Hujan rahmat bertukar bencana

0
174
Keadaan di sekitar bandar Maran yang dinaiki air

Apa yang dikatakan hujan rahmat bertukar menjadi bencana pada hari ini telah berlaku di beberapa buah negeri seperti di Pantai Timur, utara dan selatan, banjir melanda dengan begitu dasyat sekali. Jumlah mangsa meningkat kepada lebih 20 ribu orang. Manakala seramai 16 500 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS). Bencana ini bukan sahaja melibatkan kerosakan harta benda malah turut kehilangan jiwa. Itulah yang dikatakan hujan rahmat bertukar bencana.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.ha. beliau menceritakan,

“Apabila Nabi s.a.w. melihat mendung gelap di langit, beliau keluar masuk rumah, dan wajah beliau berubah. Dan jika turun hujan beliau merasa gembira. Ketika ditanya Aisyah, beliau menjawab, “wahai Aisyah! Apa yang boleh memberi jaminan keamanan padaku kalau di awan itu tiada azab? Kaum A’ad dihukum dengan angin. Kaum itu telah melihat awan azab, namun mereka mengatakan ini awan yang akan mendatangkan hujan kepada kami” HR Bukhari & Muslim.  

Begitu juga dengan kisah nabi Nuh a.s. apabila Allah s.w.t. menghukum kaum nabi Nuh di atas keingkarannya dengan banjir yang sangat besar sehingga menenggelam 2/3 bumi. Hujan yang turun dari langit beserta air yang keluar dari perut bumi telah melenyapkan kesemua makhluk termasuklah anak baginda sendiri.  

Banjir kilat dan buruk yang berlaku pada hari ini sudah dilihat sebagai bencana, bukan sahaja kepada manusia, malah kepada haiwan juga. Ia disebabkan pembangunan dan penebusan guna tanah secara tidak terancang serta tidak terkawal, begitu kata Rosmidzatul Azila Mat Yamin, Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia(IKIM).

Menurutnya, penebusan tanah ini akan menyebabkan berlakunya bencana alam. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, banyak tanah telah ditebus guna untuk penempatan dan pembangunan. Begitu juga dengan tanah tinggi yang telah banyak ditebus guna untuk dijadikan kawasan penempatan.  Sedangkan Allah s.w.t. sudah mengingatkan,  bukit-bukau dan gunung ganang itu adalah pasak bumi.

Firman Allah, surah An-Naba ayat 7,

“Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya”

Bayangkanlah jika sudah dikatakan gunung-ganang itu sebagai pasak bumi, tetapi manusia tetap mengambil jalan mudah memusnahkannya. Apa yang akan terjadi? Sudah pasti bencana yang menanti. Kesan dari penerokaan hutan dan tanah bukit telah menyebabkan tanah runtuh. Tanah runtuh ini akan dibawa ke sistem saliran dan akhirnya akan berlaku pemendapan kelodak di sungai-sungai serta tasik. Secara langsung ia akan menyebabkan sungai dan longkang menjadi cetek.

Apabila hujan turun, ia akan melumpuhkan peranan sungai itu sendiri untuk menyimpan air, sungai-sungai sudah tidak mampu lagi untuk menampung air. Akhirnya, apabila hujan lebat  air akan melimpah dengan cepat dan terjadilah banjir kilat.

Selain itu, kawasan hutan yang diterokai untuk pembangunan turut memberi kesan kepada keseimbangan. Sedangkan kawasan hutan Allah beri kepada manusia adalah sebagai kawasan tadahan air. Kawasan hutan ini adalah kawasan yang telap air apabila ditukarkan kepada kawasan tidak telap air seperti digantikan dengan bangunan dan kawasan bertar maka ia akan menimbulkan masalah.

Secara semula jadi hujan yang turun akan menimpa kanopi hutan terlebih dahulu sebelum sampai ke tanah dan diserap. Seterusnya mengalir mengikut kitaran hidrologi secara normal. Di situ tanah berperanan umpama span yang akan menyerap lebihan air hujan. Manakala sistem akar tunjang daripada pokok-pokok yang berada jauh di dalam tanah pula bertindak memegang span tanah ini bagi membolehkannya menyimpan serta melepaskan lebihan air sedikit demi sedikit.

Tanpa ekosistem hutan, kawasan bukit atau tanah tinggi yang tanahnya terdedah tanpa akar-akar tunjang daripada pokok-pokok besar, maka limpahan hujan lebat akan terus jatuh dalam kuantiti yang besar ke atas tanah. Dengan ini, tanah terpaksa menyerap jumlah air yang banyak dengan kadar segera. Sedangkan partikel tanah ini telah longgar berbanding tanah yang kaya dengan sistem akar semula jadi yang mengakibatkan span tanah cepat menjadi tepu, seterusnya mengundang kejadian runtuhan cerun dan sebagainya.

KEJADIAN tanah runtuh menyebabkan kira-kira 20 kenderaan terperangkap di Bukit Fraser – GAMBAR/Sinar Harian Online

Faktanya hutan itu dapat menyerap air hujan yang turun sebanyak 2-20 peratus air. Dan selebihnya akan dialirkan ke sungai, tasik atau laut. Apabila kawasan hutan sudah semakin minimum menyebabkan air yang turun sudah tidak mampu diserap oleh tanah hutan,

Faktor lain adalah pencemaran. Banjir kilat juga berlaku disebabkan oleh pencemaran. Rata-rata kesedaran masyarakat tentang penjagaan alam sekitar masih kurang. Buang sampah merata-rata ke dalam sungai,  longkang dan sistem saliran hingga menyebabkan saliran air tidak berlaku dengan betul dan tersumbat.

Justeru, bala yang diturunkan di dalam bentuk banjir yang bersebab dari hujan itu adalah kerana alam telah banyak menderita dan  mula memberontak. Memang tidak dapat dinafikan, untuk hidup perlu eksploitasi hasil bumi namun jangan sampai berlebih-lebihan. Malangnya, apa yang dilihat  hari ini eksploitasi yang dilakukan adalah secara berlebihan dan lebih kepada tujuan keuntungan semata-mata. Wallahu a’lam.