukan Tan Sri Annuar Musa sebagai Setausaha Agung Baisan Nasional (BN), akhirnya Ahli Parlimen Ketereh itu sah digugurkan daripada jawatan berkenaan.

Memetik laporan MalaysiaKini yang mengesahkan perkara itu dengan seorang pemimpin kanan UMNO hari ini, faktor pengguguran Annuar dikaitkan dengan pandangannya yang tidak sealiran dengan pucuk pimpinan.

Terdapat satu laporan lain mengatakan perkara itu diumumkan sendiri oleh Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pertemuan bersama-sama Ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara di sini hari ini.

Tempat Annuar itu diambil alih Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menteri Wilayah Persekutuan itu sebelum ini sering membuat kenyataan yang sangat cenderung kepada Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan kurang disenangi ramai pihak dalam UMNO.

Annuar dilantik ke jawatan Setiausaha Agung UMNO dan BN apabila beliau tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden pada 2018.

Setelah menyertai Kabinet Kerajaan PN, jawatan Setiausaha Agung UMNO diambil alih Datuk Seri Ahmad Maslan manakala beliau kekal sebagai Setiausaha Agung BN.

Walau bagaimanapun belum ada maklumat lanjut setakat ini daripada pihak UMNO dan BN.

Annuar sedang dihubungi UtusanTV untuk maklum balasnya.

Dalam satu hantaran di Facebook semalam, Annuar berkata, beliau sanggup dipecat asalkan dapat mempertahankan “muafakat” parti Melayu dan Islam dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau juga menegaskan akan tetap mempertahankan keputusan MKT UMNO menolak DAP dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Kalau nak pecat kerana itu silakan. Nak pertahan mereka yang nak bawa parti sokong DAP dan Anwar silakan,” katanya di Facebook.