Apa ‘dosa’ Annuar Musa?

0
5001
Annuar Musa menikmati makan tengah hari dengan tenang ketika berita pemecatan beliau sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional tersebar.


ANALISIS

”Parti buat keputusan rasmi untuk bekerjasama dengan Pas. Keputusan rasmi berserta akaun bersumpah menyertai Kerajaan PN. Secara rasmi putuskan ‘No DAP, No Anwar’. Sesiapa mempertahankan keputusan tersebut adalah derhaka dan perlu dipecat.

”Mereka yang menyokong Anwar dan cuba berunding dengan DAP senyap-senyap di luar mandat parti adalah wira sejati…mereka yang menolak Pas, tolak PPBM,tolak PN.”

Itulah catatan Tan Sri Annuar Musa dalam Facebook beliau kira-kira 15 jam sebelum dipecat sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional (MN).

Sebagai seorang yang sudah lebih 40 tahun bergelumang dalam dunia politik dan berada di dalam UMNO, Ahli Parlimen Ketereh itu sudah dapat merasakan pemecatan itu akan berlaku.

Malangnya, Annuar dipecat bukan kerana ingkar arahan parti, bukan disebabkan beliau menandatangani akuan bersumpah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau berunding senyap-senyap dengan DAP bagi membentuk kerajaan Perak bulan lalu.

Tetapi Annuar dilihat bagaikan ‘duri dalam daging’ oleh setengah pihak dalam UMNO kerana ketegasan beliau mempertahankan penyatuan Melayu dalam PN, menentang sebarang gerakan untuk bekerjasama dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru ramai melihat pemecatan itu bukanlah satu kejutan, sebaliknya hanya menampakkan kekalutan politik di dalam UMNO yang kini sedang berada di kemuncak kemarahan terhadap Parti Bersatu yang didakwa cuba melemahkan UMNO serta memberi layanan bagaikan ‘anak tiri’ terhadap parti itu.

Malah ada yang menganggap tindakan ke atas Annuar adalah amaran secara tidak langsung kepada pemimpin-pemimpin lain supaya tidak lantang menentang usaha sesetengah pemimpin UMNO untuk mengadakan kerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk PKR dan DAP bagi membolehkan Bersatu dikalahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Tetapi yang anehnya, Annuar hanya mempertahankan keputusan MKT untuk menyokong Kerajaan PN dan tidak akan mengadakan kerjasama dengan DAP mahupun Anwar atau prinsip ‘No DAP,No Anwar’, malah sehingga hari ini tiada perubahan dibuat oleh kepemimpinan UMNO berhubung perkara itu. Justeru apakah ‘dosa’ Annuar sehingga beliau dipecat?

Kenapa tiada tindakan atau penjelasan terhadap dakwaan dua pemimpin kanan parti itu menandatangani akuan bersumpah menyokong Anwar beberapa bulan lalu? Kenapa tiada sesiapa mempersoalkan benarkah dakwaan ada pemimpin kanan UMNO berbincang dengan DAP kemungkinan membentuk kerajaan ketika krisis Perak bulan lalu?

Atau adakah Annuar melakukan perbuatan yang dilihat melanggar disiplin parti yang tidak diketahui oleh ahli-ahli UMNO? Atau mungkin kesalahan Annuar adalah seperti mana dinyatakan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh iaitu ‘tidak menghormati presiden parti serta mendahului keputusan parti.’’

Semua hanya sekadar tekaan sahaja memandangkan setakat ini tiada penjelasan rasmi daripada UMNO kenapa Annuar dipecat daripada satu jawatan yang dianggap cukup strategik ketika UMNO ‘sedang berperang’ dengan Bersatu.

Malah Annuar sendiripun hanya mengetahui dipecat melalui media dan pertanyaan beliau kepada Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi melalui aplikasi WhatsApp bagi mengesahkan perkara itu tidak dijawab oleh Presiden UMNO tersebut. ‘Dramatik sungguh’ adegan politik ini. Apapun sama-samalah kita tunggu penjelasan Annuar yang dijangka mengadakan sidang akhbar esok.

Tetapi yang pasti buat masa ini seperti mana kata Annuar dalam Facebook beliau kelmarin;

‘’Saya mula aktif dalam UMNO 40 tahun lalu. Setiap tahun hadir Mesyuarat Perwakilan Bahagian.Lazimnya UMNO kuat berbincang soal Melayu dan Islam.Usul hal rakyat. Tapi tahun ini itu semua tidak kedengaran.Yang kita dengar ialah seruan penolakan dan perpecahan sesama Melayu dan serang menyerang sesama sendiri. DAP DAH BOLEH SENYUM..’’