Cahaya misteri Paulding yang muncul selepas ada yang terbunuh dilanggar keretapi

0
234

Sebuah kawasan yang dikenali Watersmeet, di daerah Paulding, Michigan, Amerika Syarikat, berlaku perkara aneh apabila cahaya misteri sering muncul di kawasan tersebut. Ia antara fenomena aneh yang disebut sebagai ‘Paulding Light’. Cahaya misteri yang kerap muncul di situ sering menjadi perdebatan di kalangan penyelidik.

Terdapat dua versi cerita mengaitkan kemunculan cahaya aneh itu. Versi pertama tentang kematian seorang petugas yang menjaga laluan kereta api di daerah tersebut. Menurut cerita penduduk tempatan, petugas berkenaan telah terbunuh sewaktu cuba mengeluarkan isyarat cahaya berhenti ke arah sebuah keretapi kerana berlakunya satu kemalangan di tengah landasan. Malangnya, keretapi yang melalui landasan terbabit tidak berhenti dan melanggar petugas itu.

Sejak kematian petugas itu, daerah Paulding mulai heboh dengan dakwaan beberapa penduduk yang melihat satu kerlipan cahaya misteri muncul di landasan kereta api. Ekoran kejadian itu, penduduk di daerah berkenaan mula mengaitkan cahaya tersebut sebagai cahaya lampu yang digunakan oleh petugas terbabit ketika cuba memberi isyarat berhenti pada kereta api sebelum dia terbunuh.  

Cahaya misteri yang sering muncul di Paulding.

Versi cerita kedua pula adalah kisah seorang penduduk tempatan yang mati akibat dilanggar kereta api hampir 50 tahun yang lalu. Sejak peristiwa itu, penduduk mendakwa sering melihat satu cahaya aneh berkelip-kelip seperti sedang disuluh oleh seseorang. Namun, apabila mereka menghampiri cahaya berkenaan, ia hilang tanpa dapat dikesan.

Difahamkan, sebelum kemalangan itu berlaku seorang lelaki yang merupakan penduduk tempatan di daerah itu telah dilihat melintas landasan secara berseorangan. Sambil membawa lampu, lelaki berkenaan mencari anaknya yang hilang di sekitar landasan. Bagaimanapun, dia telah dilanggar kereta api yang kebetulan melalui landasan itu.

Mengikut catatan tertua, penampakan cahaya misteri ini pernah dilaporkan pada tahun 1966. Ketika itu, sekumpulan remaja tempatan telah membuat laporan mengenai kemunculan cahaya aneh di pejabat Sheriff di daerah itu. Setelah penampakan pertama, beberapa orang penduduk tempatan pula melaporkan adanya penampakan cahaya misteri serupa pada waktu malam di kawasan kecelakaan yang mengorbankan seorang lelaki di landasan kereta api di Paulding.

Banyak kajian dilakukan terhadap cahaya misteri ini. Salah satunya teori yang mengatakan cahaya Paulding ini merupakan ilusi optik yang disebabkan oleh cahaya lampu kereta dari arah sebuah lebuh raya sekitar lapan kilometer dari tempat munculnya cahaya Paulding.

Anak panah menunjukkan lokasi cahaya misteri yang sering muncul pada waktu malam.

Pada tahun 2010, beberapa orang penyelidik daripada Michigan Tech telah melakukan eksperimen  untuk mengenal pasti kebenaran teori tersebut. Bagaimanapun, cubaan mereka untuk membuktikan kebenaran teori itu gagal kerana cahaya yang dihasilkan tidak sama seperti cahaya Paulding. Malah, ujian pengesanan gas metana dan medan elektromagnetik di kawasan cahaya Paulding turut tidak menemui apa-apa kesan yang menunjukkan punca sebenar pancaran cahaya tersebut terhasil.

Kemudian, dua orang ahli kimia bernama Luigi Garlaschelli dan Paolo Boschetti cuba mengemukakan teori bahawa pancaran cahaya Paulding mungkin disebabkan pengoksidaan gas metana dan fosfina yang terhasil dari proses pereputan haiwan dan tumbuhan.

Mereka melakukan eksperimen dengan mencampur beberapa bahan kimia dengan gas yang dihasilkan oleh batang pohon yang telah mereput. Meskipun begitu, tindak balas kimia dari campuran bahan-bahan tersebut menghasilkan cahaya yang tidak begitu terang, tidak sama seperti cahaya misteri yang muncul di situ.


Meskipun teori yang diajukan oleh kedua ahli kimia tersebut boleh diterima logik akal, namun masih banyak persoalan yang tidak mampu dirungkai. Pertama, belum ada bukti ilmiah mengenai  kandungan zat kimia yang dikatakan dapat menghasilkan cahaya.

Kedua, ahli kimia itu masih tidak mampu menjawab bagaimana pancaran cahaya misteri itu mampu berubah-ubah. Dan yang ketiga, mengapa fenomena tersebut hanya berlaku pada waktu malam di daerah Paulding sahaja?

Papan tanda mengenai Paulding Light.

Sehingga ke hari ini, semua persoalan itu masih gagal dijelaskan. Cahaya misteri di Paulding masih muncul, menyimpan misteri yang menjadi tanda tanya semua orang.